Seharusnya ibu bapa hari ini perlu berasa bimbang dengan gejala menonton video lucah atau pronografi yang sewenang-wenangnya boleh diakses menerusi telefon pintar atau gajet-gajet sosial yang bakal menganggu perkembangan kehidupan golongan kanak-kanak dan remaja khususnya.

Mungkin kira-kira 10 tahun lalu, anak-anak dilalikan dengan penguasaan internet menerusi komputer atau komputer riba, namun menjelang ke persekitaran yang sangat hebat, kuasa dunia di hujung jari, liputan pornografi boleh diakses menerusi telefon pintar tanpa sekatan. Apa yang sangat membimbangkan, telefon pintar pada hari ini merupakan satu gajet yang harus ada kepada anak-anak sebagai satu alat perhubungan yang diberi oleh ibu bapa sendiri.

Memetik kata-kata Pengarah Pusat Terapi Perkahwinan, Keluarga dan Kanak-Kanak KIN & KIDS, Chais Wong pada satu majlis, baru-baru ini, generasi yang dilahirkan tahun 1995 hingga 2009 merupakan generasi Gen Z yang salah satu daripada kriteria kehidupan mereka untuk bersosial ialah saling berhubung menerusi laman-laman sosial seperti twitter dan facebook sehinggakan mereka menjadi golongan sindrom skrin elektronik.

Berdasarkan daripada pendapat yang dikeluarkan oleh Chais, kita sendiri dapat menilai berapa lama golongan ini terdedah kepada internet secara berleluasa, seharian tanpa kawalan.

Kekhuatiran kita ke atas golongan remaja dan kanak-kanak yang boleh melayari laman-laman yang menghidangkan porno dan seterusnya menjadi ketagih ada benarnya, Pensyarah Kanan Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Azlin Hilma Hilaluddin berkata, porno ibarat barah dalam masyarakat yang menyumbang kepada kehancuran keluarga, kehamilan haram, kelahiran haram, membuang bayi, sumbang mahram, rogol dan perosak mental kanak-kanak serta kemungkinan besar akan menjadi mangsa pedofilia.

Inilah sebenarnya punca utama masalah kehamilan dan pembuangan bayi yang dilaporkan berleluasa berlaku.

Jelas Azlin Hilma, golongan kanak-kanak dan remaja ini boleh mencapai akses porno berdasarkan kepada beberapa keadaan. Ada yang menonton porno atas dasar sukarela dengan mencari laman itu sendiri kerana tertarik dengan mengenai perkara berkenaan, ada juga yang mengakses laman lain tetapi keluar video porno tanpa disengajakan yang akhirnya membawa kepada keseronokan, ada yang dipaksa menonton video lucah oleh pedofilia, malah ada ibu bapa yang tidak kisah menonton video lucah bersama anak-anak mereka.

“Di luar negara mengikut kajian kes yang dijalankan, golongan kanak-kanak seawal usia lapan tahun, lelaki dan perempuan pernah menonton video lucah atau berciuman dan seterusnya melakukan ‘pencabulan’ secara sukarela terhadap rakan-rakan masing-masing,” katanya.

Azlin memberitahu, di negara ini pula menerusi kajian yang dilakukan olehnya berserta kumpulannya pada tahun 2011 di sekolah menengah di sebuah negeri di utara Semenanjung, mendapati kira-kira 40 peratus kanak-kanak di sekolah itu yang berusia 13 hingga 17 tahun mengaku pernah menonton video lucah yang majoriti daripadanya adalah pelajar-pelajar lelaki.

Jelasnya, peratusan pengakuan berkenaan pasti jumlahnya akan meningkat sekiranya kajian tersebut dilakukan di sekitar sekolah di bandar-bandar besar.

“Kita maklum mengenai sifat ingin tahu yang melampau golongan remaja terhadap semua perkara termasuk dari segi seksualiti dan apabila ditanya bagaimana mereka dapat menonton video lucah, mereka memberitahu memperolehnya daripada rakan-rakan, internet dan juga televisyen. Di sini kita dapat menilai bahwa pengaruh rakan-rakan adalah punca utama mereka tertarik ingin melihat video-video porno.

“Apabila kita menjalankan kajian ke atas rumah-rumah perlindungan yang menempatkan gadis-gadis hamil luar nikah, penghuninya menyatakan rasa teruja untuk melakukan seks bersama teman lelaki hasil video porno yang disaksikan bersama. Begitu juga kes sumbang mahram terjadi akibat adik atau abang atau ayah melihat video lucah di dalam rumah.

“Itulah peranan porno sebenarnya kerana video seperti ini bertujuan untuk merangsang nafsu,” katanya yang bimbang dengan keadaan semasa sekarang.

Apabila ditanya bagaimana membendung permasalahan ini, Azlin Hilma memberitahu, di sini letaknya peranan ibu bapa yang perlu memantau perkembangan anak-anak dan perilaku mereka.

Katanya, ibu bapa perlu selalu memeriksa telefon anak-anak terutama ke atas aplikasi dan laman-laman web yang mereka gunakan serta selalu memberi nasihat berbentuk nilai-nilai positif kepada anak-anak.

“Ada yang beranggapan sekiranya anak-anak mengakses laman web yang biasa, mereka merasakan anak-anak tidak akan terdedah kepada video lucah, tetapi apa yang mereka tidak tahu gambar-gambar lucah ini boleh diakses sama ada secara tidak sengaja di laman-laman sosial lain.

“Sebagai contoh, sekiranya anak anda melayari facebook, mungkin ada dalam kalangan kenalan mereka itu yang terdiri daripada mereka yang berada di luar negara, atau dalam kalangan pedofilia sendiri yang akhirnya boleh menjerumuskan golongan ini ke laman yang tidak sepatutnya. Begitu juga sekiranya ada antara kenalan mereka yang menghantar secara pesanan peribadi gambar-gambar yang tidak sepatutnya.

“Terdapat juga laman-laman iklan yang cuba menarik minat pelayar laman web dengan iklan tertentu tetapi di situ juga diselitkan gambar-gambar tidak senonoh. Dalam erti kata lain begitu mudahnya gambar-gambar porno ini diakses oleh kanak-kanak, remaja, malah yang dewasa pun, ia ‘berada’ di mana-mana secara tidakl angsung.

“Lebih parah lagi sekiranya ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan mengakses gajet atau tidak mempunyai pengetahuan mengenai internet yang beranggapan semua yang diakses anak-anak adalah yang elok-elok belaka,” katanya yang memberitahu, mereka yang melayari porno melakukannya secara senyap-senyap.

Azlin Hilma menambah, di sini pentingnya pendidikan seks diajar kepada golongan remaja di sekolah-sekolah sebagai satu sistem pendidikan, malangnya masyarakat tidak dapat menerima perkataan pendidikan seks seolah-seolah pendidikan itu akan menggalakkan isu sosial dalam kalangan remaja, dan ramai yang salah faham mengenai pendidikan seks yang dikatakan sebagai satu perkara yang tabu dan tidak perlu diperbincangkan.

“Sistem pendidikan ini sebenarnya lebih luas kerana tidak memfokuskan satu perkara sahaja tetapi lebih menyeluruh termasuklah penekanan soal agama, moral dan kesihatan. Bahaya porno bukan sahaja terhadap sikap dan mental malah dari sudut kesihatan, kanak-kanak dan remaja lelaki akan cuba melakukan onani untuk ‘melampiaskan’ rasa ghairah mereka. Sekiranya dilakukan selalu pasti akan menjejaskan sistem reproduktif mereka.

“Bahkan apabila mereka melihat porno, apabila berumahtangga kelak, remaja ini tidak akan melakukan seks secara normal, apatah lagi apabila mereka selalu melihat laman seks sosial yang menghidangkan seksual secara ekstrem atau ganas berbentuk penyeksaan dan sadis, menyebabkan mereka terfikir cara berkenaan adalah normal dan bukan yang sepatutnya melakukan seks.” katanya.