Bagaimana sejarah mudahkan dakwah?


MOHD RIDUAN KHAIRI

AL-Imam Asy-Syafie menyatakan: “Sesiapa yang mengambil pengajaran daripada sejarah, akan meningkatkan potensi kesedarannya.” (‘Aja-ib al-Atsar)

Ini semakna dengan firman ALLAH SWT: “Dan berapa banyak tanda (kekuasaan ALLAH) di langit dan bumi yang mereka saksikan berulang-ulang semasa pergi dan datang? Tetapi mereka memalingkan (muka mereka) daripadanya (iaitu tidak menghiraukannya).” (Surah Yusuf: 105)

Pentingnya singkap sejarah

Dalam al-Quran terakam banyaknya ayat menjelaskan mengenai kepentingan dan keperluan untuk merenung sejarah dan kisah umat terdahulu. Bahkan sebahagian besar daripada kandungan ayat al-Quran menceritakan kisah umat terdahulu seperti kaum Nuh, Kaum A’ad, Thamud, Bani Israel dan banyak lagi.

Namun, benarlah firman-Nya, kebanyakan manusia tidak menghiraukannya. Walhal jika mereka merenung walau hanya sedikit sahaja, nescaya beroleh manfaat yang besar.

Gejala ini juga menular dalam kalangan ustaz dan pendakwah hari ini. Kisah sejarah yang sahih tidak lagi diceritakan dan digantikan dengan cerita dongeng yang tidak benar.

Maka sebahagian majlis ceramah dan kuliah agama bertukar menjadi medan gelak ketawa dan penglipurlara. Walhal maklumat sejarah yang sahih dapat menopang mesej dakwah.

Seorang pendakwah Melayu dari Padang, Ustaz Armen Halim Naro RHM ketika menjelaskan kewajipan memelihara janggut membawa maklumat sejarah dari zaman Majapahit.

Menurut beliau ada syubhah (kekeliruan) tersebar, janggut adalah budaya Arab dan bukan budaya Melayu. Maka Ustaz Armen membantah kenyataan itu dengan menjelaskan adat Melayu Indonesia ialah adat berjanggut.

Imam Bonjol menyimpan janggut. Peliknya hanya Patih Gajah Madja yang tidak berjanggut.

Patih Gajah Madja ialah Perdana Menteri Majapahit pada zaman Hayam Wuruk. Sultan Mansur Syah dan Laksamana Hang Tuah pernah berlayar ke Majapahit ketika itu dan menemui Patih Gajah Madja.

Pengetahuan sejarah Ustaz Armen agak detil. Kisah janggut Imam Bonjol dan dagu licin Patih Gajah Madja bukan bahan masyhur sejarah dan jauh sekali jadi bahan kajian.

Ada kemungkinan pengaruh besar Ustaz Armen ialah daripada tulisan Prof Hamka. Ustaz Armen dalam rakaman kuliahnya banyak kali memuji dan menyanjung Prof Hamka. Pengetahuan beliau mengenai Prof Hamka juga agak terperinci sehingga mengetahui jiran di kampung Hamka.

Pun begitu, Ustaz Armen memberi catatan, sanjungan itu hanya sebatas atas semangat dan kesungguhan generasi Prof Hamka. Bukan akidah dan manhajnya.

Prof Hamka menulis sebuah buku bertajuk Sejarah Umat Islam. Dalam pengenalan buku itu, Hamka menyebut proses pencarian bahan untuk menulis bukunya sehingga mendorong beliau menemui raja-raja Melayu bagi melihat catatan daripada versi pihak istana.

Hubungan baik itu menyebabkan institusi agama dan kerajaan negeri Sarawak hari ini mengingati dan sering menyebut Prof Hamka.

Hamka menyatakan, catatan sumber diraja di Tanah Melayu amat berbeza dengan catatan sumber luar (khususnya Orientalis). Hamka juga meriwayatkan semula kerajaan Melayu lama seperti Demak, Pasai, Melaka dan kejatuhan mereka.

Sarjana Islam tulus

Sarjana Islam terawal juga memberi perhatian yang tinggi terhadap sejarah. Ahli tafsir Quran sebahagiannya juga adalah ahli sejarah yang dipercayai.

Contohnya al-Imam Abu Jaafar Ibn Jarir At Tabari, al-Imam Ibn Kathir, al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyah, Ibn Athir, bahkan sampai ke tradisi sarjana mutakhir seperti Syaikh Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di.

Beliau menulis tafsir dan kemudian menyaring bahan itu dan dihimpunkan menjadi tajuk sejarah umat terdahulu dan nabi. Bagi rekod, Prof Hamka juga menyusun kitab tafsir beliau sendiri dengan judul Tafsir Al-Azhar.

Dakwah dan sejarah berjalan seiring dari Tanah Arab, Indonesia bahkan hingga ke negara kita. Salah seorang pendakwah sunnah terawal di Negeri Sembilan, Ustaz Hashim Ghani RHM ketika menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Negeri Sembilan pada 1966 juga menggunakan maklumat sejarah tokoh dakwah sunnah sebelum zamannnya.

Namun sayang dan sesuatu yang membimbangkan pengetahuan sejarah generasi mutakhir amat minimum dan minat terhadap sejarah hampir tiada.

Bukan sahaja di peringkat awam bahkan sarjana sejarah sendiri boleh dihitung dengan jari. Dan sedikit masa lagi kita akan kehilangan semua sarjana kerana yang ada pun semua sudah masuk usia emas!.

Lalu kita lihat lompong ini cuba dimanipulasikan pihak jahat terhadap Islam. Bukankah Syiah pernah menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong beberapa tahun lalu; dan ia berisi maklumat sejarah kononnya Syiah lebih awal sampai di Tanah Melayu.

Dan kita tidak mengetahui apakah memorandum itu sudah dibantah dengan hujah ilmiah dan sejarah juga! Ia hanya sebuah memorandum? Hari ini ia sekadar memorandum.

Bayangkan apa akan terjadi 50 tahun, 100 tahun atau 200 tahun berikutnya. Jarang sekali kita menyingkap sejarah pengkhianatan Raja Mandeliar, Laksamana ‘mamak Syiah’ Khoja Hassan, Si Kitol, Utimutiraja dan Nena Chatu. Sejarah yang sahih tidak pernah lupa merakamkan di sebalik kejatuhan kerajaan Islam, pasti di belakangnya Syiah menjadi konco-konco. (Kitab Baghdad, Melaka dan Iraq)

Syiah sepanjang rakaman sejarah kewujudannya membuktikan merekalah paling licik melacurkan dan melakukan pembohongan dalam sejarah. Dan pembohongan, pendustaan adalah rukun bagi agama mereka.

Lihat bagaimana ahli sejarah Syiah bernama Mas’udi melakukan pembohongan terbesar dalam sejarah dengan menyatakan semua benda dan kejadian di dunia ini berlaku dengan evolusi.

Ini adalah kesimpulannya selepas mengkaji kejadian gempa bumi yang berlaku ketika itu. Dan daripada kesimpulan jahat inilah memberi inspirasi kepada Charles Darwin mengembangkan Teori Evolusi yang batil lagi anti-tauhid.

Maka sesuatu perlu dilakukan terhadap penyebaran Syiah khususnya melalui karya-karya penulisan. Sekurang-kurangnya ada tiga pilihan untuk kita lakukan:
Pertama, berdoa kepada ALLAH untuk menolong kita.

Kedua, menyekat karya-karya berkaitan dan ketiga, memintas langkah pergkarya-pengkarya agar mereka membangunkan karya yang lebih baik dengan fakta yang sahih.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: