Antara syariah dan prinsip akal


KEWUJUDAN maqasid di sebalik syariah Islam menunjukkan bahawa secara umumnya, setiap undang-undang yang diturunkan oleh Allah SWT mempunyai ‘illah dan matlamatnya tersendiri yang membawa kepada kebaikan insan. ‘Illah shar’iyyah ini dapat difahami oleh akal manusia berdasarkan kepada penelitian terhadap ajaran yang diturunkan oleh tuhan menerusi wahyu dan ajaran Nabi. Ia bukan turun tanpa tujuan, justeru bersifat tidak rasional atau seperti yang didakwa oleh sebahagian orientalis barat, bertentangan dengan kebaikan manusia.

Atas nama faham humanisme dan sekularisme, para orientalis sering memperkecilkan dan memburukkan undang-undang Islam dengan menuduhnya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ternyata tuduhan itu bertentangan sama sekali dengan maqasid diturunkan syariah.

Mana mungkin syariah yang diturunkan tuhan dengan matlamat utamanya untuk menjaga maslahah kemanusiaan tiba-tiba mendatangkan hukum-hukum yang akan merosakkan kemaslahatan manusia seperti yang ingin dicapai olehnya sendiri. Yang jelas, apabila mereka menuduh begitu mereka hanya melihat kemanusiaan daripada sudut jasmaniah dan haiwaniah dan gagal untuk memahami manusia sebagai satu kewujudan sejagat yang meliputi unsur jasmaniah dan rohaniah sekali gus.

Kepentingan maqasid syariah

1.Hubungan harmonis antara akhlak, undang-Undang dan akidah

Peranan maqasid syariah dalam memperkukuhkan akhlak akan lebih jelas sekiranya hubungan harmoni antara akhlak dan syariah difahami dengan baik. Akhlak, dalam ertikatanya yang sebenar dalam Islam, adalah matlamat kepada pelaksanaan hukum syariah.

Segala hukum-hakam yang diturunkan oleh tuhan adalah bermuarakan pembinaan akhlak yang mulia dalam diri insan. Al-Quran sendiri sering memberi peringatan terhadap matlamat akhlakiyah apabila mengenakan sesuatu bentuk taklif hukum atau amalan dalam agama.

Misalnya wuduk dikaitkan dengan tujuan kebersihan (al-Ma’idah: 7), solat dikaitkan dengan menjauhkan kemungkaran (al-‘Ankabut:45), zakat dikaitkan dengan pembersihan harta dan mengelakkan harta dibolot oleh orang kaya (al-Hasyr:7), jihad dikaitkan dengan melawan kezaliman (al-Hajj: 39), qisas dikaitkan dengan keadilan (al-Baqarah: 179).

Kesemua matlamat yang dikaitkan oleh al-Quran dengan hukuman dan pertanggungjawaban agama ini jelas berbentuk akhlakiyah. Ini juga bersesuaian dengan salah satu peranan utama pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada manusia iaitu untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Di samping akhlak, akidah yang merupakan landasan kepercayaan kepada keseluruhan kerangka agama juga menjadi asas yang kuat kepada aspek undang-undang di dalam Islam. Penghambaan yang tulus kepada tuhan sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Quran sebagai tujuan manusia dijadikan (Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk tunduk menghambakan diri kepada-Ku.) (al-Dhariyat: 56) merupakan asas kepada semua aspek ibadat, muamalah dan undang-undang dalam Islam.

Asas penghambaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa pengukuhan daripada aspek keimanan dan akidah. Hakikat ini terbukti dalam sirah Rasulullah SAW apabila wahyu yang diturunkan pada peringkat awal dakwah Rasulullah SAW selama 13 tahun banyak menekankan persoalan akidah dan keimanan sebelum turunnya ayat-ayat berkaitan dengan undang-undang ketika di Madinah.

Jelas di sini bahawa ketiga-tiga aspek akidah, undang-undang dan akhlak adalah merupakan tiga bahagian dalam satu jalinan utuh lagi mesra yang membina kerangka agama Islam secara keseluruhan. Gambaran jalinan erat antara tiga dimensi ini nyata dijelaskan oleh sebuah hadis Rasulullah SAW yang dikenali sebagai hadis Jibril yang menghuraikan agama Islam dengan tiga bahagian utama Islam, iman dan ihsan.

Dalam konteks maqasid syariah, matlamat syariah yang lebih tinggi yang bersifat akhlaqiyah dan aqidiyyah haruslah terus menerus dipertekankan dalam kefahaman terhadap aspek undang-undang Islam. Kegagalan memahami matlamat syariah yang lebih tinggi ini akan hanya menyebabkan syariah atau undang-undang Islam bersifat beku, membatas dan ritualistik.

Misalnya, sekiranya pengajaran solat hanya ditekan kepada rukun dan hukum solat tanpa mengaitkan dengan falsafah solat yang berkaitan dan akhlak menerusi penekanan terhadap keimanan yang kukuh, keperluan pembersihan hati dan khusyuk dan tawaduk kepada tuhan, maka amalan solat tidak akan dapat mencapai matlamatnya yang sebenar iaitu menghambakan diri kepada tuhan dan menjauhkan diri daripada kemungkaran.

Begitu juga kewajipan ibadat haji, sekiranya seseorang jemaah haji tidak benar-benar memahami falsafah akhlakiyah di sebalik ritual yang dilakukan, maka ibadat hajinya mungkin tinggal seperti rangka yang tiada berisi atau yang lebih buruk akan menjadi fitnah kepada agama apabila tujuan-tujuan duniawi yang lain yang lebih diutamakan dalam ibadah tersebut.

Demikianlah penting maqasid syariah dalam memberikan matlamat yang lebih tinggi dalam pertanggungjawaban syariah, di samping memberikan ruh kepada ibadat dan hukum-hakam yang diturunkan oleh agama kepada seluruh manusia.

Kefahaman yang mendalam terhadap matlamat syariah ini terutama dalam sistem pendidikan agama secara formal atau informal akan bertindak sebagai mekanisme yang lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan masyarakat.

2. Tindakan menepati matlamat dan tujuan

Seperti yang telah disentuh, maqasid syariah mengandaikan bahawa setiap hukum yang diturunkan mempunyai tujuan dan matlamat yang akhirnya membawa kepada kemaslahatan seseorang Muslim. Dalam menangani keruntuhan akhlak, sesuatu matlamat dan tujuan sesuatu hukum itu haruslah sentiasa menjadi keutamaan.

Kadangkala berlaku keadaan di mana penekanan yang keterlaluan diberikan kepada pelaksanaan hukum sehingga matlamat sebenar hukum itu tidak tercapai. Ibnu Qayyim Jauziyyah memetik kisah Saidina Umar yang tidak menghukumkan seorang perempuan sebagai diceraikan kerana ia menggunakan helah supaya dia diceraikan oleh suaminya.

Kisahnya berlaku apabila perempuan tersebut telah meminta kepada suaminya untuk memanggilnya dengan satu nama, maka si suamipun memanggilnya dengan nama ‘Wahai yang berhati mulia.’ Kemudian perempuan itu mengatakan “Bukan begitu.” Suaminya menjawab “Apa yang hendak engkau mahu akau panggil engkau?” Si isteri menjawab, “Panggil aku dengan nama ‘yang Dicerai.’”

Suaminyapun memanggil dengan nama tersebut. Maka perempuan tersebut menemui Saidina Umar dan mengatakan bahawa suaminya telah menceraikannya. Umar memarahinya dan malah memanggil suaminya untuk memarahi juga isterinya sebagai yang dilakukan oleh Umar.

Kisah tersebut menunjukkan bahawa sesuatu hukum itu tidak akan terlaksana sekiranya ia bertentangan dengan tujuan di sebalik hukuman tersebut. Ini sesuai dengan kaedah fikah yang disusun oleh para fuqaha, “Setiap perkara adalah berdasarkan kepada tujuannya (al-umur bi maqasidiha).” Kaedah ini antara lain berasaskan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya segala amalan adalah berdasarkan kepada niat.”

Dalam konteks penyelesaian isu keruntuhan akhlak, banyak bentuk-bentuk keruntuhan akhlak yang dilakukan dengan jenama yang kelihatan baik dan berakhlak. Penganjuran majlis-majlis hiburan atas nama ‘kutipan amal’ yang kadang-kala melangkaui batas-batas agama adalah satu contoh tindakan yang tidak menepati tujuan yang dinyatakan.

3.Penekanan terhadap kefahaman sebelum hukuman

Tidak dinafikan bahawa aspek hukum penting sebagai aspek pengawalan dan pemeliharaan. Namun dalam konteks pelaksanaannya, hukuman harus didahului dengan kefahaman yang mendalam terutama terhadap falsafah di sebalik hukuman tersebut.

Amat malang sekali apabila sebahagian masyarakat Islam bukan sahaja tidak mengetahui falsafah di sebalik hukum, malah tidak mengetahi hukum sesuatu perbuatan itu sendiri. Dengan kata lain, sistem pendidikan agama secara keseluruhan dalam masayarakat Islam tidak berjalan dengan baik dan harus diperkasakan.

Pendidikan agama, secara pedagogi harus mendahulukan aspek akidah dan yang menjadi landasan kepada agama sebelum menjelaskan mengenai persoalan hukum-hakam. Ini jelas apabila dilihat dalam tradisi keilmuan Islam, disiplin akidah itu dinamakan usul al-din yang bermaksud, landasan kepada agama sementara disiplin fikih dinamakan furu’ al-din yang merujuk kepada cabangan kepada agama. Imam Abu Hanifah walaupun terkenal sebagai ahli fikah menamakan kitab akidahnya sebagai Fiqh al-Akbar yang menggambarkan kepentingan akidah berbanding bidang-bidang lain.

Kenyataan di atas penting apabila dilihat daripada sudut permasalahan akhlak kerana sebahagian besar daripada kes keruntuhan akhlak adalah disebabkan kejahilan dan kedengkelan ilmu tentang persoalan akidah. Misalnya, kes murtad dalam kalangan generasi muda, apabila diteliti, bukan sekadar disebabkan mereka tidak mengetahui hukum halal dan haram, tetapi disebabkan kelemahan iman yang disebabkan kefahaman akidah yang amat rendah.

4. Keutamaan kepada perkara daruriyyat

Berdasarkan kepada pendekatan maqasid syariah, hal-hal berkaitan dengan daruriyyat mestilah diberi keutamaan. Seperti yang telah disentuh, lima perkara yang dipelihara dalam kategori daruriyyat ialah agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Dalam konteks keruntuhan akhlak yang berlaku sekarang, nampaknya kelima-lima aspek ini nampaknya berada dalam keadaan yang agak tergugat. Aspek agama masyarakat Islam amat membimbangkan apabila ramai dalam kalangan generasi mudah yang tidak mengendahkan suruhan agama disebabkan oleh pengaruh hiburan dan lepas bebas yang telah melanda mereka. Juga disebabkan akidah dan iman yang longgar ada yang akhirnya terjebak dalam gejala murtad. Sementara itu, aspek kedua iaitu jiwa, kejadian bunuh dan keganasan yang berlaku saban hari menunjukkan pemeliharaan aspek ini tidak berjalan dengan baik. Kes-kes dadah dan alkohol dalam kalangan remaja yang begitu banyak menunjukkan aspek ketiga iaitu pemeliharaan akal juga berada di tahap yang amat membimbangkan.

Sementara ancaman terhadap aspek keempat iaitu keturunan jelas besar apabila kes-kes zina dan anak luar nikah bertambah dari sehari ke sehari. Dan yang terakhir, kejadian kecurian, jenayah samun dan rasuah adalah bukti aspek terakhir iaitu harta memerlukan pemerhatian yang serius.

Kesemua ancaman terhadap lima perkara daruriyyat di atas adalah cerminan kepada keruntuhan akhlak yang serius dalam kalangan masyarakat. Oleh yang demikian, bersesuaian dengan tuntutan dan matlamat syariah diturunkan, perancangan dan tindakan yang lebih teliti dan serius haruslah diambil oleh semua pihak yang terlibat.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: