Lantas dia teringat sebuah hadis yang bermaksud: Sesungguhnya singgahsana (pusat pemerintahan) iblis berada atas laut, maka dia mengutus pasukan tenteranya yang memfitnah (merosakkan) manusia, syaitan yang paling dekat kedudukan dengannya adalah yang paling banyak kejahatannya. (Sahih Muslim)

Kementerian itu pula mempunyai banyak pecahan, terlalu banyak tapi antara yang paling aktif beroperasi 24 jam sehari adalah ‘Jabatan What’s App’, ‘Jabatan Facebook’, ‘Jabatan Twitter’ dan ‘Jabatan Pornografi’.

Pada pintu masuk kementerian tersebut tertulis banyak sasaran kerja tahunan atau KPI. Mat Zain sempat mengingat beberapa sasaran sahaja iaitu; menyalakan api permusuhan, meruntuhkan rumah tangga, melagakan sahabat, menelanjangkan diri, menabur fitnah, mengaibkan orang dan menghanguskan amalan. Sedang asyik Mat Zain meneliti segenap penjuru kementerian itu, tiba-tiba bahunya digoncang kuat oleh satu lembaga hodoh bertanduk yang menjerit padanya: “Hoi! Apa kamu buat di sini?”

Mat Zain tersentak lalu tersedar. Oh! Aku bermimpi rupanya! Peluh jantan membasahi dahinya. Mat Zain berazam untuk memviralkan mimpinya itu di media sosial.

Namun bimbang juga dia bakal ditertawakan kerana sibuk berbicara tentang mimpi. Tambahan pula ‘mimpi tidak sah sebagai hujah dalam agama.’

Kisah mimpi Mat Zain adalah rekaan. Namun di sebaliknya ada metafora untuk renungan bersama. Mengapa? Sejurus iblis dilaknat Allah SWT kerana sombong, dia bersumpah akan melancarkan perang merosakkan manusia daripada segenap penjuru.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku akan benar-benar mendatangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (al-A’raf: 16-17)

Bukan setakat dari empat penjuru, iblis juga akan menyerang dengan segala bala tenteranya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Iblis berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya).

Allah berfirman (kepada iblis): Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahanamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup. Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka) dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata. (al-Isra’: 62-64)

Merosakkan 
anak Adam

Subhanallah! Benar sekali firman Allah SWT ini. Bala tentera iblis sangat ramai, teratur dan sangat ‘semasa.’

Jika keperluan dan obsesi semasa adalah media sosial maka fokus pasukan elit iblis juga tertumpu untuk merosakkan anak Adam melalui lorong ini.

Banyak kali saya mendengar dialog sebegini:

  •  “Encik “K” sudah bercerai dengan isterinya. Ia gara-gara sibuk berfacebook kemudian jumpa kekasih lama pada zaman persekolahan. Perang besar dalam rumah tangga mereka akhirnya bercerai. Kesian sekali anak-anak mereka.”
  •  “Ustaz! Boleh tak tolong nasihatkan suami saya. Tak kira masa berwhats app dengan wanita asing sehingga ke tengah malam. Bila saya tegur berbagai alasan diberi. Itu pun boleh dikira khalwat jugakan?”
  •  “Terkejut saya Ustaz. Sedih pun ada. Gambar ibu saya diubah suai menjadi poster gurauan lucah malam Jumaat.”
  •  “Kawan saya menangis tak berhenti. Sudahlah baharu kematian anak dalam kemalangan ngeri. Ramai pula menyebarkan gambar kematian anaknya melalui media sosial. Selamba sahaja disebar atas alasan pengajaran.”
  •  Ehh! Tazkirah yang awak kongsi itu adalah hadis palsu. Besar dosanya sebar hadis palsu dengan sedar. Alah! Benda baik, apa salahnya walau palsu.

Kesemua dialog di atas hanya sebahagian dosa media sosial yang memang banyak berlaku. Belum lagi dikira dosa memaki-hamun dengan jari yang menaip dan sebagainya.

Semua dosa itu telah menjadi sebab “anugerah pingat emas perosak manusia” diberikan kepada Pasukan Elit Media Sosial Iblis kerana berjaya merealisasikan akujanji iblis untuk merosakkan umat manusia.

Beringatlah semua, usahlah terjerumus ke dalam perangkap iblis.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembah-Ku; inilah jalan yang lurus. Dan sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yasin: 60-62)

Perisainya adalah iman dan takwa. Sebelum berbicara, menyebar, berkongsi, bergurau dan sebagainya ingatlah bahawa segala gerak kita di alam realiti dan di alam maya ada “audit dan hisabnya” di akhirat kelak. Ya Allah! Selamatkan kami daripada musibah dosa media sosial.