Kedudukan zakat kanak-kanak


Saya masih keliru status zakat ke atas kanak-kanak. Bukankah ada hadis yang menyatakan, diangkat dosa ke atas kanak-kanak dan orang gila, yakni mereka tidak dikira berdosa andai meninggalkan ibadah yang wajib atau melakukan sesuatu perbuatan yang salah? Namun, ada pandangan yang menegaskan, kanak-kanak juga masih wajib mengeluarkan zakat. Mohon pencerahan, terima kasih.

Jawapan:

Semoga Allah SWT mempermudahkan saya dalam menyajikan jawapan ke atas persoalan yang telah saudara kemukakan ini. Sesungguhnya memang tidak dinafikan bahawa, kedudukan anak-anak kecil dan orang yang tidak siuman, tidak dibebankan dalam kewajipan agama. Dalam istilah fikah, tiada taklif ke atas mereka atau mereka bukanlah golongan mukallaf iaitu golongan yang dibebankan dengan tanggungjawab agama.

Sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ali r.a ada menyebutkan: “Diangkat kalam (tidak dikira berdosa) tiga golongan manusia, (iaitu) orang yang gila hingga dia sembuh daripada gilanya (menjadi siuman), orang yang tidur hingga dia terjaga (bangun daripada tidurnya), dan kanak-kanak hingga bermimpi (baligh).” (riwayat Ahmad dan Abu Daud dan at-Tirmizi)

Inilah yang menjadi dalil betapa kanak-kanak, dianggap tidak berdosa jika tidak melakukan sesuatu amal yang umumnya difardukan ke atas semua kaum muslimin. Begitu jugalah kepada orang yang gila dan orang yang terlupa dek kerana dia tertidur.

Walau bagaimanapun, hasil daripada penelitian penulis kepada pandangan para ulama, maka isu zakat ke atas kanak-kanak termasuklah orang yang sudah tidak siuman, maka ia mempunyai perbincangan yang cukup panjang. Hal ini misalnya boleh dirujuk di dalam kitab Hukum Zakat oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawy, iaitu dalam bab, ‘Siapakah yang wajib berzakat’, pada halaman 106 hingga 120.

Umumnya, disebutkan di dalam kitab berkenaan bahawa para fuqaha terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama menyatakan, kekayaan atau sebahagian kekayaan kanak-kanak tidak wajib dizakatkan. Pandangan ini antaranya dikemukakan di dalam kitab al-Amwal oleh Abu Ubaid yang dipetik daripada Ja’far Baqir dan Sya’bi, begitu juga oleh Ibnu Hazm daripada Nakhai dan Syarih.

Golongan kedua pula menyatakan, kekayaan mereka (kanak-kanak dan orang gila) wajib dizakatkan. Pandangan ini dikeluarkan pula oleh Atha’, Jabir bin Zaid, Thawus, Mujahid, Zuhri (dari kalangan tabi’in). Ulama generasi terkemudian yang menyokongnya ialah Rabi’ah, Malik, Syafie, Ahmad, Ishaq, Hassan, Salleh, Ibnu Abi Laila, Ibnu Uiyainah, Abu Ubaid, Tsaur dan ramai lagi.

Tidak sukar untuk kita fahami, alasan golongan pertama tidak mewajibkan zakat ke atas kanak-kanak dan orang gila, lantaran memang sudah jelas ia disebutkan di dalam hadis akan status mereka di sisi agama, yakni tidak berdosa. Maka, pastilah tiada kewajipannya ke atas mereka.

Pandangan berbeza

Sementara itu, bagi kalangan kedua mereka melihat daripada aspek yang berbeza terhadap ketentuan hadis berkenaan kepada orang-orang gila dan juga kanak-kanak yang masih di bawah usia baligh. Sudut pandang yang berbeza inilah yang melahirkan hukum yang berbeza. Namun, dalam diskusi ini kita hanya akan melihat kepada hujah-hujah yang telah dikemukakan oleh para fuqaha dalam menjustifikasi kewajipan berkenaan kepada anak-anak dan orang gila.

Hujah pertama, kerana di dalam Islam terdapat begitu banyak dalil naqli mengenai keumuman mengambil zakat daripada harta kekayaan umat Islam, tanpa ditetapkan kedudukan orang berkenaan, kanak-kanak atau orang gila. Ambil sahaja surah at-Taubah ayat 103: Ambillah sebahagian daripada harta kekayaan mereka (semua umat Islam) sebagai sedekah (zakat). Bukankah ayat ini bersifat umum, tidak ada limitasi di dalamnya, yakni ia meliputi orang dewasa dan anak-anak dan orang gila.

Hujah kedua, terdapat beberapa hadis yang jelas menyentuh zakat ke atas harta kekayaan yang dimiliki oleh kanak-kanak. Misalnya Imam as-Syafie sendiri ada meriwayatkan sebuah hadis: “Terimalah oleh kalian zakat kekayaan anak-anak yatim.” (riwayat Yusuf bin Mahak dan dianggap mursal).

Hadis di atas disokong lagi oleh sebuah hadis lain, iaitu: “Perniagakanlah harta kekayaan anak-anak yatim, agar ia tidak menjadi habis dimakan oleh zakat.” (riwayat Imam Tabrani daripada Anas bin Malik dan turut diriwayatkan oleh Imam Tirmizi daripada Amru bin Syuaib, juga oleh Imam Baihaqi daripada Umar al-Khattab r.a dengan penggunaan kalimah sedekah.)

Fuqaha menjelaskan, maksud hadis di atas sangat jelas iaitu para penjaga anak-anak yatim tidak wajar hanya mengeluarkan zakat ke atas harta anak-anak yatim yang dipelihara oleh mereka, tanpa dikembangkannya dengan cara dilaburkan, sehingga akhirnya harta mereka habis dimakan zakat yang dikeluarkan saban tahun. Ertinya, para penjaga anak-anak yatim perlu menzakatkan harta anak-anak yatim yang dijaga oleh mereka.

Seperkara lagi yang wajar difahami, status anak-anak yatim di sisi Islam ialah mereka yang kematian ibu atau bapa dan usia mereka mestilah di bawah akil baligh, yakni belum cukup usia mukallaf. Jika usia sudah mencapai akil baligh, maka mereka sendirilah yang menguruskan harta kekayaan mereka.

Hujah ketiga, para fuqaha daripada kalangan tabi’it tabi’en seperti Abu Ubaid, Baihaqi dan Ibnu Hazm melaporkan bahawa, dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW yang terkemuka turut menunaikan zakat ke atas kekayaan kanak-kanak. Inilah yang dilakukan oleh Umar, Ali, Abdullah bin Umar, Aisyah dan Jabir bin Abdullah r.a.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: