Remaja Islam dan konsert maksiat


BARU-baru ini kita dikejutkan dengan video yang menjadi viral di media sosial melibatkan beberapa remaja wanita Islam dipeluk dan dicium artis lelaki bukan Islam atas pentas dalam konsert K-pop.

Merujuk kejadian itu, saya mendapat beberapa soalan menanyakan mengenai hukum lelaki dan wanita bersentuhan dengan sengaja setelah ada beberapa pihak mengatakan ia dibolehkan.

Apabila kita bercakap atas nama Islam, semaklah dahulu adakah Islam membenarkan atau tidak, Islam mengatakan ia halal atau haram. Jika Islam mengatakan haram, maka haramlah hukumnya. Tidak boleh kita menghalalkan.

Lelaki, wanita bersentuhan

Saya tertarik membaca ulasan Syaikh Muhammad Amin Al-Syanqithi dalam Adwa-ul Bayan apabila dia membahaskan mengenai menyentuh perempuan bukan mahram. Hukumnya dimaklumi haram dan beliau membahaskan sebab dan hujahnya melalui beberapa sudut:

Pertama, kerana dalilnya jelas. Aisyah RA berkata: “Siapa saja wanita Mukminat yang mengikrarkan hal ini, maka dia telah diuji.” Rasulullah SAW sendiri berkata ketika wanita Mukminat mengikrarkan yang demikian: “Kalian boleh pergi kerana aku sudah membai’at kalian”.

Namun demi ALLAH, Baginda SAW sama sekali tidak pernah menyentuh tangan seorang wanita pun. Baginda SAW hanya membai’at golongan wanita dengan ucapannya.” Aisyah berkata lagi: “Rasulullah SAW tidaklah pernah menyentuh wanita sama sekali sebagaimana yang ALLAH perintahkan. Tangan Baginda SAW tidaklah pernah menyentuh tangan mereka. Ketika bai’at, Baginda SAW hanya membai’at dengan berkat: “Aku telah membai’at kalian dengan perkataan.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis diriwayatkan Imam Malik bin Anas RA dengan sanad yang sahih, sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya aku tidak sama sekali berjabat tangan dengan golongan wanita. Hanyalah ucapanku kepada seratus wanita seperti ucapanku kepada seorang wanita.” (Riwayat Mali, An-Nasa-i dalam ‘Isyratun Nisa` daripada As-Sunan Al-Kubra, At-Tirmidzi, dll. Lihat Ash-Shahihah no. 529)

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ditusuknya kepala seseorang dengan pasak daripada besi, sungguh lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya.” (Riwayat Thabrani dalam Mu’jam Al Kabir 20: 211. )

Pada hari ini ramai dalam kalangan umat Islam mengambil mudah perihal ini. Itu tiga hadis yang saya bawakan dan banyak lagi hadis yang lain dan saya tidak bermaksud untuk menceritakan kesemuanya.

Kedua, perempuan itu aurat. Dalam hadis Nabi Muhammad SAW memerintahkan kita menundukkan mata dan pandangan. Kalau mata pun dilarang melihat, apatah lagi memegang.
Dalam hadis yang masyhur, Jarir bin ‘Abdillah mengatakan: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai pandangan yang cuma selintas (tidak sengaja). Maka Rasulullah SAW memerintahkan kepadaku agar aku segera memalingkan pandanganku.” (Riwayat Muslim)

Itu adalah asal hukumnya, jika melihat pun sudah dilarang Nabi Muhammad SAW, apatah lagi memegang dan memeluk di khalayak ramai.

Punca terjebaknya remaja Muslim ke konsert maksiat
1. Ibu bapa mengambil ringan
Sekiranya ibu bapa menegakkan hukum ALLAH SWT dalam rumah mereka nescaya perkara ini tidak akan berlaku. Ibu bapa adalah orang yang paling hampir dengan anak-anak.
Seharusnya ibu bapa perlu tahu apa yang anak mereka lakukan dengan siapa mereka berkawan dan ke mana mereka pergi.

Seorang Ulama’ pernah mengungkapkan perkataan yang sangat indah, maksudnya : “Kamu berhukum dengan hukum ALLAH  dalam rumah kamu nescaya hukum ALLAH itu akan tertegak di atas bumi kamu.”

Ada sesetengah ibu bapa mengambil ringan berkenaan pentarbiahan anak. Dek terlalu sibuk dengan pekerjaan, sehinggakan isu pentarbiahan ini diserahkan sepenuhnya kepada pihak lain.

Contohnya diserahkan kepada orang gaji sedangkan bimbingan daripada ibu bapa dalam membentuk peribadi, jati diri dan akidah dalam diri anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada kita: “Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan tiap-tiap pemimpin diminta pertanggungjawabannya.” (Riwayat Bukhari & Muslim daripada Abdullah bin Umar)

2. Kurangnya kesedaran agama
Keadaan ini terjadi apabila melibatkan kedua ibu bapa dan juga anak. Jika ibu bapa tidak berkesempatan untuk mendalami ilmu Islam dan tidak mahu menjadikan Islam itu sebagai cara hidup, janganlah kita hairan melihat kejadian di pentas K-pop ini.

Hiduplah dengan berpandu  kepada al-Quran dan Sunnah nescaya kita tidak akan tersesat kerana Islam itu mencakupi seluruh kehidupan kita. Bahkan dalam sekecil-kecil perkara seperti beristinjak pun Islam ada mengajarkan kita caranya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selamanya jika kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu Kitab ALLAH dan sunnah Rasul-Nya”. (Riwayat Malik)

Tanggungjawab mentarbiahkan anak dengan didikan agama perlu dipupuk daripada kecil lagi secara menyeluruh. Bukan dalam sesetengah perkara sahaja seperti bab solat, puasa, haji dan ibadah yang lain. Ia perlu dilakukan secara keseluruhan.

Jika tidak, itu sebabnya kita lihat remaja yang dipeluk dan dicium di atas pentas itu semuanya memakai tudung tetapi kenapa mereka rela diperlakukan sedemikian?

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan: Sesungguhnya syaitan memang  musuh kamu yang nyata.” (Surah Al-Baqarah: 208)

Anak-anak adalah saham akhirat buat ibu bapa. Didiklah mereka mengikut lunas-lunas Islam agar menjadi insan yang bermanfaat buat ummah. “Setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat”. (Riwayat Tirmizi, Ibn Majah).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: