Menzakatkan pendapatan syubhah


SAYA adalah warga asing yang bekerja sebagai pembantu rumah di sebuah rumah dengan majikan bukan Islam. Saya terpaksa menyediakan makanan yang haram kepada majikan saya, seperti memasak daging babi dan menghidangkan arak. Saya pernah mendengar, Nabi SAW melaknat pekerja seperti saya, yang menyediakan arak kepada orang lain. Masalahnya, saya tidak boleh mencari pekerjaan lain. Dalam masa yang sama, saya juga teringin untuk menunaikan zakat pendapatan demi memperoleh keberkatan dan membersihkan harta saya. Soalan saya, bolehkah pendapatan seperti ini dizakatkan? Harap penjelasan ustaz.

Jawapan:

Terima kasih kerana mengemukakan persoalan ini dan saya percaya, masih ramai lagi di luar sana yang menghadapi masalah yang sama seperti mana yang puan sedang hadapi. Sesungguhnya saya amat simpati dengan nasib yang menimpa puan.

Realitinya, berdasarkan pemerhatian, sebenarnya mereka yang bekerja di sektor seperti ini termasuklah pelayan di hotel, di kedai serbaneka 24 jam, pramugari penerbangan, pegawai bank dan sebagainya lagi. Pelayan hotel atau pramugari penerbangan misalnya, apabila diminta oleh tetamu non-Muslim agar dihidangkan arak, maka dia harus menghidangkannya.

Mengikut hukum asal, bekerja di sektor-sektor berkenaan adalah halal. Namun, apabila adanya percampuran unsur-unsur haram, maka jadilah ia syubhah. Apakah syubah? Syubhah itu secara mudahnya adalah kesamaran. Syubhah berlaku apabila wujudnya percampuran di antara perkara-perkara yang haram dan halal, walaupun sedikit. Ini kerana, perkara haram akan merosakkan yang halal.

Nabi Muhammad SAW ada menegaskan: Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhah yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga perkara syubhah, maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barang siapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati. (riwayat lmam Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberikan kita petunjuk, bahawa menjauhi perkara syubhah hukumnya dituntut. Ini kerana, syubhah membawa kepada haram. Namun, mari kita terlebih dahulu teliti senario semasa pada hari ini agar jawapan yang diperoleh tidaklah menimbulkan mudarat yang lebih besar, khususnya kepada mereka yang tiada pilihan lain dalam pekerjaan. Misalnya bagi seorang pembantu rumah seperti puan yang sudah ‘diikat’ beberapa tahun atau atas sebab-sebab tertentu yang mengikat diri puan. Melainkan mereka yang terlibat itu ada pilihan lain, maka sudah pasti membiarkan diri terus dalam kemelut syubhah adalah amat ditegah.

Elemen riba

Fuqaha besar, misalnya Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi telah membicarakan perihal ini di dalam kitabnya, Fatwa-fatwa Mutakhir (Fatwa Mua’ssirat) pada halaman 772 (Pustaka Hidayah, Bandung) dalam isu Bekerja Di Bank yang terpaksa terlibat dengan elemen riba dan sebagainya dan beliau membuat suatu kesimpulan bahawa, bekerja di sektor yang syubhah sebaik-baiknya dielakkan.

Namun, jika wujudnya halangan, misalnya amat sukar mencari pekerjaan atau halangan-halangan lain, maka beliau melihat adanya kelonggaran. Asal sahaja orang yang terlibat dalam pekerjaan berkenaan, sama sekali tidak pernah reda dengan apa yang dilakukannya. Maknanya, dia melakukannya dalam keadaan terpaksa. Jika boleh, dia enggan dan mahu melarikan dirinya.

Maka, dalam keadaan seperti ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi membolehkan orang itu bekerja dalam sektor yang syubhah ini. Dalam isu keterpaksaan ini, Dr. Yusuf al-Qardawi turut membahaskannya di dalam kitab Halal dan Haram Dalam Islam, pada bab ‘Keadaan Terpaksa Membolehkan Terlarang’ (Pustaka Nasional, halaman 47).

Lagi pun, adakalanya wujud keperluan bagi mereka untuk berada di dalamnya (dalam kes ini kerja di sektor perbankan). Seandainya semua orang Islam melarikan dirinya daripada pekerjaan itu, misalnya di sektor perbankan, maka kelak tiada sesiapa pun dalam kalangan orang Islam yang mahir dan tahu urusan perbankan. Ini tidaklah patut dibiarkan berlaku kerana implikasinya lebih memudaratkan ummah secara keseluruhan.

Merujuk kepada isu syubhah ini, ada dua keadaan yang perlu diperhatikan. Pertama, orang yang terlibat secara langsung dengan pekerjaan haram tanpa kerelaan. Misalnya seorang pramugari dan pelayan hotel yang diminta pelanggan non-Muslim menyajikan arak kepada mereka. Maka, dalam keadaan itu dia terpaksa melakukannya atas nama pekerjaan. Namun, bukanlah pekerjaannya 100 peratus menghidangkan arak. Boleh jadi hanya 10 peratus sahaja.

Maka dalam kes pertama ini, sebaik-baiknya orang yang terlibat itu berusaha memisahkan sumber-sumber yang haram dalam pendapatannya itu. Misalnya, jika dalam sebulan pendapatannya berjumlah RM1,000, maka dia boleh membuat unjuran berapa peratus elemen haram yang perlu disisihkan. Jika 10 peratus. Maka, sisihkanlah nilai RM100 daripada RM1,000 dan wang itu hendaklah disalurkan ke jalan-jalan bersifat kebajikan awam. Baki RM900 itu adalah pendapatan yang bersih dan halal, maka barulah boleh dimanfaatkan untuk sumber rezeki termasuklah juga untuk dizakatkan.

Keduanya, orang yang pendapatannya syubhah kerana faktor sistem. Misalnya, si A memang bekerja sebagai pengawal keselamatan yang sememangnya 100 peratus halal. Namun diketahui bahawa sumber utama gajinya bercampur dengan yang haram. Misalnya, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di pasar raya dan di premis itu ada menjual arak. Seluruh pendapatan pasar raya itu akan disatukan dan kemudiannya diagihkan kembali sebagai gaji. Menjadi suatu kesusahan, bahkan hampir mustahil baginya untuk memisahkan sumber gajinya yang haram atau syubhah. Maka di sini, menurut pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi, ia dimaafkan dan pendapatannya halal dimanfaatkan, termasuk dizakatkan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20141003/ba_03/Menzakatkan-pendapatan-syubhah#ixzz3FczwiZ9B
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: