PADA hari ini ramai yang sibuk berkata akan kejahilan pimpinan kita berkenaan agama, bagi saya lemahnya pemimpin-pemimpin negara kita dalam memahami konsep Islam yang sebenar bukanlah suatu perkara yang pelik, ia sudah dimaklumi semua.
Lebih utama bagi saya adalah kita juga hendaklah sedar bahawa kejahilan akan kefahaman Islam yang benar hakikatnya bukanlah hanya melanda golongan politikus kita sahaja, ianya bermula daripada bawah iaitu masyarakat itu sendiri.
Pemimpin yang wujud adalah cermin kepada wajah masyarakat kita pada hari ini.
Penyakit kronik yang melanda masyarakat kita ini semakin jelas dalam isu baru-baru ini berkaitan vape atau pun rokok elektronik.
Saya tidak bercadang membicarakan soal ini pada perspektif syarak secara mendalam kerana saya yakin banyak pihak bahkan mufti-mufti sendiri telah menyatakan secara jelas akan keharamannya.
Akhirnya terserah kepada kita sama ada ingin benar-benar mencari kebenaran atau benar-benar mencari alasan untuk berterusan melakukan suatu maksiat.
Yang merisaukan saya adalah hujah sesetengah pihak yang menyebut kononnya antara kebaikan rokok elektronik ini adalah ianya menjadi ubat kepada perasaan ketagih terhadap perbuatan menghisap rokok.
Lalu dengan ini boleh membawa kepada seseorang itu meninggalkan rokok keseluruhannya. Walaupun mereka akui rokok elektronik itu membawa mudarat cumanya kurang daripada rokok katanya.
Kenyataan seperti ini jelas berkait dengan konsep kefahaman masyarakat kita berkenaan kaedah meninggalkan sesuatu maksiat atau menolak sesuatu kemudaratan. Bagi saya kefahaman ini adalah lebih asas untuk masyarakat kita insafi dan ambil iktibar daripada isu ini.
Kerana gagal dalam memahami hal ini akan menyebabkan rosaknya kefahaman kita akan seluruh perkara yang berkaitan maksiat, bukan sekadar berkaitan rokok.
Dalam Islam, konsep berkaitan perlakuan sesuatu maksiat itu jelas lagi terang iaitu:
Ia hendaklah ditinggalkan dan ditolak serta digantikan dengan amalan kebaikan!
Konsep ini disebut dalam firman ALLAH SWT di dalam al-Quran:
Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. (Surah Hudd: 113)
Juga konsep ini diperkukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah SAW:
Daripada Abi Zarr dan Muaz bin Jabal Radiallhuanhuma: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Bertaqwalah kepada ALLAH di mana sahaja kamu berada serta iringilah setiap kejahatan itu dengan perbuatan baik yang akan menutupnya, dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik (riwayat Tarmizi)