Hukum berjihad memerangi musuh Islam


A. Jihad menyerang

Jihad perang terbahagi kepada dua:Iaitu menyerang musuh Islam dan memerangi mereka di negara mereka demi menegakkan kalimah ALLAH SWT dan agar agama semua menjadi milik ALLAH dengan syarat dakwah telah disampaikan kepada mereka.

Jihad ini hukumnya fardu kifayah. Sekiranya bilangan yang mencukupi sudah melaksanakannya maka kewajipan dan dosa akan tergugur daripada yang lain.

Firman ALLAH: “Dan tidaklah (betul dan elok untuk) orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap puak di antara mereka, supaya orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berperang) apabila orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan ALLAH.” (Surah At-Taubah: 122)
Syarat jihad menyerang

1. Islam. Ini kerana jihad menyerang bertujuan memerangi musuh Islam yang terdiri daripada kalangan orang kafir. Masakan orang kafir boleh dipercayai untuk berperang dengan orang kafir yang lain.

Sabda Nabi Muhammad SAW ketika Baginda SAW menolak tawaran seorang kafir yang ingin membantu tentera Islam dalam Peperangan Badar: “Pulanglah, sesungguhnya aku tidak akan menggunakan bantuan orang musyrik.” (Riwayat Muslim)

2. Berakal. Orang gila tidak boleh turut serta dalam jihad.

3. Baligh. Sebagaimana yang berlaku kepada Ibnu Omar RA ketika dia menawarkan dirinya untuk menyertai Perang Uhud sedang umurnya 14 tahun tetapi tidak diizinkan oleh Nabi Muhammad SAW. Beliau menawarkan dirinya untuk menyertai Perang Khandak ketika umurnya lima belas tahun lalu diizinkan oleh Nabi Muhammad SAW. (Riwayat Bukhari & Muslim)

4. Lelaki. Adapun wanita, bagi mereka sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: “Buat mereka jihad yang tiada perang dalamnya; Haji dan Umrah.” (Riwayat Ahmad, sahih)

Golongan wanita boleh turut serta dalam panji tentera Islam untuk memberikan bantuan umum. Sebagaimana yang dinyatakan oleh sahabat perempuan Rasulullah SAW,  Al-Rubayyi’ RA: “Kami berperang bersama Nabi SAW, maka kami memberi minum dan memberi bantuan kepada mereka.” (Riwayat Bukhari)

5. Merdeka. Adapun hamba, khidmatnya adalah untuk tuannya.

6. Selamat daripada cacat anggota tubuh badan yang boleh menghalang jihad. Seperti buta, tempang yang melampau dan kesakitan yang amat sangat  menghalangnya daripada berperang.

Firman ALLAH: “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya).” (Surah Al-Fath: 17)

7. Kemampuan menyediakan persediaan kelengkapan jihad. Bekalan kelengkapan seperti makanan, kenderaan dan nafkah keluarga perlu disediakan oleh setiap anggota tentera yang ingin berperang jika ia tidak dibekalkan oleh kerajaan pemerintah.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan orang yang tidak mempunyai apa-apa untuk dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang).” (Surah At-Taubah: 91)

Begitu juga kemampuan dari sudut kelengkapan persenjataan perang dan juga bilangan anggota tentera yang menjadi syarat dalam jihad menyerang.

Hal ini sebagaimana dalam firman ALLAH: “Jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang.” (Surah An-Anfaal: 66)

B: Jihad pertahanan

Iaitu jihad mempertahankan negara Islam yang diserang oleh musuh. Hukumnya adalah fardu ain atas setiap seorang penduduk negara itu yang mampu berperang.

Sekiranya penduduk negara itu tidak mampu atau jumlah serta senjata mereka tidak memadai, maka menjadi kewajipan negara Islam jiran yang berkemampuan berperang untuk datang membantu.

Syarat jihad pertahanan

Ulama menjelaskan syarat yang ditetapkan dalam jihad menyerang tergugur dalam jihad pertahanan.

Mereka berdalilkan peristiwa di mana Salamah bin Al-Akwa’ RA bertindak bersendirian berdepan dengan golongan musuh yang datang menyerang sehingga beliau dipuji Nabi Muhammad SAW dengan sabdanya: “Sebaik-baik tentera pejalan kaki kita adalah Salamah.” (Riwayat Muslim)

Kisah Salamah bin Al-Akwa’ RA ini menunjukkan dalam jihad pertahanan tidak perlu kepada izin pemerintah. Begitu juga dengan kemampuan persenjataan dan bilangan ketenteraan kerana Salamah RA bersendirian tatkala berdepan dengan pasukan musuh.

Berkata Ibnu Al-Qayyim RHM (wafat 751H): “Maka jihad pertahanan lebih luas daripada jihad menyerang dan lebih umum daripada sudut kewajipannya. Kerana itu ia wajib atas setiap individu… Sebagaimana dalam Perang Uhud dan Khandaq.

Maka tidak disyaratkan dalam jihad ini bilangan musuh hendaklah dua kali ganda atau kurang kerana mereka dalam Peperangan Uhud dan Khandaq berkali-kali ganda bilangan orang Islam. Jihad ketika itu wajib atas mereka kerana ia adalah jihad darurat dan (Jihad) pertahanan dan bukan jihad pilihan (jihad menyerang).” (Surah Al-Furusiyyah: 96)

Bagaimanapun, harus diingat tergugurnya syarat jihad menyerang dalam jihad pertahanan tidak bererti tergugurnya syarat kemampuan sama sekali. Kemampuan tetap menjadi syarat dalam jihad pertahanan sebagaimana ia menjadi syarat dalam semua jenis ibadah.

Sebagaimana kewajipan puasa, zakat dan haji akan tergugur jika sekiranya tidak ada kemampuan maka begitu jugalah Jihad Pertahanan. Kewajipannya akan tergugur jika seseorang atau sesebuah negara itu tidak ada kemampuan.

Hukum jihad atas individu

Terdapat empat keadaan di mana jihad perang menjadi fardu ain atas seseorang individu iaitu:

1. Sekiranya musuh menyerang sesebuah negara Islam maka menjadi kewajipan fardu ain atas setiap seorang penduduk negara itu untuk mempertahankan negara mereka daripada musuh.

2. Tatkala berhadapan dengan musuh di medan pertempuran maka dilarang berpaling. Firman ALLAH: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling berundur daripada menentang mereka.” (Surah An-Anfaal: 15)

3. Sekiranya seseorang individu itu diperintahkan untuk turut serta berperang oleh pemerintah negara. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Dan sekiranya kamu diperintahkan berperang maka berperanglah” (Riwayat Bukhari & Muslim)

4. Sekiranya dia diperlukan oleh pemerintah di medan perang kerana kepakarannya atau kerana sebab yang lain.

# Bersambung bahagian 3:
Ketetapan jihad
USTAZ IDRIS SULAIMAN

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: