Sememangnya tindakan pihak berkuasa agama itu wajar dan disokong seratus peratus.

Bagaimanapun, dalam masa sama tindakan ke atas mereka yang terlibat dilihat bukanlah penyelesaian kepada insiden tersebut. Sebabnya, kumpulan K-Pop yang berasal dari Korea Selatan itu bukannya Islam. Justeru, mana mereka faham halal haram dalam bab menyentuh wanita.

Sebaliknya, antara penyelesaian terbaik adalah melahirkan program-program hiburan bercorak Islam. Ini bukan mustahil kerana negara kita tidak kurang hebatnya memiliki karyawan seni. Barangkali inilah masanya melonjakkan lagi program-program hiburan Islam bagi mengelak berulangnya insiden ‘peluk dan cium’ tempoh hari.

Islam sebagai agama yang sempurna turut membenarkan hiburan. Cuma ia perlu dipandu mengikut nilai murni yang dibawa oleh Islam. Berhibur adalah fitrah semulajadi manusia. Hiburan adalah suatu perkara yang disenangi oleh naluri insan. Kebanyakan manusia menjadikan hiburan sebagai saluran kreativiti yang mencerminkan gambaran pemikiran, emosi dan inovasi manusia. Ia juga adalah gabungan keindahan seni, kehalusan bahasa dan keunikan budaya manusia yang mampu mententeramkan jiwa dan melahirkan kegembiraan.

Antara dalil harusnya nyanyian adalah hadis daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah SAW telah masuk (menemui saya), ketika itu dua orang jariah (budak perempuan) sedang menyanyi-nyanyi (memperingati perang) Baath. Baginda (mendengar nyanyian) sambil berbaring di tempat baringku dan dipalingkan mukanya. (Tiba-tiba) masuk Abu Bakar r.a serta mengherdik saya dengan katanya serunai (mizmar) syaitan di sisi nabi SAW. Rasulullah SAW mengadap Abu Bakar seraya berkata: Biarkan mereka menyanyi (tidak mengapa). Apabila keadaan Rasulullah SAW agak selesa dan leka, aku mengisyaratkan dengan mataku kepada dua penyanyi tadi maka mereka pun berhenti menyanyi dan keluar (meninggalkan kami). (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Untuk itu, program seperti Anugerah Nasyid Ikim FM (ANI) 2014, baru-baru ini perlu diperbanyakkan. Jangan kita hanya dibuai keseronokan menonton program-program hiburan yang lagha (sia-sia). Mendengar lantunan lagu-lagu yang hanya memuja kecantikan manusia untuk dijadikan idola semata-mata.

Sebaliknya, generasi muda Islam terutamanya perlu diperdengarkan dengan lagu-lagu yang boleh mendidik jiwa mereka ke arah kepatuhan kepada perintah Allah dan larangannya. Juga kepada kecintaan kepada Nabi SAW dan juga saranan-saranan ke arah menjadi insan mulia berbudi pekerti tinggi.

Di Malaysia, bukan tidak ada lagu-lagu seperti itu tetapi bilangannya masih sedikit berbanding lagu-lagu balada, blues dan rock yang sering menjadi siulan anak muda. Lagu-lagu puisi lantunan kumpulan Kopratasa seperti Kau Isteriku misalnya mempunyai mesej yang amat baik dalam membina keharmonian rumah tangga. Demikian juga lagu Tahajud Cinta lantunan Datuk Siti Nurhaliza yang mengajak kita agar berqiamullail. (sekadar menyebut beberapa contoh).

Untuk merealisasikan hasrat ini, perlukan kepada sokongan pelbagai pihak khususnya penggiat industri hiburan, penulis lirik, tidak ketinggalan para usahawan dan jutawan bagi menaja program-program hiburan Islam. Ini juga adalah tuntutan fardu kifayah.

Sebagai menyemarakkan lagi hiburan Islam, ganjaran kepada mereka yang terlibat perlu setimpal sebagai mana habuan dalam pertandingan hiburan yang lain. Ini bukan bermaksud mereka mata duitan tetapi itulah hakikatnya.

Menyanyi lagu nasyid atau lagu-lagu puisi sekiranya dipertandingkan mereka juga perlukan peralatan pentas, bantuan pemuzik dan lain-lain anggota di belakang tirai. Tenaga mereka ini perlu dibayar setimpal dengan profesionalisme masing-masing.

Dengan kata lain, kita juga mahu melihat juara Anugerah Nasyid Ikim 2014 (yang menerima wang tunai RM10,000) turut menerima habuan yang menarik sebagaimana juara pertandingan Gegar Vaganza iaitu RM100,000. Itu belum lagi dibandingkan dengan pemenang Maharaja Raja Lawak 2013 yang menerima wang tunai RM500,000.