Al-Buzjani adalah namanya yang diambil daripada nama tempat kelahirannya, iaitu Al-Buzjan iaitu sebuah desa kecil yang terletak di daerah Khurasan di Iran, atau antara Nishapur dan Harrah. Manakala gelaran Al-Hasib adalah gelaran umum yang diberikan kepada orang yang menekuni bidang ilmu matematik.

Dalam kesusasteraan Arab, namanya biasa disebut dengan nama-nama berikut, iaitu Abu Al-Wafa’, Abu Al-Wafa’ bin Al-Abbas, Al-Buzjani, Abu Al-Wafa’ Al-Buzjani.

Abu Al-Wafa’ dilahirkan di sebuah desa bernama Buzjan pada 328 Hijrah (940 Masihi). Tidak banyak rujukan sejarah yang menyebutkan secara lengkap tentang sejarah pendidikannya. Namun yang jelas, ketika usianya masih muda dia pernah mengunjungi Baghdad pada 348 Hijrah (959 Masihi).

Di situ, beliau belajar ilmu matematik dan ilmu astronomi. Beliau kemudiannya mengajar dan menulis dalam bidang tersebut, di samping mengadakan penelitian astronomi melalui teropong bintang milik pemerintah.

Al-Buzjani termasuk salah seorang ilmuwan Muslim yang mengembangkan penelitiannya untuk pertumbuhan ilmu hitung kalkulus. Kerana itu, beliau banyak memberikan tumpuan bagi kebangkitan industri yang ada pada masa kita sekarang. Ini kerana gambar geometri dan kalkulus dianggap sebagai tumpuan dasar bagi pengembangan industri dan teknologi, selain sebagai cara untuk mengukur berbagai-bagai bentuk dan ukuran yang sulit.

Kitab Al-Madkhal ila Al-Aritsmatiqi, membincangkan tentang aritmetik iaitu sebahagian daripada cabang ilmu matematik.

Sementara itu, kitab Ma Yahtaju Ilaihi Amal Wa Al-Kitab Min Shina’ati Al-Hisab, secara ringkasnya dikenal dengan nama Al-Manazil Fil Hisab atau Kitab Al-Manazil. Buku ini ditulis oleh Al-Buzjani untuk digunakan oleh pegawai negeri.

Dalam buku itu juga, beliau menerangkan tentang kaedah ilmu hitung India, seperti goresan pada pasir dan bagaimana menghapuskannya.

Ilmu hitung

Pada kenyataannya, ilmu hitung ini didasarkan pada cara hitung yang disebut “hitungan Romawi dan Arab” menurut cara penyelesaian penghitungannya. Kadang-kadang juga hanya dilakukan di dalam benak seseorang dan dalam keadaan tertentu ada langkah penyelesaian dengan cara menghitung jari.

Inilah yang saat dikenal dengan nama “hitungan tangan,” “hitungan akad,” dan “hitungan udara.” Kemudian untuk berinteraksi dengan bilangan pecahan, hitungan tangan menggunakan ukuran enam puluhan atau pecahan itu diubah menjadi mata wang atau satuan ukuran.

Kitab Al-Manazil telah menjadi dasar dalam menghitung pada masa Al-Buzjani. Penamaan buku Al-Manazil didasarkan pada keadaan aslinya, iaitu bahawa buku ini terbahagi menjadi tujuh manzilah (tingkatan) dan masing-masing manzilah terbahagi menjadi tujuh bab.

Keunggulan Al-Buzjani dalam ilmu astronomi dan matematik telah membuat para astronomi dan ahli matematik barat merasa kagum, sekali gus iri hati kepadanya.

Bahkan, kerana didorong perasaan itu, salah seorang daripada mereka mengaku apa yang ditemukan oleh Al-Buzjani sebagai penemuannya sendiri. Misalnya, ahli astronomi dari Denmark, Tycho Brahe (1546-1601).

Sepanjang penglibatan Al-Buzjani dalam bidang astronomi, tujuh risalah utama daripada Almagest (Kitab al-Majisti) masih wujud hingga kini. Kerja-kerjanya merangkumi banyak topik dalam bidang satah dan sfera trigonometri, teori planetari dan penyelesaian dalam menentukan arah kiblat.

Sebahagian sejarawan mengatakan bahawa ini adalah penemuan Brahe. Bagaimanapun, sebahagian yang lain ada yang juga membantah perkara itu. Masalah ini sempat menjadi perdebatan yang panjang, hingga dapat diyakinkan pada masa sekarang bahawa penemuan ketidaksempurnaan ketiga pada pergerakan bulan adalah penemuan Abu Al-Wafa’ Al-Buzjani, bukan Tycho Brahe.

Akhirnya, para ilmuwan Barat mengembalikan penemuan hak Al-Buzjani kepadanya. Beliau juga merupakan orang pertama kali memisahkan ilmu hitung trigonometri dengan ilmu astronomi.

Abu Al-Wafa’ telah mencapai kedudukan yang paling tinggi dalam ilmu matematik. Karya-karya atau tulisan Al-Buzjani memiliki banyak keistimewaan dan segala karyanya dapat dimanfaatkan oleh semua orang. Malah segala isi karyanya begitu lengkap dan tidak mungkin dapat dilakukan oleh mereka yang bukan pakar atau ahli khusus dalam bidang tersebut.

Nama lengkap: Muhammad bin Muhammad bin Yahya bin Ismail

Gelaran: Abu Al-Wafa’ Al-Buzjani Al-Hasib

Lahir: 10 Jun 940 Masihi di Buzhgan, (sekarang Torbat-e Jam) di Khurasan (sekarang Iran)

Meninggal dunia: 15 Julai 997 Masihi atau 998 Masihi di Baghdad

Era: Zaman Keemasan Islam

Bidang kepakaran: Matematik dan Astronomi

Idea-ideanya yang paling terkesan: Fungsi tangen, peraturan sinus dan beberapa identiti trigonometri