Pengaruh Empayar Uthmaniyah telah berlaku sejak kurun ke-15 apabila berlaku penyebaran Islam sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pengaruhnya telah datang melalui aktiviti perdagangan.

Selain penyebaran Islam, pengaruh kerajaan tersebut di Tanah Melayu juga dilihat begitu penting untuk melindungi agama Islam dan ideologi-ideologi barat yang disebut sebagai anti-Islam.

Menurut Pengerusi Projek Pameran Simbol Kuasa dan Keindahan: Koleksi Muzium Kesenian Islam, Zulkifli Ishak, diakui bahawa telah wujud hubungan dua hala antara Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan Empayar Uthmaniyah.

“Perdagangan adalah medium yang menghubungkan antara Tanah Melayu dan Turki dan kedatangan Islam menjadi salah satu bukti diplomasi yang wujud antara dua kerajaan tersebut.

“Kewujudan hubungan melalui perdagangan itu wujud seperti sekarang cuma membezakan hanyalah barang perdagangan dan teknologi pelabuhan yang moden.

“Kerajaan Kesultanan Melaka terkenal sebagai pelabuhan antarabangsa sekitar kurun ke-15 dan 16. Pada waktu itu, kerajaan turut mempunyai hubungan dagang dengan China, India dan negara-negara Arab,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, wujud aktiviti perdagangan senjata api dan dipercayai Melaka menerima senjata api dari China, India dan negara-negara lain.

“Memang tidak dinafikan wujud perdagangan senjata seperti pistol, meriam dan sebagainya dari India dan China termasuklah Empayar Uthmaniyah.

“Selain Melaka, terdapat dakwaan mengatakan Empayar Uthmaniyah berhasrat untuk menghantar bantuan ketenteraan kepada Acheh yang diserang oleh Belanda. Namun, akibat masalah dalaman, mereka hanya menghantar pakar-pakar membuat senjata.

“Kita juga kurang didedahkan dan jarang mendengar cerita sebenar tentang penggunaan senjata api oleh Kerajaan Melayu Melaka dan diasak dengan sejarah penggunaan keris, tombak dan parang sewaktu berperang dengan Portugis pada kurun ke-16 seterusnya kalah pada tahun 1511,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Kuratorial Muzium Kesenian Islam, Dr. Heba Nayel Barakat turut mengakui terdapat penggunaan senjata api dalam peperangan antara Melaka dan Portugis.

“Pengaruh Empayar Uthmaniyah begitu luas dan kekuatannya sehingga dapat menawan Kerajaan Parsi (Iran) dan menghantar bantuan kepada Acheh.

“Empayar Uthmaniyah juga terkenal dengan teknologi senjata api yang menggunakan belerang. Mereka menggunakannya sewaktu hendak menakluk wilayah Afrika Utara. Menariknya orang Afrika tidak tahu tentang teknologi tersebut.

“Justeru, saya tidak menafikan terdapat penggunaan senjata oleh tentera Kesultanan Melayu Melaka untuk menahan serangan dari Portugis. Senjata tersebut kini ada di salah sebuah muzium di Portugis,” katanya.