Berkunjung ke negara yang terkenal dengan sejarah tamadun panjang di dunia merupakan cara paling tepat menerokai perjalanan Islam di sana.

Kesempatan menyertai rombongan agensi pelancongan, Mayang Sutera Holidays Sdn. Bhd. (Mayang Sutera) ke Xiamen dan Quanzhou, membolehkan penulis berbuat demikian.

Quanzhou terletak dalam wilayah Fujian di tenggara China antara destinasi perlu dilawati kerana menyimpan sejarah tersurat dan tersirat.

Antara batu nisan yang terdapat di Pusat Islam Quangzhou.

Antara batu nisan yang terdapat di Pusat Islam Quangzhou.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/xiamen-amp-quanzhou-pintu-masuk-agama-islam-1.14478#sthash.nE0onQ6s.dpuf

 

Antara khazanah berharga – kompleks kubur menempatkan jasad dua sahabat Nabi Muhammad SAW dikenali dengan nama Cina, Sa-Ke-Zu dan Wu-Ko-Su di Bukit Lingshan.

Menziarahi kubur dua sahabat Rasulullah yang datang ke Quanzhou semasa pemerintahan Wu-De (618-626) pada awal zaman Dinasti Tang bersama rombongan Saad bin Abi Waqqas adalah satu kemestian menghayati jerit payah menyampaikan dakwah Islam.

Kubur dua pendakwah dijaga dengan baik dan jelas kelihatan kawasan di Bukit Lingshan dalam keadaan bersih kerana dianggap suci selain dipelihara oleh kerajaan China kerana nilai sejarah.

Menurut catatan batu bersurat di situ, Laksamana Zheng He (1371 -1433) atau nama Cheng Ho di Malaysia – pernah melawat kompleks kubur tersebut sebelum melakukan pengembaraan ke lebih 30 negara dan wilayah di Asia dan Afrika.

Masjid Qinjing berusia lebih seribu tahun terletak di Jalan Tumen, Quanzhou kira-kira 10 minit perjalanan dari kompleks kubur sahabat Rasulullah, destinasi perlu dikunjungi umat Islam.

Masjid yang dibina pada 1009 menjadi saksi perjalanan umat Islam yang pernah memberi sumbangan besar kepada Quanzhou hingga mendapat jolokan Zaitun – sebuah pelabuhan penting bagi Laluan Sutera Maritim ketika zaman pemerintahan Dinasti Song (960-1279).

Masjid Qingjing atau Ashab mempunyai persamaan dengan seni bina masjid di Syria menggambarkan hubungan pernah terjalin antara masyarakat Arab dan rakyat China ketika itu.Masjid berkeluasan 2,500 meter persegi terbahagi kepada tiga ruang besar dan memiliki empat pintu gerbang.

Apabila melangkah masuk, tersergam 99 gerbang kecil melambangkan 99 nama Allah.

Gerbang masjid dibina menggunakan granit putih dan direka mengikut empat bentuk kubah.

Memandangkan usia masjid melebihi seribu tahun, ia pernah menjalani beberapa siri ubah suai dan baik pulih semasa pemerintahan Dinasti Yuan dan Dinasti Ming. Catatannya dapat dilihat pada rekod batu bersurat di dalam masjid.

Masjid Qinjing menjadi saksi Islam pernah mempunyai pengaruh besar dalam pemerintahan China, ini dapat dilihat pada catatan diraja di bahagian utara masjid yang mahu Islam dilindungi pada tahun kelima (1407) pemerintahan Maharaja Yong Le ketika era Dinasti Ming.

Seiring perubahan pemerintahan di China yang silih berganti, keadaan fizikal masjid turut berubah. Jangan terkejut, dewan solat asal sudah tidak digunakan hanya tinggal struktur tiang dan hamparan rumput hijau menyambut pengunjung. Dewan solat lebih kecil berada di sebelah dewan asal.

Kami tetap bersyukur kerana berpeluang menunaikan solat di masjid bersejarah bersama imamnya Ibrahim Yunus, dan pengalaman merasai cara umat Islam di Quanzhou mengamalkan cara hidup mentauhidkan Allah.

Ruang yang ada kami guna sebaik-baik mungkin untuk beramah mesra dan bertanya kehidupan masyarakat Islam Quanzhou pada era zaman Republik Rakyat China (PRC) kini. Komunikasi kami dibantu Pengurus Besar Mayang Sutera, Datuk Azizul Rahim Saedin.

Imam berumur 47 tahun itu menjelaskan, kini hanya tinggal sekitar 40,000 umat Islam di bandar yang mempunyai populasi 8 juta kerana kebanyakan sudah berhijrah ke bandar lain.

“Biarpun begitu, masjid ini antara yang tertua di China tidak pernah lekang daripada kunjungan jemaah Islam bersolat. Pada sesuatu masa, dewan solat dipenuhi 70 jemaah dan hampir 100 orang ketika solat Jumaat,” kata bapa kepada dua anak itu.

Lain pula nasib Masjid Xiamen, terletak lebih sejam perjalanan dari Quanzhou, kini tidak seperti rupa asal ketika dibina pada hujung pemerintahan Dinasti Qing (1616-1911) di Jalan Gongyuan Nan.

Masjid itu sebaris kawasan bangunan kedai, terletak di atas bangunan lima tingkat. Bagi mereka yang pertama kali berkunjung, pasti tidak sedar kewujudannya melainkan gambar kubah sebagai penanda.

Menurut Imam Masjid Xiamen dikenali sebagai Ibrahim, rumah ibadat berusia 200 tahun itu terpaksa dirobohkan untuk memberi ruang pembangunan kawasan sekitar seperti dirancang kerajaan China.

“Masjid Xiamen merupakan satu-satu masjid di bandar yang mempunyai populasi penduduk sebanyak tiga juta. Daripada jumlah itu, terdapat sebanyak 6,000 keluarga Islam merangkumi 10,000 penduduk Islam,” ujarnya