Memahami konsep umum al-balwa


ISLAM merupakan agama rahmat kepada sekalian alam. Hukum-hakam yang ditetapkan dalam Islam adalah bertujuan untuk memenuhi kepentingan hidup manusia dan menjauhkan kemudaratan, termasuk menghilangkan kesulitan dan kesusahan. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (al-Haj: 78)

Berdasarkan ayat tersebut, para pakar perundangan Islam menggariskan satu kaedah perundangan iaitu “Apabila berlaku kesulitan, maka perlu diberikan kemudahan atau keringanan”. Antara konsep yang berkaitan dengan kaedah tersebut ialah Umum al-Balwa.

Kaedah umum al-balwa mempunyai peranan yang besar dalam proses mengeluarkan ijtihad. Ia merupakan salah satu justifikasi dalam menjelaskan sesuatu hukum syarak berkaitan isu semasa.

Kaedah ini sering digunakan oleh para ulama, sama ada dalam disiplin ilmu usul fikah atau fikah. Ia dibincangkan dalam kerangka rukhsah dan keringanan yang dibenarkan dalam hukum syarak. Kebanyakan aplikasi Kaedah Umum al-Balwa dalam kitab fikah dibincangkan berkaitan jenis-jenis najis yang dimaafkan. Ia biasanya dikaitkan dengan ciri sukar dikawal, sukar diasingkan, sukar dijauhi, kebanyakan orang mukallaf sukar mengelakkannya. Manakala illah (sebab) keringanan diberikan, sama ada berkaitan dengan kesulitan, kesusahan, kerumitan dan sebagainya (lihat: Ibnu Hazm, al-Muhalla, 1/221, 254; al-Sarakhsi, al-Mabsut, 1/60, 61, 79, 80; Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/21, 22, 23, 62; al-Nawawi, al-Majmu’, 3/134, 135; al-Dusuqi, Hasyiah al-Dusuqi, 1/71, 73, 75).

Begitu pun, dalam bahagian fikah yang lain juga dibincangkan Kaedah Umum al-Balwa (al-Suyuti, al-Ashbah wa al-naza’ir, 164-167). Kaedah umum al-balwa sangat berkait rapat dengan perkembangan semasa pada sesuatu zaman dan tempat. Kepentingan memahami konsep umum al-balwa dan aplikasinya dalam kehidupan seharian menjadi semakin penting dalam dunia sains dan teknologi serba canggih dewasa ini.

Oleh itu, kaedah ini perlu difahami dengan sebaiknya, kerana perubahan hukum sesuatu boleh berlaku kesan daripada wujudnya umum al-balwa.

Menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, umum al-balwa bermaksud, “Berleluasanya sesuatu sehingga seseorang itu sukar untuk menyelamatkan diri daripadanya atau menjauhinya.” (rujuk Nazariyah al-darurah al-Syar’iyah, 123).

Dr. ‘Amir al-Zibari turut mengemukakan definisi yang sama (rujuk al-Tahrir fi qa’idah al-masyaqqah tajlib al-taysir, 82). Manakala menurut Salih Yusuf, umum al-balwa bermaksud, “Apa-apa yang diperlukan pada keadaan yang umum, di mana berlakunya perkara tersebut sehingga sukar untuk dielakkan serta susah untuk dikawal dan jika dihalang ia akan menimbulkan kesulitan yang lebih.” (rujuk al-Masyaqqah tajlib al-taysir, 232).

Dr. Salih bin ‘Abd Allah bin Humayd menjelaskan, “Umum al-balwa itu merujuk kepada dua ciri:

1) Keperluan untuk sesuatu itu diberikan keringanan dalam keadaan umum, iaitu sukar untuk mengelakkannya dan jika tidak diberi keringanan akan menimbulkan kesulitan yang lebih besar.

2) Sesuatu itu sudah tersebar, iaitu seseorang mukallaf sukar untuk mengelakkan diri daripadanya, atau menghilangkannya serta jika tidak diberi keringanan akan menimbulkan kesulitan yang lebih besar.

Bagi ciri pertama, keringanan perlu diberikan kerana untuk memenuhi keperluan orang mukallaf dan bagi ciri kedua, keringanan perlu diberikan kerana ia sukar untuk dihilangkan.” (rujuk Raf’ al-haraj, 262).

Menurut Muslim bin Muhammad bin Majid al-Dusari, Umum al-Balwa bermaksud, “Isu yang berlaku secara menyeluruh ke atas orang mukallaf atau keadaan orang mukallaf yang berkaitan dengan pertanggungjawaban tertentu berkenaan isu tersebut serta wujud kesukaran menghindarinya atau tidak mampu menghilangkannya melainkan dengan bertambah kesulitan yang memerlukan kemudahan dan keringanan.” (Umum al-balwa: Dirasah nazariyah tatbiqiyah, 61)

Contoh

berubah hukum

1) Air liur kucing hukum asalnya ia adalah najis kerana kucing berkemungkinan makan benda najis. Namun, atas dasar umum al-balwa, iaitu kucing adalah binatang peliharaan yang hidup di persekitaran hidup manusia, jika dihukumkan bekas jilatan kucing pada bekas air adalah najis, maka ia akan menimbulkan kesulitan kepada hidup masyarakat.

Maka hukum air daripada bekas jilatan kucing tidak menjadi najis (al-Suyuti, al-Ashbah wa al-naza’ir, 164)

2) Hukum asal menerima upah daripada amal soleh adalah haram. Contohnya, haram guru yang mengajar al-Quran daripada menerima gaji, juga gaji imam, bilal dan sebagainya. Namun atas alasan umum al-balwa, iaitu jika hukum itu kekal ia akan menjadikan tugas tersebut diabaikan serta guru al-Quran, imam, bilal dan seumpamanya akan terjejas keperluan hidup mereka, maka berubah hukum kepada harus menerima upah atau gaji (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 8/136)

3) Isu wanita menjadi orang gaji di rumah. Menurut hukum asal, seorang wanita diharamkan keluar rumah melainkan ditemani oleh mahramnya. Begitu juga seorang wanita diharamkan tinggal di rumah yang tiada mahramnya. Namun, pada zaman kini, atas dasar umum al-balwa, maka diharuskan seorang wanita menjadi orang gaji di rumah orang lain tanpa ditemani oleh mahramnya, dengan syarat terhindar daripada fitnah (al-Dusari, Umum al-balwa: Dirasah nazariyah tatbiqiyah, 446)

Islam telah menetapkan satu dasar hukum yang mudah untuk diamalkan sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ 4:28 yang bermaksud: Allah hendak memberikan keringanan kepada kamu kerana manusia dijadikan bersifat lemah.

Ayat ini menjelaskan bahawa dengan setiap perkara yang diwajibkan atau diperintahkan Allah, ia turun dengan kelonggaran sesuai dengan keupayaan seseorang individu itu, sehingga apabila munculnya masyaqqah (kesulitan) dalam menjalankan syariat, Allah SWT memberi keringanan bagi perkara yang diperintahkan tadi.

Kemunculan masyaqqah dalam melaksanakan tuntutan agama, maka agama sendiri memberi rukhsah iaitu jalan keluar daripada kesulitan tersebut. Maka diizinkan berbuka puasa bagi mereka yang uzur, begitu juga dibenarkan memakan benda yang haram ketika darurat.

Fenomena ini menunjukkan bahawa al-Quran sendiri mengakui kesukaran dan kesempitan yang bakal dialami oleh umat Islam dalam menegakkan syariat Islam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: