Jawapan:

Terima kasih kerana mengajukan persoalan. Insya-Allah, saya akan cuba memberikan jawapannya. Semoga Allah SWT membantu saya memberikan jawapan yang terbaik, amin.

Sememangnya berdasarkan hukum asal, seseorang muzakki (pembayar zakat) itu wajib mengeluarkan zakat sesuai dengan hartanya. Jika kambing, maka zakatnya adalah kambing. Hal inilah yang dilakukan pada zaman Nabi Muhammad SAW dan inilah pandangan yang dikemukakan oleh sebahagian fuqaha, misalnya oleh Imam Syafie, Imam Malik dan Dawud (Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 163).

Begitu pun, sesuai dengan perubahan zaman yang kian maju dan moden, maka hal ini pastilah perlu dinilai kembali agar ia sesuai dengan keperluan umat Islam mengikut zaman di mana mereka berada. Inilah keanjalan hukum fikah yang mesti dimanfaatkan oleh umat Islam. Ibnu Taimiyah menyatakan: “Kita dibolehkan membayar zakat dengan wang yang sama nilainya dengan nilai zakat, kerana adanya keperluan dan kemaslahatannya.” (Ibid, hal. 164)

Sebenarnya, isu yang dibangkitkan ini bukanlah perkara baharu. Ia pernah berlaku pada zaman sahabat dahulu. Setakat pembacaan penulis, antara orang yang mula-mula sekali memberikan keizinan agar harta zakat ditukarkan kepada harganya ialah Saiyidina Uthman bin ‘Affan r.a. Malah, Saiyidina Muadz bin Jabal r.a sewaktu menjadi gabenor di Yaman atas lantikan Rasulullah SAW, turut menerima pemberian zakat dalam bentuk barangan lain dan bukannya atas harta zakat itu sendiri. Malah, semasa Saiyidina Umar bin Abdul Aziz r.a menjadi khalifah, baginda memutuskan yang kutipan zakat fitrah boleh dilakukan dengan harga atau wang.

Pandangan berbeza

Dalam konteks mutakhir ini, al-‘allamah Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebenarnya telah menyentuh isu ini dengan panjang lebar di dalam kitabnya, Hukum Zakat. Secara asasnya beliau menyatakan, ada dua isu penting yang mendasari hukum mengeluarkan zakat dengan harganya. Sebahagian fuqaha, khususnya daripada jalur Syafie dan Ahmad bin Hanbal berpandangan, tidak boleh menukarkan harta zakat kepada harganya. Ini kerana, mereka berpandangan zakat adalah ibadah pengabdian yang wajib mengikuti nas-nas asal yang telah dikeluarkan oleh Rasulullah SAW. (Hukum Zakat, hal. 789)

Walau bagaimanapun, para fuqaha khususnya daripada jalur Hanafi memberikan pemahaman yang berbeza kerana mereka melihat ibadah zakat bukan sekadar pengabdian, tetapi ia adalah ibadah maliyyah yang mementingkan falsafah di sebaliknya, iaitu untuk memenuhi keperluan ummah. Atas dasar itulah, pandangan pada sisi Hanafi maka mereka mengizinkan zakat dilunasi dengan harganya. (Ibid, hal. 790)

Maka, dalam perbincangan fikah zakat ada beberapa pandangan yang telah dikeluarkan. Pertama, sebahagian fuqaha melarang keras (haram) jika seseorang itu sengaja menukarkan harta zakatnya kepada harga. Kedua, sebahagian fuqaha menyatakan makruh melakukannya dan ketiga, menyatakan ia adalah harus apatah lagi jika adanya keperluan-keperluan tertentu (ibid, hal. 788).

Berbalik kepada persoalan yang saudara tanyakan di atas. Apakah hukumnya jika seseorang itu sengaja menjual kambing-kambingnya, yang sudah ada kewajipan zakat di dalamnya dengan niat mahu mengeluarkannya (menggantikannya) dengan wang?

Contoh kes: Ali memelihara 40 ekor kambing dan setelah setahun, dia dikenakan zakat seekor kambing. Ali pun menjual seekor kambingnya dan mendapat RM1,000, maka dia pun menyerahkan wang RM1,000 daripada hasil jualan kambingnya itu sebagai zakat kepada pihak amil.