Tiada beza vapor, shisha, rokok


Oleh Mohd Hassan Adli Yahya

 

Baru-baru ini saya, isteri dan dua anak yang berumur tiga tahun dan tujuh bulan, singgah di sebuah restoran untuk makan malam. Alhamdulillah, kami mendapat tempat duduk di bahagian dalam restoran berkenaan walaupun ia sesak dengan orang ramai.

Saya melihat di sebelah meja ada satu keluarga yang lebih kurang seperti keluarga saya juga. Ada suami, isteri dan tiga anak termasuk seorang bayi yang dikendung oleh si isteri sedang enak menjamu selera.

Kira-kira 15 minit menunggu, makanan yang kami tempah tiba. Saya dan isteri menjamu selera sambil bergilir-gilir menyuapkan si kecil. Sedang asyik menjamu selera, saya lihat isteri mengerutkan dahi sambil tangannya seolah-olah mengipas-ngipas di bahagian hidung.

“Kenapa ni?” Saya bertanya.

“Hmm…busuklah. Bau asap rokok,” isteri saya menjawab.

Lalu saya menjeling ke sekitar meja tempat duduk mencari-cari dari mana datangnya asap itu. Rupa-rupanya puncanya tidak jauh, keluarga yang duduk di sebelah meja saya tadi sahaja.

Nampaknya si ayah sudah selesai makan manakala anak-anaknya masih menjamu selera. Sambil menunggu semua selesai makan, si ayah mungkin mahu ‘melengkapkan’ lagi makan malam itu dengan menghisap rokok. Selera makan saya juga terbantut.

Bau asap rokok benar-benar merencatkan selera makan saya dan isteri. Kami seolah-olah ‘dipaksa’ untuk turut menyedut kepulan asap yang keluar dari mulut dan hidung si lelaki berkenaan.

“Ahh…dalam restoran kawasan tertutup, tengah ramai orang ni pun nak merokok, ke?” Hati saya bermonolog mengeluh sendirian. Kebetulan ketika itu saya lihat ada meja berhampiran yang kosong, lalu saya dan isteri berpindah ke meja itu.

Lelaki itu yang perasan kami berpindah meja, hanya tersenyum tawar melihat saya. Saya lihat dia cuba memadamkan api rokoknya dengan menenyeh-nenyehkannya di kaki kerusi plastik yang sedang didudukinya. Mungkin dia sedar saya dan isteri tidak selesa dengan asap rokoknya.

Saya percaya situasi dan dilema ini dihadapi ramai, terutama mereka yang tidak merokok, mempunyai anak kecil dan yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan seperti asma. Kita sering ‘dipaksa’ menghidu asap yang tidak menyenangkan ini.

Pergilah ke mana-mana kedai makan atau tempat yang ramai orang, pasti ada sahaja golongan yang menghisap rokok secara terbuka di situ. Kadangkala ada lima hingga enam orang, dan semua menghisap rokok selepas makan.

Perkara ini sebenarnya luar biasa tetapi sudah dirasakan biasa oleh golongan yang tidak prihatin. Luar biasanya adalah kerana Allah memberikan semua hamba-Nya untuk menghirup udara bersih dan segar, namun mereka memaksa orang yang duduk di sekeliling untuk menghirup udara kotor yang dihasilkan daripada rokok mereka.

Saya mempunyai seorang teman yang menghidap penyakit asma. Saya bersimpati dengannya yang ‘semput’ dan terpaksa mengambil pam (inhaler) setiap kali terhidu asap rokok ketika makan ataupun duduk bersama orang yang merokok. Mereka yang menghidap penyakit asma amat sensitif dengan bauan seperti ini.

Begitu juga dengan wanita dan anak kecil. Asap ini sedikit sebanyak pasti memudaratkan mereka. Namun, saya lebih hairan dengan mereka yang saya kira sudah bergelar suami dan ayah yang merokok di hadapan isteri dan anak. Bagaimana dia tergamak memberikan sesuatu yang kotor kepada anak dan isteri mereka?

Tidak cukup dengan itu, kita dihidangkan pula dengan ‘trend’ terbaru yang dikatakan untuk menggantikan rokok iaitu ‘vapor’. Dikatakan bau asapnya lebih wangi daripada asap rokok biasa, malah ada yang mengatakan ia alat untuk mengurangkan ketagihan terhadap rokok.

Kononnya sebagai proses perlahan-lahan untuk berhenti merokok. Malangnya, kehadiran ‘vapor’ dilihat seakan-akan menjadi ‘trend’ dalam kalangan anak muda lelaki dan wanita. Bahkan, yang tak pernah merokok sebelum ini juga terjebak untuk menghisap ‘vapor’ kerana berasakan itu adalah trend terkini.

Namun, apa juga bentuknya dan apa juga bau asapnya, saya percaya ramai tidak rela menjadi tukang sedut asap yang berkepul-kepul keluar dari mulut penghisap dua benda ini.

Memetik kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli al-Bakri dalam fatwa pengharaman ‘vapor/shisha’ ini,

“Pada hari ini, 17 Ogos 2015 bersamaan 2 Zulkaedah 1436H, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan kenyataan mengharamkan penggunaan rokok elektronik melalui fatwanya. Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, keputusan itu diputuskan dengan mengguna pakai hukum menghisap ‘shisha’ yang telah difatwakan sebelum ini.”

Tambah beliau lagi, “Apabila telah cukup dapatan iaitu yang pertama membahayakan, kedua membazir dan ketiga memudaratkan kesihatan, maka apabila perakuan ini sama, maka kita mengatakannya haram.”

Sebab pengharamannya masih sama seperti rokok iaitu, melalui firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Oleh itu, diharapkan agar kita sama-sama menggunakan akal dan kebijaksanaan yang Allah kurniakan untuk memikirkan keselesaan dan kesejahteraan orang di sekeliling kita. Mudah-mudahan kita lebih prihatin dan bertimbang rasa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: