Ya, sudah dua bulan, Harun bersikap sedemikian. Bagaikan ada sesuatu yang disoroknya. Bila ditanya, dia akan cepat melenting. Shima tidak sedap hati kalau-kalau suaminya itu ada penyakit yang cuba disorokkan. Atau mungkin juga ia berpunca daripada tingkah lakunya yang tak elok pada pandangan matanya.

Entahlah, bingung Shima dibuatnya. Dia tidak faham kenapa suaminya berubah perangai. Di pejabat, Shima sering termenung memikirkan apa salahnya? Harun tidak semesra dahulu. Dia selalu naik angin apabila ditanya. Dengan anak, Harun sudah tak ambil kisah.

Pernah suatu hari, Dira ditengking kerana mengganggunya ketika dia sibuk dengan telefon. Kadang-kadang dia merasa kasihan dengan anaknya itu. Sebelum ini Dira amat manja dengan ayahnya. Dia sering dibawa keluar berjalan-jalan, apa sahaja kemahuannya akan dipenuhi. Setiap malam pula, Harun akan sama-sama mengulangkaji pelajaran dengan Dira. Layanan istimewa itulah yang membuatkan Dira manja dengan ayahnya.

Tapi sekarang, nak tengok Harun lekat di rumah pun cukup payah. Kalau balik pun, dah lewat malam. Anak dah tidur. Esoknya keluar pagi-pagi. Kalau hari cuti, Harun banyak ‘bertapa’ dalam bilik. Tak bercakap sepatah pun, hanya menggunakan bahasa isyarat. Kalau nak, diangguk, kalau tak nak digeleng-geleng.

Shima bimbang, andai hal ini berlarutan, apa yang harus dia lakukan? Mohon cerai? Suatu yang ngeri buat Shima memandangkan usia perkahwinannya baru memasuki lapan tahun. Tapi atas alasan apa perceraian itu perlu dilakukan?

Indahnya hidup berumah tangga bukan terletak pada rumah yang besar dan harta bertimbun. Sekalipun hidup bermandikan kemewahan, ia tidak akan membawa apa-apa erti. Jauh sekali untuk merasai nikmat kebahagiaan yang perlu dibajai dengan nilai-nilai kasih sayang.

Justeru dalam sesebuah perkahwinan, ia bukan sekadar perkongsian dalam pemilikan harta tetapi teras kebahagiaan itu terletak di atas perkongsian kasih sayang, saling ambil tahu, memahami dan bertanggungjawab.

Lantas, apabila komunikasi hanya berlaku satu hala, rumah tangga pastinya akan pincang. Lebih buruk daripada itu, nilai kepercayaan antara satu sama lain akan mula terhakis. Islam mendidik umatnya, untuk saling menyayangi antara satu lain.

Firman Allah SWT: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. [Ar-Rum ayat 21]

Rencah utama keharmonian rumah tangga adalah komunikasi yang aktif di antara suami isteri. Kekerapan berkongsi perasaan dan pemikiran akan membuatkan pasangan merasa penting dan dihargai. Hakikatnya inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap isteri-isteri baginda.

“Segala yang melalaikan seorang Muslim adalah batil, kecuali memanah, melatih kuda dan bercanda ria dengan isteri. Ini semua termasuk kebenaran.” – Jami’al-sahih, Sunan al-Tirmidzi.

Justeru, tiadanya gurau senda dalam rumah tangga, akan membuatkan perhubungan antara satu sama lain menjadi hambar dan menjemukan. Tambahan pula apabila pasangan mempunyai perasaan negatif seperti ego, cepat melenting dan sukar menerima pandangan orang lain.

Apa pun, bermula daripada ketidakmampuan untuk berkomunikasi secara berkesan di antara pasangan, ia secara tidak langsung mempengaruhi hubungan dengan ahli keluarga lain terutamanya anak-anak.

Jika ayah mahupun ibu tidak mampu memberikan yang terbaik dalam setiap pertanyaan anak-anak, sudah pasti ia akan membantutkan proses mendapatkan maklumat dengan betul dan tepat. Bahkan akan mewujudkan persepsi buruk anak-anak terhadap kedua-dua ibu bapa mereka.

Justeru ibu bapa seharusnya peka dengan persekitaran hidup berkeluarga terutama apabila anak-anak mulai menilai gaya dan cara komunikasi ibu bapa yang membuatkan mereka gembira atau jemu untuk berinteraksi antara satu sama lain.

Ibu bapa yang sering bercakap dan bertukar pandangan, akan menjadi contoh kepada anak-anak apabila mereka dewasa kelak. Bahkan anak-anak yang melihat keakraban ibu bapa akan merasa senang dan riang. Hasilnya keluarga akan menjadi aman dan bahagia.