Rakyat melihat gelagat pemimpin begini dan apabila ada pihak yang menyokong kebangkitan dan perubahan, maka terjadilah seperti di Iraq, Mesir, Libya, Tunisia, Syria dan terbaru sekali Yemen. Negara yang tidak mempunyai kebersatuan yang tinggi dalam kalangan rakyatnya dengan mudah dilemahkan oleh anasir-anasir luar dari Barat.

Negara-negara berkenaan tidak berupaya menangkis serangan ideologi yang dipromosikan oleh Barat melalui pelbagai cara terutama gaya hidup dan pemikiran politik. Demokrasi hanya menjadi senjata Barat untuk menguasai Islam. Lebih malang lagi dipercepatkan oleh penolakan rakyat terhadap pemimpin Islam sendiri yang menyeleweng, kuku besi dan menjauhkan diri daripada landasan Islam.

Definisi “demokrasi” Barat mencari ruang daripada penentangan rakyat, misalnya terhadap sistem monarki yang terpisah daripada cara hidup Islam.

Sistem khalifah dalam Islam telah digantikan dengan monarki yang mengaut kekayaan daripada hasil negara yang dulunya menjadi simbol ketinggian peradaban Islam. Apabila Barat membawa “demokrasi”, rakyat yang dahagakan keadilan sosial secara melulu menganggap itu ialah model yang terbaik tanpa mencurigai agenda sebenar.

Inilah yang berlaku di banyak negara Islam yang hancur lebur sistem politik dan peradabannya. Keadaan sedemikian secara tanpa sedar telah menghakis kedudukan Islam di mata dunia. Pemimpin Islam wajar dipertanggungjawabkan kerana mereka memberikan mesej yang salah kepada dunia bahawa Islam tidak demokratik dan diktator.

Kita tidak boleh terlalu percaya dengan momokan Barat yakni Amerika Syarikat (AS), misalnya terhadap militan Negara Islam (IS) tanpa mempersoalkan siapakah tangan-tangan ghaib untuk menghancurkan negara-negara Islam?

Akhbar The Telegraph 8 Mac tahun lalu menerusi analisis bertajuk “US and Europe in major airlift of arms to Syrian rebels through Zagreb” antara lain mendedahkan AS menyalurkan bantuan peralatan tentera sebanyak 30,000 tan kepada pelampau Syria. Senjata itu dihantar dari Zagreb menggunakan 75 kapal terbang pengangkut tentera kepada militan yang sekarang dikenali sebagai IS. Maka dunia pun terlupa kepada kejahatan Israel kerana IS dipromosikan di media secara melampau.

Dalam konteks ini, sejarah boleh dimanfaatkan sebagai cermin untuk melihat kegemilangan dan keruntuhan silam yang menimpa negara-negara Islam supaya tidak melalui jalan yang sama pada era ini. Sejarah bukan benda mati tetapi hidup dan berulang berlaku kepada mereka yang tidak belajar daripadanya.

Sejarah kegemilangan Islam di Andalusia (kini sebahagian Sepanyol) misalnya daripada empayar Islam Andalusia tahun 711 di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad.

Tetapi kegemilangan Andalusia hanya mampu bertahan hampir lapan abad apabila hancur pada 1492 selepas tumbangnya Kota Granada kepada Raja Ferdinand V, raja Kristian Sepanyol ketika itu. Kejatuhan Granada bermula apabila satu-satunya raja Islam di Andalusia setelah semua kerajaan Islam dihancurkan, Sultan Muhammad bin Yusuf Al-Ahmar memeteraikan perjanjian Jaen pada 1246 dengan Raja Ferdinand III.

Menyerang

Tetapi perjanjian itu hanya dipatuhi oleh Kristian selama 246 tahun dan selepas itu tentera Kristian telah menyerang umat Islam hinggalah pada tahun 1492 apabila Sultan Abu Abdullah, raja terakhir Granada mengaku kalah dan menyerahkan Granada kepada Raja Ferdinand V.

Turki juga mempunyai sejarah panjang sebagai pusat peradaban Islam di mana zaman kemuncak semasa pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih yang telah berjaya menawan Kota Konstantinople daripada Byzantin. Ini adalah antara sultan yang berjiwa rakyat, tidak bermegah dengan kemewahan dan jauh sekali membazir tetapi memerintah mengikut lunas-lunas Islam.

Bagaimanapun selepas era Sultan Muhammad Al-Fatih, empayar Uthmaniyyah sudah mulai cair Islamnya dengan sikap tamak dan haloba sultan yang menjadikan kedudukan sebagai pemimpin untuk mengaut kekayaan. Sultan selepas Muhammad Al-Fatih mempunyai kecacatan peribadi yang serius kerana tidak jujur dan bergelumang dengan keseronokan hidup yang melampau.

Strategis Yahudi di Barat telah melihat banyak kelemahan pemimpin Islam Uthmaniyyah. Dengan memegang kuasa terhadap media serta dibantu oleh gerakan Freemason, mereka menonjolkan Mustafa Kamal Ataturk sebagai pemimpin muda dalam pembikinan.

Pada masa sama juga ditubuhkan The Young Turks pada tahun 1908 untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid II. Secara rasmi pemerintahan khalifah di Turki berakhir pada 3 Mac 1924 dan diganti dengan Mustafa Kamal Ataturk yang menolak Islam sepenuhnya.

Hal yang sama berlaku sekarang ini. Ada sesetengah pemimpin Islam bermewah berlebihan dan kejam, telah menghancurkan dan melemahkan Islam keseluruhannya.

Rakyat Mesir misalnya tidak boleh dipersalahkan kerana bangkit menggulingkan Presiden Hosni Mubarak yang mengumpul kekayaan peribadi bernilai lebih RM110 bilion, memiliki banglo enam tingkat di United Kingdom serta banyak lagi harta di atas nama peribadi.

Begitu juga dengan Presiden Tunisia, Zainel El-Biden dan isterinya Leila Tribelsi yang hidup mewah dalam keadaan negara menghadapi inflasi yang teruk. Presiden ini dikatakan mempunyai simpanan emas di atas nama keluarga lebih satu tan. Rakyat yang dalam keadaan marah mudah terpengaruh dengan anasir Barat yang mahu meruntuhkan negara-negara Islam.

Gerakan kebangkitan rakyat di dunia Arab atau Arab Spring yang digerakkan oleh AS tidak mungkin berjaya sekiranya negara seperti Mesir, Tunisia, Libya dan Syria mempunyai pemimpin yang jujur dalam menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat.

Barat sememangnya mempunyai agenda meruntuhkan dan melemahkan pengaruh Islam. Oleh kerana itu mereka mengeksport sekularisme dan kehidupan yang tidak beragama menerusi kebebasan media. Agenda ini dipercepatkan dan dipermudahkan apabila rakyat mulai marah dan benci kepada pemimpin mereka sendiri.

Kesan daripada keruntuhan ini, tekanan kepada Islam menjadi semakin kuat terutama dengan agenda tersirat Islamofobia yang menyekutukan Islam dengan keganasan dan hilang peradaban. Islam tentu sukar untuk mempertahankan tuduhan-tuduhan liar Barat kerana terbukti di negara Islam sendiri menghadapi krisis kepimpinan. Sepatutnya pemimpin negara-negara Islam memberikan contoh yang baik kepada dunia dan bukan sebaliknya. Negara Islam memerlukan pemimpin seperti Muhammad al-Fatih.