Puasa Hari Arafah ikut Arab Saudi atau Malaysia


AHMAD MOUHYIDEEN HASYIM

Rakyat Islam Malaysia perlu berpuasa sunat Hari Arafah pada hari Sabtu, 4 Oktober 2014 bersamaan 9 Zulhijjah 1435H walaupun hari Wukuf di Arab Saudi adalah pada hari Jumaat, 3 Oktober 2014. Begitu juga Hari Raya Aidil Adha perlu disambut di Malaysia pada hari Ahad, 5 Oktober 2014 bersamaan 10 Zulhijjah 1435H walaupun hari raya tersebut disambut di Arab Saudi pada hari Sabtu, 4 Oktober 2014.

Perbezaan ini adalah kerana Islam meraikan perbezaan tempat terbit matahari dan bulan (matla’) di setiap negara. Perbezaan tempat dan waktu terbit ini akan menatijahkan perbezaan waktu dan hari. Malaysia mempunyai tempat terbit matahari dan bulan yang berbeza dengan Arab Saudi. Jika tarikh di Malaysia sama dengan Arab Saudi sekali pun, perbezaan waktu tetap berlaku. Usaha untuk menyamakan hari puasa sunat Arafah dan Hari Raya Aidil Adha di seluruh dunia adalah umpama ingin menyamakan waktu solat di setiap negara.

Selain daripada itu, maksud puasa sunat Hari Arafah pula ialah pada tarikh 9 Zulhijjah, bukannya semata-mata kerana ibadat Wukuf di Arafah. Jika dilihat kepada takrifan yang diberikan oleh Ulamak di dalam kitab feqah dan syarahan hadis Rasulullah s.a.w. tentang Hari Arafah maka mereka mengatakan Hari Arafah itu ialah pada 9 Zulhijjah sebagaimana yang terdapat dalam kitab ‘Al-Kamus Al-Fiqhi’, ‘Mu’jam Lughah Al-Fuqaha’, ‘Al-Mughni libni Qudamah’ dan lain-lain lagi. Bahkan terdapat di sana riwayat yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w berpuasa pada 9 Zulhijjah. Ia tidak merujuk semata-mata kepada ibadat Wukuf di Arafah. Riwayat tersebut telah diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad dan An-Nasaie serta telah disahihkan oleh Syeikh Al-Albani.

Hujjah yang menyatakan bahawa zaman sekarang mempunyai teknologi yang canggih tidak sepatutnya membawa kepada perbezaan tarikh di antara negara-negara Islam adalah tidak dapat diterima. Ini kerana secanggih mana sekali pun teknologi yang ada, ia tidak boleh mengubah tempat atau waktu terbit matahari dan bulan yang berbeza mengikut negara dan sekali gus tidak boleh mengubah perbezaan hari dan waktu.

Perbezaan menunaikan ibadat puasa sunat Hari Arafah dan menyambut hari Raya Aidil Adha di setiap negara tidak bermakna umat Islam dilihat berpecah. Kedatangan Islam bukan untuk menyatukan semua perkara bahkan ia meraikan perbezaan dalam perkara cabang agama. Perkara yang tidak boleh berlakunya perbezaan ialah dalam perkara prinsip dan usul.

Umat Islam mesti bersatu dan tidak boleh berbeza pandangan dalam pensyariatan Hari Raya Aidil Adha dan puasa sunat Hari Arafah kerana ia adalah perkara prinsip dan usul. Walau bagaimanapun, hari dan waktu untuk menunaikan ibadat tersebut yang berbeza mengikut tempat atau waktu terbit matahari dan bulan adalah merupakan cabang agama yang mesti diraikan.

Perbezaan ini menyerlahkan keindahan Islam kerana ia bersifat anjal dalam perkara cabang dan tegas dalam perkara prinsip. Ia adalah sesuai di setiap tempat dan zaman.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: