Hukum Kahwin cina buta


PERUNDANGAN Islam menjelaskan, jika suami menceraikan isterinya dengan talak tiga, maka mereka tidak boleh kembali menjadi suami isteri kecuali memenuhi syarat yang ditetapkan. Talak tiga boleh berlaku dalam beberapa keadaan iaitu;

Pertama, suami menceraikan isteri pada kali yang ketiga.

Kedua, suami melafazkan ‘saya ceraikan kamu dengan talak tiga’.

Jika suami sudah menceraikan isterinya dengan talak tiga, kemudian jika suami itu mahu kembali semula kepada isterinya, maka Islam meletakkan beberapa syarat:

1) Bekas isteri mestilah berkahwin dengan lelaki lain dengan akad nikah yang sempurna, selepas selesai tempoh iddahnya.

2) Bekas isteri sudah disetubuhi oleh suami baharunya.

3) Bekas isteri itu diceraikan oleh suami baharunya, sama ada suaminya itu meninggal dunia atau suaminya itu menceraikan wanita tersebut.

Apabila cukup tiga syarat tersebut dan sudah habis tempoh waktu iddah wanita itu, maka barulah suami pertamanya (yang menceraikan wanita itu dengan talak tiga) boleh bernikah semula dengan bekas isterinya itu. Dengan syarat wanita itu bersetuju untuk bernikah semula dengan bekas suami pertamanya itu.

Hukum ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 230 yang bermaksud: Sesudah (diceraikan dua kali) itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga perempuan itu berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau dia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

Aisyah melaporkan: Pada suatu hari, isteri Rifa’ah datang berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Isteri Rifa’ah berkata, ‘Rifa’ah telah menceraikan saya buat kali yang ketiga. Kemudian saya berkahwin dengan Abdul Rahman bin Zubair. Tetapi kemaluannya kecil sangat seperti besar hujung kain ini sahaja.’ Sambil dia menunjukkan hujung bajunya. Lalu Rasulullah tersenyum dan berkata, Adakah puan bermaksud mahu kembali semula berkahwin dengan Rifa’ah? Tidak, puan tidak boleh buat begitu kecuali puan sudah merasai madu Abdul Rahman dan Abdul Rahman sudah merasai madu puan. (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan, para ulama mentafsirkan maksud kata-kata Nabi SAW kepada bekas isteri Rifa’ah, ‘… kecuali puan sudah merasai madu Abdul Rahman dan Abdul Rahman sudah merasai madu puan,’ iaitu puan sudah bersetubuh dengan Abdul Rahman. Ini disebabkan, menurut orang Arab, keseronokan hubungan suami isteri itu, diistilahkan sebagai madu.

Timbul persoalan di sini, apabila bekas suami hendak merujuk semula kepada isteri yang sudah diceraikan dengan talak tiga, dengan berpakat dengan lelaki lain. Bekas suami berpakat dengan kawannya sebagai contoh, agar kawannya itu berkahwin dengan bekas isterinya dan selepas itu menceraikannya. Agar bekas suami itu dapat kembali semula berkahwin dengan bekas isterinya.

Nikah muhallil

Pakatan ini diistilahkan menurut perundangan Islam sebagai nikah muhallil. Dalam masyarakat kita ia dikenali sebagai ‘kahwin cina buta’. Perkataan muhallil daripada kata dasar ‘halal’, maksudnya bagi menghalalkan suami pertama berkahwin semula dengan bekas isteri yang sudah ditalak tiga.

Bagi sebahagian masyarakat kita, mereka mengatakan lelaki itu gila talak kerana sesudah menceraikan isterinya dengan talak tiga, lalu hendak kembali semula berkahwin dengan isterinya itu.

Adakah nikah seperti ini sah? Adakah ia sudah mencukupkan syarat bagi bekas suami berkahwin semula dengan bekas isterinya? Sebelum menjawab soalan-soalan ini, kita lihat apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW berkenaan nikah seperti ini.

Jabir dan Ali bin Abu Talib melaporkan, “Rasulullah melaknat suami baharu dan bekas suami dalam nikah muhallil.” Direkodkan oleh Imam Tirmizi. Laporan ini menjelaskan bahawa pakatan antara lelaki yang sanggup berkahwin dan bekas suami, adalah ditegah oleh Nabi SAW. Malahan baginda melaknat perbuatan tersebut.

Imam Ibnu Taimiyah menjelaskan sebab Nabi Muhammad SAW melaknat perbuatan tersebut, kerana ia mempermainkan hukum Allah SWT. Jika pakatan seperti itu dibenarkan, maka tidak ada erti Allah SWT meletakkan syarat yang tegas dalam ayat 230 surah al-Baqarah.

Malahan para suami akan menjadi lebih bebas untuk mempermudahkan persoalan talak tiga. Oleh sebab itu, menurut majoriti para pakar perundangan Islam, nikah muhallil atau kahwin cina buta adalah haram dan tidak sah.

Para pakar perundangan Islam membahagikan kes kahwin cina buta ini kepada beberapa keadaan:

1) Jika dinyatakan dalam majlis akad nikah syarat ‘suami baharu kena menceraikan isterinya itu bagi membenarkan wanita itu dapat berkahwin semula dengan bekas suaminya yang sudah menceraikannya dengan talak tiga’, maka pernikahan tersebut adalah tidak sah dan pihak yang terlibat berdosa.

2) Jika syarat tersebut dinyatakan sebelum majlis akad, lalu ketika akad nikah itu suami baharu berniat ‘selepas berkahwin nanti dia akan menceraikan isterinya itu agar dia boleh kembali semula berkahwin dengan bekas suami pertamanya’, maka para pakar berbeza pendapat.

Atau syarat tersebut tidak ditetapkan, tetapi suami baharu itu dengan rela hati berniat begitu. Para pakar bermazhab Maliki dan Hanbali menjelaskan, nikah tersebut tidak sah. Manakala menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Syafii, nikah tersebut sah, kerana syarat itu tidak dinyatakan dalam majlis akad. Hujah mereka, niat suami baharu itu tidak menjejaskan kesahan akad nikah itu dengan syarat segala rukun dan syarat nikah dipenuhi.

3) Jika isteri atau walinya yang berniat agar suami baharu menceraikan si isteri itu bagi dia dapat kembali kepada suami pertamanya, maka akad nikah tersebut sah. Ini disebabkan, dalam hadis yang dilaporkan oleh Jabir dan Ali bin Abu Talib, Nabi hanya melaknat suami baharu dan suami lama yang berpakat. Malahan niat isteri atau wali itu tidak mempunyai apa-apa kesan, kerana hak menceraikan adalah berada di tangan suami baharu.

Datuk Said Alwe Tahir al-Hadad; Mantan Mufti Negeri Johor (1936-1961) menjelaskan dalam fatwanya, “Perbuatan demikian itu bukan niat nikah yang sebenar tetapi semata-mata helah supaya dapat rujuk perempuan kepada suaminya yang pertama setelah dikahwinkan dengan orang muhallal dan mewatinya tetapi telah berkata orang-orang Mazhab Shafie yang demikian itu sekali pun haram tetapi sah dan boleh bagi suami yang pertama mengahwinkannya setelah cukup iddahnya, dan ada sebutan dalam hadis, Allah SWT melaknat muhallal (suami yang kedua yang berkahwin dengan isteri yang diceraikan dengan talak tiga supaya halal isteri itu kembali kepada suami yang pertama) dan muhallal lahu (suami yang pertama) dan sebutan dinamakan cina buta itu dengan kambing jantan pinjaman.”

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: