Jika persetujuan suami tidak diperoleh, maka pihak isteri akan cuba melihat kaedah lain seperti khuluk ataupun taklik (yang dipersetujui oleh suami ketika majlis pernikahan dilangsungkan). Jika kedua-dua kaedah berkenaan juga tidak mampu mencapai maksud pihak isteri berkenaan, maka jalan terakhir yang akan digunakannya tentulah fasakh.

Di sesetengah negeri, keputusan melalui fasakh hanya dapat dicapai dengan tempoh masa yang (relatifnya) lama. Malah sudah menjadi stigma dalam kalangan masyarakat kita bahawa fasakh akan menjadi ujian kesabaran bagi pihak penuntut untuk tempoh yang panjang sebelum memperoleh kebebasan yang diharapkan.

Rentetan daripada situasi yang menyukarkan ini, maka institusi kehakiman Islam di Malaysia telah mewujudkan ‘tahkim’ bagi mengurus dan menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Dalam konteks ini, ‘tahkim’ menjadi satu medium kepada pihak-pihak yang bertikai melantik seseorang sebagai hakam untuk menyelesaikan pertikaian suami isteri berlandaskan hukum syarak. Arahan Amalan Mahkamah Syariah Tahun 2006 diwujudkan bagi membenarkan hakam dilantik dan mengambil peranannya.

Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ini memperuntukkan situasi tertentu supaya kaedah hakam dapat digunakan. Ini terma­suklah:

(a) Perbalahan di antara suami isteri yang timbul daripada nusyuz isteri, atau disebabkan kezaliman suami, ataupun berlaku kesamaran siapa yang benar dan dusta dalam perbalahan yang berlaku;

(b) Perbalahan dan tuduh-menuduh yang masing-masing tidak melaksanakan tanggungjawab suami atau isteri;

(c) Kedua-duanya saling menuduh berkawan dengan perempuan/lelaki sehingga melewati batas syarak;

(d) Tuduh-menuduh berkaitan kelalaian dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap anak-anak dalam perkahwinan;

(e) Aduan isteri tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah Syariah kerana tidak ada bukti, dan Mahkamah mendapati pertikaian sentiasa berlaku; dan,

(f) Sebarang tindakan yang menyebabkan mudarat terhadap isteri

Di Selangor, bagi memastikan pendekatan tahkim ini dapat melaksanakan fungsinya secara berkesan maka Kaedah-kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 digubal. Kaedah-kaedah ini diwujudkan bagi menjalankan kuasa yang diperuntukkan oleh Seksyen 48, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2013.

Secara ringkasnya, Seksyen 48 memperuntukkan tentang timbang tara hakam bagi mengurus perkelahian yang wujud antara suami isteri dan ketegangan berkenaan berlaku secara berterusan.

Perkara ini timbul disebabkan Seksyen 47, perceraian dengan talak atau dengan perintah, enggan digunakan secara bersama oleh pihak-pihak yang terlibat. (Rujuk Internet).

Bahagian Permulaan kaedah-kaedah hakam ini, memperincikan lagi maksud ‘Majlis Tahkim’, iaitu memberi erti sebagai sesi timbang tara atau proses penyelesaian perkelahian (shiqaq) yang melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dengan hakam untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talak atau dengan khuluk.

Ini menunjukkan majlis tahkim yang dilaksanakan di Selangor akan membawa pihak-pihak yang bertikai kepada tiga bentuk penyelesaian bergantung pada ragam konflik dan persetujuan yang mampu dicapai oleh kedua-dua belah pihak berkenaan. Iaitu, sama ada berdamai dan meneruskan perkahwinan dengan aman, harmoni dan tenang, atau bercerai secara lafaz, ataupun secara tebus talak.

Hakam yang dilantik mempunyai kuasa menurut ruang yang diberi, termasuklah dalam membuat keputusan terhadap kelangsungan hayat rumah tangga pihak-pihak yang bertikai.

Walaupun sebelum kaedah ini digubal sudah ada platform penyelesaian dengan mewujudkan peranan hakam, tetapi realiti yang berlaku bukannya mengguna pakai konsep penimbangtaraan (arbitration) sebenar.

Hakam yang dilantik hanya menjalankan tugas mengikut kehendak pihak-pihak yang bertikai. Maka, hasil rundingan yang dijalankan lebih banyak menemui kegagalan berban­ding kejayaan, atau persetujuan secara bersama.

Rentetan daripada realiti yang berlaku ini, pelantikan hakam kemudiannya dibuat secara lebih profesional walaupun kalangan kerabat yang akrab masih boleh dipilih oleh pihak-pihak yang bertikai untuk dilantik sebagai hakam.

Di Selangor, mereka menerima individu yang bukan dalam kalangan ahli keluarga dan Majlis Agama Islam Sela­ngor (MAIS) telah pun melantik 30 orang individu bagi membarisi Panel Jawatankuasa Kaedah Hakam. (Kaedah 4 (1) (b))

Menurut kaedah ini, individu yang layak untuk dilantik sebagai hakam dalam kalangan yang beragama Islam, lelaki, berakal serta baligh (mukalaf), adil serta amanah, dan mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan hukum syarak.

Meneliti syarat-syarat yang dinyatakan, saya berpendapat alangkah baiknya jika ruang turut diberikan kepada wanita untuk menjalankan tugas atau peranan sebagai hakam. Jika hakim syarie di Malaysia boleh dilantik dalam kalangan wa­nita (setelah perbahasan tentang lantikan hakim syarie dalam kalangan wanita selesai), tentulah tiada masalah jika fungsi yang lebih rendah berbanding hakim ini ditawarkan kepada wanita.

Negara kita mempunyai tenaga profesional wanita yang ramai seperti ahli psikiatri, psikologi, pensyarah, peguam, penyelidik dan kaunselor. Banyak penyelidikan dan hasil tulisan berkaitan hal-ehwal kekeluargaan dan undang-undang keluarga yang dihasilkan oleh mereka. Malah tidak kurang dalam kalangan profesional wanita ini yang mempunyai kepakaran dalam bidang kekeluargaan turut mempunyai pengetahuan dalam bidang lain (interdisciplinary). Contohnya kaunseling dan undang-undang keluarga Islam, atau psikologi dan Syariah. Malah wanita juga turut menganggotai jawatankuasa penggubalan undang-undang.

Jika lantikan terhadap wanita tidak dapat dibuat dengan alasan suami atau wali tidak membenarkan isterinya bertugas sebagai hakam, maka persetujuan secara hitam putih boleh diperoleh terlebih dahulu sebelum lantikan dibuat. Saya percaya masih ramai suami yang boleh memberikan persetujuan, dan menyokong usaha murni ini.