Selepas menerima SMS tersebut, dia telah merujuk perkara itu ke Pejabat Agama Daerah Segamat dan diarahkan untuk bertemu dengan peguam bagi tujuan memfailkan kes terhadap suaminya untuk hadir ke Mahkamah Syariah Segamat berhubung perkara tersebut.

Bagi tujuan tersebut rakan saya dikenakan bayaran sbanyak RM60 sedangkan dalam kes sebegini bayaran itu mungkin membebankan pihak pengadu yang sememangnya berada dalam kesusahan dan bermasalah.

Kemudian pada tarikh pendengaran kes di Mahkamah Syariah Segamat, rakan saya diarahkan masuk ke kamar hakim dan hakim hanya memaklumkan kepadanya bahawa fail kes tersebut ditutup kerana suaminya tidak hadir tanpa melihat bukti SMS di telefon rakan saya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar rakan saya membuat satu tuntutan fasakh terhadap suaminya kerana dengan cara itu menurutnya lebih mudah untuk proses perceraian.

Rakan saya jadi keliru kerana tujuan dia merujuk ke pejabat Agama dan Mahkamah Syariah adalah untuk mendapat kepastian tentang status lafaz talak menerusi SMS tersebut, bukannya untuk menuntut fasakh.

Saya sependapat dengannya bahawa lafaz talak oleh suaminya menerusi SMS bermaksud dia diceraikan oleh suami, sementara menuntut fasakh bermakna dia yang menuntut cerai dan suami­nya berhak menuntut tebus talak sekiranya dia menuntut cerai.

Bagi mendapatkan kepastian, saya turut membantu beliau bertanya kepada beberapa orang yang dirasa lebih arif berhubung hukum kes tersebut termasuk Tuan Kadi Segamat, semua jawapan adalah sama iaitu jatuh talak sebaik isteri membaca SMS tersebut.

Dalam masa ini, rakan saya bersama anak-anak yang masih kecil terpaksa keluar dari rumahnya sejak beberapa bulan lalu dan menumpang di rumah saudaranya dan hidup bagai ‘digantung tidak bertali’ kerana masih ragu dengan status perkahwinannya.

Persoalannya sampai bila rakan saya dan anak-anaknya terpaksa hidup merempat seperti dalam buangan dan ke mana lagi tempat dia boleh mengadu untuk mendapat keputusan tentang perkara tersebut selepas Pejabat Agama Segamat dan Mahlamah Syariah Segamat seperti bermain sorong tarik tali.

Apakah keputusan jatuh talak terletak kepada keputusan Mahkamah Syariah, bukannya kepada lafaz daripada suami?

Bagaimana jika lafaz talak daripada suami tidak pernah dirujuk ke Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah apakah talak tidak jatuh, sedangkan saya difahamkan banyak kaedah boleh jatuh talak termasuk lafaz melalui SMS, takliq serta talak tetap jatuh walaupun dengan bergurau.

Saya harap pihak berkenaan dapat membantu rakan saya dengan memberi tumpuan serta membuat keputusan sama ada jatuh talak atau tidak dalam kes tersebut, bukannya mengarahkan dia untuk menuntut fasakh. Sekian.

Rakan Keliru,

Segamat