Berpolitik untuk meninggikan Islam


Bagi segelintir anggota masyarakat, perasaan gelisah dan resah dengan permainan politik yang tiada kunjung reda semakin meningkat. Bagi kumpulan masyarakat yang telah atau semakin berumur arif bahawa suasana politik sepanjang masa sememangnya begitu, meskipun kerisauan tentang untung rugi dan baik buruknya nasib agama, bangsa dan tanah air kerap melanda hati dan fikiran.

Sudah sekian lama politik dilihat sebagai sepak terajang untuk mendapatkan kuasa dan setelah berjaya meraihnya, sibuk untuk mengekalkannya. Kuasa sering memabukkan si penguasa. Oleh kerana sifat inilah menyebabkan sang penguasa sering tergelincir daripada landasan yang benar. Namun, bagi orang Islam yang sentiasa sedar akan ajaran agama mereka, al-Quran khasnya melalui Surah al-A’raf, ayat 20 dan Surah Taa Ha, ayat 120, telah lama mengkhabarkan tabiat inginkan kuasa dalam diri insan seawal insan pertama, Nabi Adam a.s.

Malah dalam kedua-dua peringatan al-Quran itu, iblis menggunakan rangkaian dua faktor iaitu kuasa dan kekekalan untuk menggoda pasangan Adam dan Hawa a.s.

Sekiranya ayat-ayat tersebut ditekuni pula bersama-sama dengan Surah al-Humazah, ayat 2-3, maka akan semakin jelas petunjuk al-Quran bahawa wujud sebahagian manusia yang silap beranggapan bahawa harta yang mereka kumpulkan dapat mengekalkan kuasa mereka.

Sangat penting untuk diperhatikan bahawa kealpaan Adam a.s. tetap berlaku meskipun firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 30-39, secara terang-terangan menobatkan baginda kerana ilmu yang Allah SWT kurniakan padanya, khasnya ilmu perihal sekalian nama (al-asma’ kullaha).

Malah, ekoran daripada kekurangan azam Adam a.s., ilmu yang diharapkan dapat memandu kelihatan masih belum mampu mengawal diri baginda daripada pesona dua faktor yang dimainkan dengan licik oleh iblis.

Apatah lagi dalam suasana semasa yang menganuti fahaman tertentu tentang ilmu sebagai kuasa, usaha untuk mengendali serta memandu tabiat insan ini sesungguhnya semakin mencabar. Bagaimana tidak mencabar? Ilmu yang sepatutnya memimpin dan membimbing turut dapat di­salahgunakan demi mengekal dan menambah kuasa!

Sayugia diingatkan bahawa ilmu yang perlu dipupuk ke arah pengawalan sang penguasa dan si pemburu kuasa sesungguhnya bermula daripada hakikat diri mereka sendiri. Hal ini berkait rapat dengan ilmu akhlak yang dipandu oleh wahyu. Perjuangan untuk mengurus diri de­ngan betul ini diisytiharkan sebagai jihad terbesar.

Ilmu akhlak dalam falsafah ilmu Islam difahami sebagai ilmu mentadbir diri yang merupakan dasar utama sebagai tunjang kepada lapisan-lapisan ilmu lain seperti ilmu ekonomi dan politik.

Malangnya, kesinambungan sedemikian telah lama terputus dan tidak diendahkan. Sekiranya diajar sekalipun, mutu pengisian dan pengolahannya dibiarkan terbantut pada peringkat pendidikan rendah dan menengah.

Sudah agak lama ilmu akhlak atau etika, tidak diajar secara giat dan dinamik sebagai ilmu utama pada peringkat pendidikan lanjutan, apatah lagi dalam sistem pemupukan pemimpin dalam pelbagai bidang.

Malah, jika ditawarkan sekalipun pada tahap lanjutan, ilmu akhlak sudah tidak lagi menumpu pada pengawalan diri insan secara dalaman iaitu rohani dan jasad secara bersama.

f

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: