Jawapan

Terima kasih di atas pertanyaan yang sangat baik. Sebenarnya, perkara ini pasti juga berlaku di tempat lain. Malah pengalaman di institusi zakat juga sama, kami pernah menerima kunjungan bukan Islam yang berhajat membayar zakat. Biar pun jumlah mereka hanya sedikit namun pastilah ia sesuatu yang menarik untuk dikaji. Semestinya ada rahsia di sebalik kesanggupan mereka untuk berkongsi harta.

Berdasarkan pengalaman, memang ada dalam kalangan mereka yang suka bersedekah, berzakat dan hasilnya perniagaan mereka lebih berkembang. Sesuai dengan matlamat mereka untuk meraih keuntungan, maka sudah pastilah kesan keuntungan selepas memberikan harta amat menggembirakan mereka. Tidak hairanlah, maka mereka akan terus melakukannya kerana sudah jelas keuntungan yang diraih berlipat kali ganda selepas itu.

Bagi saya, hal ini bukanlah sesuatu yang pelik. Ini kerana, sudah menjadi sunnatullah (peraturan Allah), orang yang berbuat kebaikan maka akan dibalas dengan kebaikan. Jika kita menanam padi, hasilnya padi. Jika padi itu dibajai dan diairi dengan baik, maka hasilnya akan berlipat ganda. Itu adalah lumrah, maka demikianlah dalam konsep memberi.

Mungkin bagi bukan Islam mereka tidak mempelajari dan memahami konsep ‘berkat’ tetapi hakikatnya apa yang mereka dapat setelah memberikan harta (atas nama apa sahaja, sama ada sedekah, hadiah, derma atau zakat), ia adalah natijah atas kebaikan mereka. Allah SWT tidak lokek untuk membalas kebaikan atas kebaikan yang mereka lakukan.

ISLAM MENGHARGAI PERBUATAN BAIK 
BUKAN ISLAM

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seseorang Mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan di akhirat. Orang bukan Islam pula menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Ada pun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya.” – Riwayat Imam Muslim.

Jelas dinyatakan di dalam hadis bahawa kebaikan yang dilakukan oleh bukan Islam, maka mereka akan tetap memperoleh kebaikan dan ganjarannya di dunia. Namun, ganjaran di akhirat tiada buat mereka. Kenapakah ganjaran di akhirat tiada? Kerana mereka tidak mempunyai syarat, iaitu iman. Iman adalah ‘akaun’ yang membolehkan setiap ‘pahala’ amal soleh yang mereka lakukan disimpan di dalamnya.

Seperti mana seseorang yang mahu menyimpan wang di bank, maka wajib bagi mereka mempunyai ‘akaun’ di bank berkenaan. Tanpa akaun, maka pihak bank tidak boleh menerima wang berkenaan, biar pun wang yang mahu disimpan berjumlah jutaan ringgit. Jika disimpan juga tanpa akaun, samalah seperti menyerahkan wang berkenaan di dalam akaun ‘halimunan’. Apabila mahu dituntut kelak, wang itu juga akan menjadi ‘halimunan’, tidak akan ditemui.

Allah memberi analogi bahawa amalan tanpa iman itu ibarat fatamorgana di padang pasir atau debu-debu yang berterbangan kerana tiada ‘wadah’ atau bekas buat menyimpannya.

Firman Allah: “Dan orang kafir pula, amal-amal mereka laksana fatamorgana di tanah yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu.” (an-Nur: 39) dan lagi: “Lalu Kami bawakan kepada mereka segala amalan yang dikerjakan, Kami jadikan ia seperti debu-debu yang berterbangan.” (al-Furqan: 23)

Walau bagaimanapun, Allah yang bersifat Maha Pengasih itu tidak sesekali mengabaikan kebaikan para pelaku kebaikan berkenaan, ia tetap dibalas walaupun sekadar kebaikan atas dunia. Buktinya mereka memperoleh laba atas perniagaan. Sebab itu jugalah kita dapati atas dunia ini, orang bukan Islam jugalah yang menjuarai agenda kebaikan dengan menubuhkan pelbagai yayasan dan bersedekah bilion ringgit. Misalnya Yayasan Gates yang sangat terkenal itu.

Namun, apa yang lebih menarik lagi untuk dikaji, segala kebaikan yang mereka lakukan di atas dunia ini, masih ada peluangnya untuk ditukar menjadi ‘akaun pahala’ bagi membantu mereka di akhirat dan meraih syurga. Syaratnya, mereka mestilah mengucapkan dua kalimah syahadah, dan secara automatik melayakkan mereka mendapat ‘akaun pahala’. Segala kebaikan yang dilakukan sebelum mereka mengucapkan dua kalimah syahadah, akan terus ‘dikreditkan’ ke dalam ‘akaun pahala’ berkenaan.

Dari Hakim bin Hizam r.a., dia bertanya: “Ya, Rasulullah! Bagaimana pendapat Tuan tentang sesuatu yang saya lakukan sebagai ibadah di masa jahiliah berupa sedekah,memerdekakan hamba sahaya dan menghubungkan silaturahim, dapat pahalakah saya atau tidak (selepas saya memeluk Islam)?” Jawab Nabi SAW: “Engkau telah Islam dengan memperoleh kebaikan di masa lalu.” – Riwayat Imam Bukhari.

APAKAH BOLEH 
BUKAN ISLAM MENUNAIKAN ZAKAT

Islam tidak melarang orang bukan Islam melakukan amal kebaikan. Seperti mana yang ditanyakan oleh Hakim bin Hizam r.a di atas. Cuma dalam konteks zakat, sudah pastilah perbuatan orang bukan Islam mengeluarkan zakat tidak dikira sebagai zakat. Samalah amalan lain, seperti solat dan puasa, jika mereka melakukannya, ia tidak dianggap solat dan puasa di sisi Islam. Ini kerana, setiap ibadah mempunyai syarat wajib dan syarat sah. Syarat wajib zakat ialah beragama Islam, maka secara dasarnya mereka tidak wajib melakukannya dan jika dilakukan, tidak ada status sah batal ke atas mereka.

Apakah status sumbangan ‘zakat’ itu

Ia sekadar menjadi pemberian biasa sahaja, tidak mendapat pahala dan tidak dihukumkan berdosa ke atasnya jika dia enggan berzakat kerana dosa ‘syirik’ yang sedia ada di tubuh badannya itu jauh lebih besar. Hukum dosa dan pahala hanyalah bagi orang-orang Islam.

Dari aspek faedah perundangan lain, misalnya pelepasan daripada cukai pendapatan dan cukai perniagaan, maka pastilah mereka tidak berhak ke atasnya, kerana ia dikhususkan hanya kepada orang-orang Islam sahaja.

BOLEHKAH MENERIMA ZAKAT ATAU SEDEKAH DARIPADA BUKAN ISLAM

Oleh kerana ia adalah pemberian yang dibuat dengan kerelaan, maka tidak menjadi masalah bagi umat Islam untuk menerimanya. Hukumnya halal dimanfaatkan. Samalah seperti mana zaman silam, golongan bukan Islam juga ada mengeluarkan bayaran kepada Negara Islam, seperti jizyah (cukai badan) dan kharaj (cukai tanah), dan ia dimasukkan ke dalam Baitulmal untuk kegunaan negara, termasuk kepada umat Islam.

Malah di dalam kitab am-Amwal oleh Abu Ubaid, dikhabarkan pada zaman Umar al-Khattab r.a., terdapat sekelompok Arab dari Bani Taghlib yang beragama Nasrani telah meminta izin daripada Umar untuk menunaikan zakat dan Umar menerima permohonan tersebut.

Dinukilkan kembali hal ini oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya Hukum Zakat, pada halaman 99 – 101. Imam Baihaqi melaporkan daripada sumber Ubadah bin Nu’man dalam sebuah hadis yang panjang, bahawa Umar telah berdialog dengan Nasrani Bani Taghlib.

Kata wakil Bani Taghlib: “Kami adalah bangsa Arab yang tidak harus membayar (cukai jizyah) seperti apa yang dibayar oleh orang-orang bukan Arab. Tetapi pungutlah daripada kami zakat seperti yang dipungut dari orang lain (penduduk Muslim).”

Lalu Umar berkata: “Tidak, itu adalah kewajipan orang Islam sahaja.” Namun Bani Taghlib tetap meminta: “Pungutlah lebih daripada zakat itu (yakni, tidak mengapa digandakan) dengan nama zakat, (asalkan) tidak dengan nama jizyah.”

Umar pun melaksanakan tuntutan mengambil ‘zakat’ ke atas Bani Taghlib sesuai dengan jumlah jizyah, demi menjaga perasaan mereka. (Hukum Zakat, hal. 101).

BOLEHKAH IA DIAGIHKAN SEBAGAI ZAKAT KEPADA ORANG ISLAM

Merujuk kepada tindakan Umar al-Khattab r.a. menerima ‘zakat’ daripada Bani Taghlib, maka jelaslah kepada kita bahawa ia halal dan boleh dimanfaatkan kepada semua pihak. Mungkin ada yang berkata, bukankah ‘zakat’ bukan Islam ketika itu akan dimasukkan ke dalam Baitulmal dan setiap harta yang masuk ke dalam Baitulmal maka akan menjadi halal?

Jawapannya, ‘zakat’ yang diberikan oleh bukan Islam hari ini hakikatnya adalah daripada hartanya sendiri, tidak dipaksa, maka ia merupakan satu pemberian yang halal. Sesungguhnya, status kufur tidak memberi kesan ‘halal atau haram’ atas pemberiannya. Maka, ia halal untuk dimanfaatkan atas jalan apa sekali pun.

Kita hendaklah berpegang dengan konsep, harta umum boleh dimanfaatkan untuk golongan yang khusus, manakala harta khusus (seperti zakat), tidak boleh dimanfaatkan untuk yang umum, kecuali atas lapan asnaf yang telah ditetapkan Allah.

Namun begitu, jika masih diragui sumber harta bukan Islam itu tidak halal, seperti hasil jualan arak, judi dan sebagainya (masih ada perasaan was-was untuk menggunakannya), maka tirulah seperti yang dilakukan oleh Khalifah Umar iaitu disalurkan ke dalam Baitulmal, agar menjadi halal 100 peratus tanpa was-was lagi.

Kesimpulannya, adalah harus bagi pusat zakat menerima zakat atau sedekah daripada bukan Islam dan mereka mendapat manfaat atas dunia ini dalam bentuk keuntungan duniawi. Ia boleh bertukar menjadi pahala yang menguntungkan di akhirat seandainya mereka memeluk Islam. Maka, marilah kita doakan agar individu bukan Islam yang sangat baik hati itu mendapat hidayah.