Bagi perkara-perkara yang tidak ada nas qatie yang mengharamkannya, maka para ulama berperanan menjelaskannya untuk maslahah umat iaitu melalui keputusan majlis fatwa. Hal yang berkaitan dengan ini termasuklah isu yang menjadi polemik hari ini iaitu vape dan rokok elektronik (e-rokok).

Walaupun Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, vape adalah berbeza dengan e-rokok tetapi yang pasti amalannya sama seperti rokok.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Helmi Yahya dilaporkan berkata, di dalam rokok elektronik terdapat nikotin dan propylene glycol dan apabila dipanaskan (dalam cecair) melebihi lima volt, kombinasi bahan cecair itu akan bersifat seperti bahan pengawet. Bahan pengawet inilah yang meningkatkan kemungkinan kanser dalam tubuh badan.

Pada September 2008, World Health Organization (WHO) mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian nikotin. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga mengharamkan penggunaan rokok elektronik. Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, keputusan itu diputuskan dengan mengguna pakai hukum menghisap shisha yang difatwakan sebelum ini iaitu pada 2013. Keputusan itu diambil apabila telah cukup dapatan iaitu yang pertama membahayakan, kedua ia membazir dan ketiga memudaratkan kesihatan.

Demikian juga halnya dengan vape. Walaupun didakwa kadar nikotinnya rendah iaitu sekitar tiga miligram (mg) hingga enam mg, fungsinya tetap sama seperti rokok. Tabiat menghisap vape dan e-rokok sebenarnya mengubah persepsi serta budaya masyarakat kita iaitu anti rokok dan juga asapnya.

Lebih penting lagi, berdasarkan kajian dan dapatan sains, amalan menghisap rokok, e-rokok, shisha dan vape ini lebih banyak membawa mudarat daripada kebaikan. Justeru, wajarlah orang mukmin memelihara diri mereka daripada menjadi statistik sebagai penggunanya. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan. (al-Baqarah: 195)

Yang membimbangkan, kenaikan harga rokok sehingga 40 peratus berkuat kuasa Rabu lalu menyebabkan lebih ramai beralih kepada penggunaan vape. Ini kerana rata-rata perokok kini mula beralih kepada vape apabila harga rokok popular seperti Dunhill, Kent, Benson & Hedges dan lain-lain meningkat sehingga RM17.

Memanglah tiada jaminan 100 peratus orang yang tidak merokok dan menghisap yang ‘sewaktunya dengannya’ bebas daripada sakit jantung, kanser, paru-paru dan sebagainya. Namun, kajian menunjukkan golongan perokok lebih terdedah kepada penyakit paru-paru dan kanser.

Kepada golongan perokok, inilah peluang untuk mereka meningkatkan iltizam dan menguatkan semangat untuk berhenti merokok. Sekali gus, sama-sama mengelakkan diri daripada kebinasaan dan juga Sad al-Zari’ah (menutup jalan menuju kerosakan). Pepatah Melayu pun ada menyebut ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubati’.

Dalam masa yang sama, kita mengalu-alukan langkah Kementerian Kesihatan memperhebatkan kempen anti rokok dan vape agar masyarakat membudayakan gaya hidup sihat. Ingatlah ramai yang mahu menghirup udara segar dan bukannya ‘berjerebu’ dengan asap rokok.