Selain memberikan kecergasan pada tubuh badan, kecerdasan mental, melatih fokus dan mengasah ketajaman mata, memanah juga merupakan sejenis sukan yang sangat dituntut di dalam Islam.

Nabi Muhammad SAW pernah mengamalkan kaedah memanah ketika berperang dengan musuh-musuh Islam yang mengancam baginda dan umat Islam. Tidak ketinggalan para sahabat yang pernah turut serta di dalam peperangan, mereka juga memiliki pelbagai kemahiran berperang termasuk memanah.

Sehubungan itu, menurut Penolong Kurator, Jabatan Kuratorial, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Zulkifili Ishak, memanah merupakan senjata penting yang digunakan di dalam dunia Islam.

Malah jelas beliau, keistimewaan itu turut dinyatakan di dalam Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Allah akan memasukkan tiga golongan ke syurga disebabkan oleh satu anak panah, iaitu pembuat anak panah (yang mengharapkan kebaikan daripadanya), pemanah yang melepaskan anak panah serta mereka yang menghulurkan anak panah kepada pemanah, oleh yang demikian memanahlah dan menunggang kuda, akan tetapi mereka yang memanah lebih kusukai daripada menunggang kuda.”

Katanya, antara alat yang digunakan di dalam memanah ialah busur, anak panah dan cincin.

Terdapat pelbagai busur yang dihasilkan di dalam dunia Islam. Pada peringkat awal busur digunakan ketika abad pertama Islam mempunyai beberapa kelemahan sehingga memaksa pemanah menggunakan banyak tenaga untuk mengendalikannya.

“Apabila Islam berkembang ke pelbagai negara di Asia, pembuatan busur menerima banyak pengaruh dan mengalami evolusi sekali gus mengatasi beberapa kelemahan dan kekurangan yang wujud sebelum ini.

“Sebagai contoh di dalam pameran ini, set anak panah dari India yang digunakan pada abad ke 19 bersifat fleksibel, mempunyai ketahanan yang kuat dan tujahan anak panah yang laju dan jauh. Selain itu bahan yang digunakan juga lebih ringan iaitu diperbuat daripada kayu, tandung binatang dan urat (sinew), berbanding sebelumnya sekali gus memudahkan pemanah untuk mengendalikannya,” katanya.

Kemahiran memanah dianggap sebagai satu senjata yang efektif di dalam peperangan dunia Islam.

“Biasanya peralatan memanah digunakan oleh tentera berkuda. Mereka mempunyai kemahiran memanah sambil menunggang dan mengawal kuda yang bergerak laju. Kerajaan Monggolia pada masa dahulu merupakan antara pasukan terbaik di dalam memanah,”ujarnya.