JAWAPAN:

Terima kasih kerana mengajukan persoalan ini. Semoga ia dapat memberikan pencerahan bukan sahaja kepada tuan, malahan kepada semua pihak lain di luar sana yang mungkin turut berhadapan dengan isu dan persoalan yang sama.

Mengenai overdraf, maka molek jika difahami apakah itu overdraf? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah, overdraf ialah, pengambilan wang dari bank yang me­lebihi simpanan di bank atau jumlah wang di­keluarkan dari bank yang melebihi simpanan.

Ertinya di sini, pihak tuan telah membuat suatu pinjaman daripada pihak bank berkenaan, kerana wang yang tuan perolehi hakikatnya melebihi daripada jumlah yang sepatutnya. Pinjaman ini dalam erti kata lain, adalah hutang.

Maka, apakah hukumnya ke atas wang hutang yang tuan perolehi tersebut? Adakah masih wajib dizakatkan? Maka jawabnya, tuan masih perlu mengeluarkan zakat ke atas wang berkenaan. Ini kerana, ini sama dengan hutang yang tuan lakukan daripada pihak-pihak lain. Hutang itu, memberikan tuan kemampuan menguasai wang yang diperolehi, maka wajiblah zakat ke atasnya.

Apakah makna kemampuan menguasainya? Ia bermaksud, di sisi wang itu sudah tiada sebarang halangan bagi tuan untuk menggunakannya, mengikut sekehendak hati tuan. Cuma dalam konteks ini, tuan menggunakannya untuk membeli sebuah rumah. Namun, jika diikutkan tuan bebas melakukan apa sahaja dengan wang berkenaan, tanpa dapat dihalangi oleh sesiapa pun.

Maka, kemampuan menggunakan wang tanpa halangan inilah yang disebutkan sebagai hak at-tasarruf (hak kepenggunaan tanpa batasan) di dalam istilah fiqh, yang mana ia datang dalam bentuk milikan yang sempurna (milk at-tam). Maka, wajiblah ia dizakatkan. Apatah lagi ia juga sudah cukup syarat kerana telah melebihi nisab, maka wajiblah ia dizakatkan.

Manakala dari segi haul (genap setahun dimiliki), sudah pun dijelaskan sebelum ini di ruangan Bicara Zakat ini bahawa harta perolehan (al-mal al-mustafad) itu tidak perlu dikenakan syarat haul ke atasnya (sesuai dengan pandangan yang dikeluarkan oleh fuqaha seperti Umar bin Abdul Aziz r.a dan sebagainya).

Maka, oleh kerana tiada persyaratan haul, semasa tuan memperolehinya itu sudah datanglah status wajib untuk dikeluarkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5 peratus, tanpa perlu menunggu setahun kemudian.

Bagaimana pula status sijil ASB tuan? Adakah pihak tuan masih berhak mencairkannya (menukarkannya kepada wang) pada bila-bila masa untuk kegunaan sendiri? Jika ia masih boleh dicairkan pada bila-bila masa, yakni tuan ada kemampuan ‘menebus’ kembali sijil berkenaan, maka semua sijil itu juga masih ada milikan sempurna, dan wajiblah dizakatkan.

Namun, saya percaya oleh kerana tuan mencagarkannya demi mendapatkan wang dan membeli rumah, maka pastilah tuan tidak ada sumber kewangan lain untuk menebusnya kembali, dan selama mana dalam tempoh tuan tidak mampu menebusnya, maka hilanglah sifat milikan sempurna ke atasnya dan tidaklah diwajibkan zakat ke atasnya.

Mengenai kewajipan tuan membayar secara ansuran setiap bulan kepada pihak bank, maka itu tidaklah boleh dijadikan halangan bagi puan dalam mengeluarkan zakat.

Mungkin ada orang berkata, bukankah hutang menghalangi seseorang daripada zakat? Betul, di dalam kitab-kitab fiqh memang ada disebutkan, bahawa hutang menghalangi kekayaan seseorang sehingga menyebabkan dia tidak wajib berzakat, sehinggalah langsai hutangnya terlebih dahulu.

Namun, suka saya nyatakan bahawa hutang yang disebutkan sebagai menghalangi kekayaan itu ialah, hutang-hutang yang sifatnya perlu atau wajib segera dilunasi pada tempoh terdekat atau pada tahun semasa itu juga. Sehingga dengan sebab itu, seseorang yang mempunyai harta (contohnya wang) perlu terlebih dahulu menolak hutang berkenaan dari jumlah hartanya. Maka, setelah ditolak sehingga menyebabkan baki hartanya jatuh di bawah nisab, maka itulah hutang yang menghalangi dirinya daripada menunaikan zakat.

Sebagai contoh, Ali membuat hutang daripada Abu sebanyak RM10,000 dan dia berjanji akan melunasi hutang berkenaan pada penghujung tahun 2014. Maka, di akhir tahun 2014, katakan Ali pun mengira zakat wang simpanannya, dan didapati jumlah baki simpanan terendah wang beliau adalah RM20,000; namun setelah ditolak RM10,000 hutangnya kepada Abu, menjadilah bakinya RM10,000.

Di sini, Ali perlu melihat adakah jumlah wang RM10,000 itu masih di atas paras nisab atau tidak. Jika di Selangor pada tahun 2014, nisabnya ialah RM11,650, maka sudah jelas bahawa jumlah RM10,0000 itu tidak pun mencecah paras nisab, sehingga menyebabkan Ali pun tidak wajib menunaikan zakatnya. Inilah hutang yang dimaksudkan menghalangi kekayaan seseorang.

Manakala pada aspek lain, ada hutang yang tidak pula menjadikan pemiutang (orang yang berhutang) itu terhalang dirinya daripada menikmati kekayaan. Ini kerana, hutang yang dilakukannya biar pun berjumlah ratusan malahan jutaan ringgit, telah pun distrukturkan sesuai dengan kemampuan kewangannya, sehingga ia tidak sedikit pun menjejaskan kekayaannya.

Misalnya Uthman meminjam RM100,000 dari sebuah bank dalam bentuk pinjaman peribadi, maka hutang itu biar pun sangat besar tetapi telah disusun sehingga pembayarannya menjadi panjang, dan tidak membebankan Uthman. Malah, ia turut dijamin oleh takaful, sehingga jika berlaku kes kematian, hutang yang berbaki akan dilunasi oleh pihak 
takaful.

Maka dalam konteks hutang seperti ini, ia tidak langsung menyebabkan si peminjam menyusut kekayaannya. Malah, ada kes semakin besar hutang, semakin bertambah jumlah asetnya, misalnya dalam konteks hutang untuk perniagaan. Maka, sudah pastilah hutang seperti ini tidak sedikit pun menghalangi kekayaan atas si pembuat hutang.

Oleh itu, Uthman masih wajib melunasi zakat wang simpanannya (atau zakat-zakatnya yang lain) jika sudah ada segala syarat wajibnya, tanpa perlu khuatir akan status hutangnya yang belum selesai.

Kes ini samalah dengan kes tuan yang mana, tuan juga mempunyai komitmen menjelaskan kembali segala hutang overdraf yang tuan lakukan berkenaan, namun hutang itu tidaklah sampai menjadikan tuan hilang sifat kekayaan yang tuan nikmati. Maka, wajiblah tuan lunasi zakat atas harta tuan yang sudah mencukupi syarat wajib zakatnya, dan mudah-mudahan dengan itu, akan bertambah suburlah baki harta yang tuan miliki. Wallahua’lam.