Pada masa sama, pihak kementerian itu juga akan meneliti segala bentuk peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengatasi penggunaan vape dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Isu yang melibatkan penggunaan rokok, rokok elektronik, shisha serta yang terbaharu vape mula hangat diperkatakan. Pelbagai pihak sudah melahirkan rasa kurang senang terhadap kegiatan yang melibatkan aktiviti merokok dengan menggunakan cara atau teknik moden tersebut.

Sudah pasti, pihak yang merasa bimbang adalah golongan ibu bapa yang merasa khuatir sekiranya aktiviti-aktiviti yang melibatkan penggunaan serta penjualan bahan rokok terbabit tidak dikawal atau dibendung sehingga mempengaruhi anak-anak mereka yang masih bersekolah.

Walaupun pihak Kabinet mempunyai alasan tersendiri untuk tidak mengharamkan penggunaan vape, namun usaha yang ingin diambil oleh Kementerian Kesihatan untuk menangani isu ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh semua pihak.

Sudah pasti sebarang cadangan yang ingin dikemukakan oleh pihak kementerian itu termasuk mengharamkan penggunaan vape dibuat berasaskan alasan atau sebab tertentu bagi kebaikan masyarakat umum.

Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan mengenai isu penggunaan vape terus berlaku, pihak berkaitan terutamanya Kementerian Kesihatan perlu melakukan kajian yang lebih mendalam terhadap penggunaan rokok elektronik ini terutama kesan penggunaannya terhadap kesihatan individu.

Pada masa sama, usaha berterus­an perlu diambil oleh pihak kerajaan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai isu bahaya merokok. Pelbagai langkah proaktif dilihat telah pun diambil oleh pihak kerajaan ke arah memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai isu bahaya me­rokok seperti menaikkan harga rokok, memperluaskan zon larangan merokok, menambah baik aspek perundangan sedia ada bagi membendung masalah penyalahgunaan rokok serta pengharaman penjualan rokok kepada golongan bawah umur.

Usaha berterusan harus diambil bagi mendidik orang ramai mengenai bahaya merokok. Pendidikan awal juga harus diberikan di peringkat sekolah bagi mendidik generasi muda mengenai bahaya rokok.

Usaha membanteras budaya merokok dalam kalangan masyarakat kita harus dilakukan pada setiap masa kerana di zaman moden ini, sudah wujud pelbagai jenis alat yang sama dengan rokok di antaranya rokok elektronik (e-rokok). Cadangan pihak kerajaan baru-baru ini untuk mewujudkan sebuah Akta Rokok perlu disokong oleh semua pihak.

Malah, pihak kerajaan perlu segera menggubal Akta Rokok terbabit bagi mengawal serta membendung aktiviti yang tidak sihat melalui penggunaan rokok dalam negara kita. Ini juga dilihat penting bagi mengelak masyarakat keliru mengenai isu vape seperti yang berlaku sekarang.

Melalui akta rokok berkenaan, definisi rokok perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci serta takrifannya juga perlu diperluaskan, tidak hanya pada rokok yang mengandungi tembakau, malah ia juga perlu termasuk rokok tanpa tembakau dan shisha.

Bagi umat Islam pula, isu me­rokok ini perlu dipandang berat ke­rana sudah wujud fatwa jelas mengenai isu rokok dalam negara kita.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, pada 23 Mac 1995 telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan”.

Berdasarkan fatwa yang diputuskan oleh pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan terbabit jelas menunjukkan bahawa fatwa pengharaman rokok telah lama dikeluarkan oleh majlis tersebut iaitu sudah lebih 20 tahun dan ia masih kekal sehingga sekarang.

Pengharaman rokok dibuat berdasarkan tiga sebab utama iaitu merokok membahayakan kesihatan para penggunanya, mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling perokok serta alam sekitar dan perbuatan tersebut menjurus kepada pembaziran wang, masa dan tenaga serta merugikan pengguna yang menggunanya.

Ini juga selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Pada 2013 juga, Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam juga telah memutuskan bahawa shisha adalah haram bagi umat Islam atas alasan yang hampir sama dengan pengambilan rokok.

Terkini, pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan juga sedang mengkaji penggunaan Vape terbabit dari sudut syariah.

Sementara menunggu sebarang keputusan dari pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengenai isu penggunaan vape, kempen berterusan mengenai isu pengharaman rokok seperti yang difatwakan perlu dipergiatkan pada setiap masa.

Pihak berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam, serta kerajaan negeri perlu memberi kerjasama bagi memastikan kesejahteraan kesihatan masyarakat Islam dalam negara kita sentiasa kekal terjaga.

Sebarang percanggahan pendapat mengenai isu ini perlu di­selesaikan segera bagi mengelakkan kekeliruan timbul mengenai isu ini yang boleh menjejaskan imej Islam itu sendiri di mata masyarakat majmuk dalam Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

Isu pengharaman rokok juga perlu dibawa berbincang di dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi mewujudkan satu penyelarasan peringkat antarabangsa dalam kalangan negara Islam dari seluruh dunia bagi memastikan kesejahte­raan aspek kesihatan seluruh umat Islam di serata dunia kekal terjaga.