Jawapan:

Alhamdulillah, semoga pertanyaan tuan ini mampu saya jawab. Mudah-mudahan juga ia mampu memberikan pencerahan kepada ramai yang sering mengajukan persoalan yang sama mengenai status zakat ke atas wang KWSP mereka.

Baiklah, wang KWSP merupakan wang milik setiap orang yang mencarum ke dalam KWSP, berdasarkan jumlah yang dicarum dan juga berapa jumlah caruman majikan ke atas dirinya. KWSP diwujudkan Kerajaan Malaysia di bawah Akta KWSP 1991 dan mewajibkan caruman setiap pekerja, demi memastikan kehidupan mereka selepas bersara lebih terjamin dari aspek kewangannya. Sebab itulah moto KWSP ialah ‘simpanan hari tua anda’.

Sebelum saya melanjutkan jawapan, suka saya nyatakan bahawa dalam pengeluaran KWSP sebenarnya ia mempunyai tiga bentuk pengeluaran. Pertama pengeluaran sebelum usia wajib, yang dikeluarkan demi melunasi beberapa keperluan tertentu. Di halaman sesawang KWSP, antara pengeluaran bagi jenis ini ialah: Pengeluaran Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan, Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Meninggalkan Negara, Pengeluaran Pendidikan, Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan, Pengeluaran Pelaburan Simpanan Ahli, Pengeluaran Membina/ Membeli Rumah, Pengeluaran Simpanan Melebihi RM1 Juta, Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan, Pengeluaran Kematian, Pengeluaran Perumahan Fleksibel, Pengeluaran Kesihatan dan Pengeluaran Haji (rujuk http://www.kwsp.gov.my).

Bentuk pengeluaran kedua, adalah pengeluaran semasa usia 50 tahun bagi Akaun Kedua KWSP. Ketika ini, penyimpan dibenarkan mengeluarkan sama ada sebahagian mahu pun semua simpanan di dalam Akaun Keduanya.

Sementara bentuk pengeluaran ketiga, adalah pengeluaran ketika usia wajib bersara iaitu 55 tahun. Pada ketika ini, seseorang penyimpan itu boleh, sama ada mengeluarkan sebahagian atau semua wang KWSPnya.

Perkara yang perlu difahami di sini, ketika usia penyimpan 50 tahun maka dia sudah mempunyai milik sempurna atas kesemua baki simpanan di dalam Akaun Kedua. Manakala ketika usianya 55 tahun, dia memiliki milik sempurna ke atas baki keseluruhan di dalam KWSPnya. Harus diingat, memahami tiga bentuk pengeluaran ini penting diketahui terlebih dahulu, kerana ia ada kesan ke atas zakat KWSP.

Sempurna milik

Baik, sekarang mari kita jawab persoalan-persoalan di atas. Pertama, adakah wang KWSP wajib dizakatkan? Maka, jawapannya ia wajib dizakatkan hanya apabila ia sudah berada di dalam tangan pencarumnya (atau sudah boleh dimiliki tanpa halangan). Selagi mana wang itu masih berada di dalam simpanan KWSP, maka tidak wajib dizakatkan kerana kurangnya satu syarat, iaitu tiada sempurna milik ke atas wang berkenaan.

Ini kerana, bagi mengeluarkan KWSP bukanlah semudah mengeluarkan wang dari bank simpanan. Hanya mereka yang memenuhi syarat-syarat pengeluaran boleh mengeluarkannya, maka itulah halangan kepada pemilik sehingga mengurangkan salah satu syarat wajib zakat ke atasnya, iaitu sempurna milik.

Namun, apabila wang itu sudah dikeluarkan, misalnya untuk tujuan perumahan dan pendidikan atau wang KWSP itu sudah boleh dikeluarkan ketika usia 50 atau 55 tahun, maka kala itu cukup sempurnalah sudah segala syarat wajib zakatnya (datangnya sifat sempurna milik), sehingga wajiblah bagi penyimpan mengeluarkan zakat ke atas wang KWSP itu.

Timbul persoalan kedua, adakah perlu segera dizakatkan atau perlu ditunggu sehingga setahun terlebih dahulu? Maka dalam mendepani persoalan ini, kita perlu melihat kondisi wang itu terlebih dahulu. Di sini, wang yang diperoleh dari KWSP itu hakikatnya termasuk dalam salah satu item harta perolehan atau disebut juga pendapatan (mal al mustafad). Maka, harta pendapatan, seperti mana yang telah ditegaskan sebelum ini, ia menerima khilaf daripada kalangan fuqaha ke atas status haulnya.

Maka, sesuai dengan amalan fikah di Selangor sendiri dan Malaysia umumnya, harta-harta pendapatan ini hendaklah dikeluarkan sejurus ia diperoleh, iaitu ia dizakatkan pada tahun semasa ia diperoleh tanpa perlu menunggu sehingga setahun dimiliki (tidak perlu cukup haul).

Fatwa di Negeri Selangor menyatakan: “Haul tidak menjadi syarat wajib zakat bagi pengeluaran KWSP. Ini kerana wang KWSP adalah simpanan daripada pendapatan seseorang yang sebenarnya telah wajib dizakat. Akan tetapi ia tertahan dengan sebab Akta KWSP yang diperuntukkan oleh pemerintah yang menghalang perlaksanaan zakat yang wajib ke atas harta tersebut”. (rujuk Fatwa Sistem Pengurusan Kutipan Zakat Negeri Selangor 2013, hal. 34)

Soalan ketiga, bagaimana menghitung zakat KWSP? Saya ingin merujuk kepada tiga bentuk pengeluaran di atas tadi.

Pertama, dikeluarkan sebahagian atas keperluan tertentu, sama ada tujuan perumahan, pendidikan atau pengeluaran haji. Dalam hal ini, zakat masih dikenakan atas jumlah pengeluaran berkenaan, kecuali bagi pengeluaran yang bersifat keperluan yang amat mendesak.

Antara contoh keperluan yang amat mendesak ialah kerana mendapatkan rawatan yang menelan kos yang sangat tinggi. Contohnya, pada 2012 Ali mengeluarkan RM3,500 wang KWSPnya untuk membeli komputer riba dan RM5,000 untuk tujuan membayar ansuran rumahnya. Maka jumlah pengeluaran wang KWSP Ali ialah RM8,500. Ali hendaklah mencampurkan RM8,500 itu dengan lain-lain wang pendapatan pada 2012, seperti gajinya.

Setelah dicampurkan, katakan RM8,500 + RM36,000 (gaji) = RM44,500, dan jumlahnya telah melebihi nisab, maka hendak dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus.

Dalam 2012 itu juga, tiba-tiba Ali mengeluarkan RM40,000 wang KWSPnya untuk menampung kos pembedahannya di hospital yang berjumlah RM80,000. Maka, dalam kes ini, Ali tidak perlu mengeluarkan zakatnya kerana ternyata dia amat terdesak dan wang KWSP-nya tidak pun cukup bagi menampung keseluruhan kos pembedahannya, sehingga memerlukan Ali untuk berhutang atau memohon lagi bantuan daripada lain-lain pihak bagi memenuhi kos pembedahan berkenaan.

Dalam bentuk kedua, jika Ali sudah mencapai usia 50 tahun dan Ali sudah boleh mengeluarkan semua wangnya dalam Akaun Kedua tanpa apa-apa halangan, maka ketika itu, sama ada Ali mengeluarkannya ataupun tidak, maka hakikatnya wang KWSP di dalam Akaun Keduanya itu sudah pun menjadi miliknya (sempurna milik).

Begitu jugalah, jika Ali sudah mencapai usia 55 tahun, sama ada Ali mahu atau tidak, dia sebenarnya sudah boleh mengeluarkan kesemua wangnya di dalam KWSP. Maka ketika itu, dia sebenarnya sudah mempunyai sempurna milik ke atas semua wangnya.

Maka dalam kes ketika usia Ali 50 atau 55 tahun, sama ada Ali mengeluarkan atau tidak wangnya daripada KWSP, dia sebenarnya sudah wajib mengeluarkan zakat ke atas wang simpanannya di dalam KWSP. Jika usia 50 tahun, zakat wajib dikenakan ke atas seluruh wang di dalam Akaun Kedua. Jika usia Ali sudah 55 tahun ke atas, maka zakat dikenakan atas seluruh wang simpanan Ali di dalam KWSP.