Walaupun bukan baru diperkenalkan, namun perbahasan mengenai ajaran yang berkait rapat dengan ilmu Tasawuf itu dilihat bagaikan tiada titik noktah kerana tidak pernah selesai diperdebatkan terutamanya oleh kelompok tertentu.

Tidak terlepas daripada tempias negatif, sehingga ada yang melabel kesemua ajaran yang diperkenalkan dengan tujuan asal bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT itu adalah menyeleweng daripada syariat ajaran Islam atau sesat. Sekali gus, menjadikan tarekat semakin dipandang serong dan diketepikan oleh umat Islam.

Mengulas perkara tersebut, Ahli Jalsah Turuq Sufiyyah Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Dr. Jahid Sidek ketika ditemui menegaskan bahawa tidak semua tarekat adalah menyeleweng, sebaliknya disyariatkan kepada umat Islam menerusi dalil yang terkandung dalam al-Quran dan sunah.

Beliau berkata, ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Sekiranya manusia istiqamah di atas jalan (tarekat) ini, nescaya kami akan kurniakan kepada mereka air yang melimpah ruah.” (Surah Al-Jin: 16)

Malah tambahnya, mengamalkan tarekat yang khusus mampu membawa seseorang umat Islam kepada tahap kesempurnaan dalam Islam iaitu darjat Ihsan sebagaimana definisi tarekat yang disimpulkan oleh ulama Tasawuf Syeikh Mohammad Zakaria al-Kandahlawi di dalam kitab al-Syari’ah wat-Toriqah yang membawa maksud, jalan atau amalan yang menyampaikan (seseorang mukmin) ke darjat ihsan.

“Secara umumnya terdapat tiga asas dalam agama Islam iaitu rukun Islam yang lima, rukun Iman yang enam dan ihsan. Kebanyakan umat Islam mengamalkan tarekat umum iaitu dua daripada tiga asas tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan kadar minimum amalan dan akidah Islam yang wajib ditaati.

“Namun, bagi membawa seseorang Muslim dan Mukmin itu untuk mencapai tahap ihsan atau Muhsin, dengan mengamalkan satu tarekat yang khusus dapat membantu mencapai tahap ketiga tersebut yang bermaksud beribadah kepada Allah SWT seolah-olah melihatnya, jika tidak sesungguhnya Allah SWT melihat anda,” katanya.

Jahid yang juga merupakan Syeikh Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah berkata, amalan tarekat lazimnya adalah dengan mengamalkan bacaan zikir iaitu kalimah Lailahaillaah atau nama-nama Allah yang lain.

“Jika diperhatikan, terdapat lebih 60 ayat suruhan berzikir disebutkan di dalam al-Quran, yang mana menceritakan kelebihan dan kedudukan orang berzikir juga kesan buruk orang yang tidak berzikir kepada Allah SWT.

“Malah, amalan berzikir merupakan kaedah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berdakwah kepada umat Islam di Mekah selama hampir 11 tahun sebelum perintah solat disyariatkan kepada umat Islam ketika itu.

“Ini selari dengan syariat asas dakwah di Mekah pada zaman Rasulullah SAW adalah memfokuskan kepada aspek akidah dan akhlak. Terbukti amalan zikir mampu memperbetulkan kedua-dua aspek tersebut kepada umat Islam pada masa itu,” ujarnya.

PRINSIP TAREKAT

Walau bagaimanapun, Jahid berkata, dalam memilih tarekat yang ingin diikuti, umat Islam perlu memastikan ajaran yang dibawa bertepatan dengan garis panduan atau prinsip syariat bertarekat bagi mengelakkan daripada terjerumus dalam penyelewengan.

Antara prinsip itu katanya, termasuk takwa, mencari ilmu, berguru, mempunyai amalan zikir, mempunyai hikmah yang tinggi, rakan yang membantu dan syukbah.

Kesemua prinsip itu, tambahnya, perlu diperhatikan dengan menilai bermula kepada sikap guru, ahli yang mengikuti kumpulan dan juga pergerakan tarekat secara keseluruhannya sebelum menyertai sesuatu fahaman itu.

“Takwa adalah aspek terpenting untuk dinilai. Takwa bermaksud melakukan segala syariat Islam yang diperintahkan dan meninggalkan perkara yang dilarang. Bagi mengelakkan takwa tidak terpesong, perlulah berpegang dengan akidah ahli sunah wal jamaah dan mengikuti salah satu mazhab empat yang diiktiraf.

“Begitu juga, ilmu perlu dicari dan elakkan daripada memegang kepercayaan ilmu datang sendiri. Sekurang-kurangnya ilmu Fikah, Tauhid dan Tasawuf wajib dipelajari dalam tarekat. Ini kerana tasawuf penting bagi memperhalusi Tauhid dan Fikah.

“Guru yang ingin dijadikan ikutan itu pula perlulah mematuhi syarat seorang guru yang dipercayai dan berpengetahuan luas yang boleh menjadi ikutan kepada kebenaran,” katanya yang juga merupakan Bekas Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Dalam pada itu katanya, tarekat yang benar perlulah mempunyai amalan zikir yang diajarkan atau diturunkan daripada syeikh atau guru terdahulu.

“Berzikir juga perlu ada caranya, iaitu tidak dibenarkan berzikir sehingga dipandang buruk oleh kaca mata syariat Islam. Jika sekadar bergerak badan dibolehkan tetapi tidak sehingga dilihat seperti menari atau melompat-lompat.

“Sesuatu ajaran tarekat juga perlu mempunyai hikmah yang tinggi. Untuk memperoleh hikmah itu perlu mempunyai keazaman dan kemahuan kental untuk terus beramal untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dan istiqamah.

“Begitu juga persekitaran dan rakan sekumpulan yang baik dan boleh memantau serta menegur kesalahan jika kita melakukan kesalahan. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda, seseorang itu boleh dinilai menerusi rakannya,” katanya