JAWAPAN:

 

Berdosa, kena bayar diyat sebagai ganti qisas

Memandu dengan amat laju adalah satu perbuatan yang salah. Islam menegah perbuatan sia-sia yang membawa kepada mudarat bahaya. Dalam nas al-Quran yang umum dinyatakan maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan”.

Tempat perlumbaan juga adalah tempat laluan masyarakat atau pengguna yang lain. Ini bermakna ada penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lain. Kemalangan mudah berlaku dalam situasi sebegini. Jalan raya bukanlah tempat yang dikhaskan untuk berlumba.

Jika berlaku kematian yang melibatkan pelumba secara rempit ini, maka kematiannya adalah sia-sia. Jika kemalangan dan kematian melibatkan pihak yang tidak terlibat dengan perlumbaan seperti masyarakat awam, maka pelumba secara rempit ini telah melakukan kesalahan yang besar. Ia berdosa kerana menyebabkan kematian pihak yang lain.

Dalam isu ini, hukuman yang berat patut dikenakan terhadap pelumba sebegini. Contohnya ialah bayaran diyat iaitu bayaran pampasan kerana menyebabkan kematian sebagai ganti kepada qisas. Bayaran diyat ialah 100 ekor unta atau bayaran harga sama nilai 100 ekor unta. Jika seekor unta berharga RM4,000, maka bayaran diyatnya sebanyak RM400,000. Bayaran ini tidak dapat mengembalikan nyawa yang telah hilang. Namun begitu, ia dapat meringankan beban waris yang ditinggalkan oleh si mati akibat kemalangan kerana kecuaian segelintir orang yang berlumba. Maka mekanisme bayaran diyat wajar dimajukan.