Pelantikan Ataturk berikutan kebolehannya memimpin sebagai pemerintah di negara itu bukanlah menyatupadukan umat Islam Turki, sebaliknya menjadi tali barut Yahudi untuk menyesatkan umat Islam dan menghancurkan pemerintahan Islam.

Namun, di sebalik peristiwa itu, ramai yang tidak mengenali tokoh pendakwah, yang berusaha keras dalam menghalang idea pembaharuan Ataturk yang ingin menjadikan Islam sebagai agama sekular itu daripada terus berleluasa. Beliau adalah Badiuzzaman Said al-Nursi.

Tidak menggunakan kaedah gerakan politik, apatah lagi pertempuran, namun tokoh yang digelar ‘keunggulan zaman’ itu berjaya memelihara kesucian agama Islam di Turki daripada terus terpesong dengan hanya berbekalkan kekuatan iman dan akidah.

Walaupun terpaksa melalui pelbagai cabaran termasuk dihina, dipenjara, dihalau dan dipinggir oleh pemerintah sekular pada masa itu, namun tidak mematahkan semangat al-Nursi untuk meneruskan perjuangan malah dijadikan peluang baginya untuk menghasilkan pelbagai amanat menerusi Risalah an-Nur.

Waris pemegang amanat, Badiuzzaman Said al-Nursi, Mehmet Said Ozdemir, 87, berkata, justeru umat Islam di seluruh dunia perlu menghayati amanat agung yang ditinggalkan itu bagi menjadikan Islam semakin berkembang dan kuat di seluruh dunia menandingi gerakan lain.

Ia tambahnya, sebagaimana yang dilakukan oleh Badiuzzaman dalam memperbaiki penyelewengan yang berlaku dalam negara tersebut ketika pemerintahan Atarturk.

Justeru Ozdemir berkata, empat wasiat keamanan yang menjadi asas utama kejayaan negara Islam perlu dilaksana dan diperkukuhkan oleh umat Islam iaitu merangkumi pengukuhan ukhwah, berkasih-sayang sesama saudara, bersatu dan bekerjasama serta saling membantu.

“Mengambil insiden yang berlaku pada zaman Badiuzzaman di mana ketika beliau ingin menziarahi Konya dari Isparta, Turki yang ketika itu diperintah oleh kerajaan Ataturk, beliau tiada kebenaran untuk masuk kerana dibimbangi boleh menimbulkan pergaduhan.

“Walaupun mempunyai pengikut dan anak murid yang ramai, namun beliau tidak menggunakan kaedah kekerasan walaupun pernah diajar oleh para ulama lain. Ia adalah demi menjaga ukhuwah antara pihak keselamatan negara dan pihaknya yang kedua-duanya adalah beragama Islam.

“Sikap sentiasa memperkukuh ukuhwah ini juga dapat mengelakkan perselisihan antara umat Islam, sekali gus mencapai sifat kekuatan dan keamanan dalam sesebuah negara,” katanya.

Sementara itu katanya, sikap berkasih-sayang sesama saudara yang dilihat semakin berkurang juga perlu diterapkan sebagai nilai dalam diri setiap individu bagi memastikan keamanan negara yang berkekalan.

“Kasih sayang sesama saudara yang mempunyai keimanan serupa adalah seumpama binaan Kaabah, manakala perbezaan fahaman dan ideologi daripada sesama saudara itu pula seperti binaan kecil di sekeliling Kaabah.

“Jangan kerana perbezaan kecil yang ibarat tidak bernilai itu, umat Islam sanggup bertumpah darah sehingga meruntuhkan kasih-sayang sesama saudara yang dianggap seperti meruntuhkan Kaabah,” jelasnya.

Menjelaskan lanjut, Ozdemir berkata, bersatu dan bekerjasama yang sering diingatkan oleh Badiuzzaman adalah teras kepada kekuatan walaupun daripada kaum yang lemah.

“Kehebatan individu tidak menjamin kekuatan jika tanpa kerjasama dan perpaduan daripada individu lain. Wanita yang sering dilabel sebagai golongan yang lemah tidak semestinya terus lemah, sebaliknya mereka akan menjadi lebih kuat dengan sifat saling bersatu dan bekerjasama.

“Begitu juga, tidak semestinya golongan lelaki itu kuat, tetapi jika mereka tidak bersatu maka mereka akan menjadi lemah, malah lebih lemah daripada wanita.

“Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa bersatu dan bekerjasama bagi meneruskan kekuatan Islam daripada dipersenda dan diperkecilkan agama lain yang sentiasa merancang menjatuhkan Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, tidak lengkap tiga amalan tersebut tanpa dilaksanakan dengan prinsip keempat iaitu saling bantu membantu.

“Diibarat seperti membuat jarum. Seorang lelaki hanya mampu menghasilkan tiga ke empat batang jarum sehari jika dilakukan secara bersendirian.

“Berbeza jika dibahagi-bahagikan tugas tersebut kepada orang lain, tidak mustahil penghasilan jarum boleh berganda kepada ribuan sehari jika masing-masing diberi tugas dan akhirnya digabungkan,” katanya.