Archive for Ogos 2014

Hukum berjihad memerangi musuh Islam

A. Jihad menyerang

Jihad perang terbahagi kepada dua:Iaitu menyerang musuh Islam dan memerangi mereka di negara mereka demi menegakkan kalimah ALLAH SWT dan agar agama semua menjadi milik ALLAH dengan syarat dakwah telah disampaikan kepada mereka.

Jihad ini hukumnya fardu kifayah. Sekiranya bilangan yang mencukupi sudah melaksanakannya maka kewajipan dan dosa akan tergugur daripada yang lain.

Firman ALLAH: “Dan tidaklah (betul dan elok untuk) orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap puak di antara mereka, supaya orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berperang) apabila orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan ALLAH.” (Surah At-Taubah: 122)
Syarat jihad menyerang

1. Islam. Ini kerana jihad menyerang bertujuan memerangi musuh Islam yang terdiri daripada kalangan orang kafir. Masakan orang kafir boleh dipercayai untuk berperang dengan orang kafir yang lain.

Sabda Nabi Muhammad SAW ketika Baginda SAW menolak tawaran seorang kafir yang ingin membantu tentera Islam dalam Peperangan Badar: “Pulanglah, sesungguhnya aku tidak akan menggunakan bantuan orang musyrik.” (Riwayat Muslim)

2. Berakal. Orang gila tidak boleh turut serta dalam jihad.

3. Baligh. Sebagaimana yang berlaku kepada Ibnu Omar RA ketika dia menawarkan dirinya untuk menyertai Perang Uhud sedang umurnya 14 tahun tetapi tidak diizinkan oleh Nabi Muhammad SAW. Beliau menawarkan dirinya untuk menyertai Perang Khandak ketika umurnya lima belas tahun lalu diizinkan oleh Nabi Muhammad SAW. (Riwayat Bukhari & Muslim)

4. Lelaki. Adapun wanita, bagi mereka sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: “Buat mereka jihad yang tiada perang dalamnya; Haji dan Umrah.” (Riwayat Ahmad, sahih)

Golongan wanita boleh turut serta dalam panji tentera Islam untuk memberikan bantuan umum. Sebagaimana yang dinyatakan oleh sahabat perempuan Rasulullah SAW,  Al-Rubayyi’ RA: “Kami berperang bersama Nabi SAW, maka kami memberi minum dan memberi bantuan kepada mereka.” (Riwayat Bukhari)

5. Merdeka. Adapun hamba, khidmatnya adalah untuk tuannya.

6. Selamat daripada cacat anggota tubuh badan yang boleh menghalang jihad. Seperti buta, tempang yang melampau dan kesakitan yang amat sangat  menghalangnya daripada berperang.

Firman ALLAH: “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya).” (Surah Al-Fath: 17)

7. Kemampuan menyediakan persediaan kelengkapan jihad. Bekalan kelengkapan seperti makanan, kenderaan dan nafkah keluarga perlu disediakan oleh setiap anggota tentera yang ingin berperang jika ia tidak dibekalkan oleh kerajaan pemerintah.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan orang yang tidak mempunyai apa-apa untuk dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang).” (Surah At-Taubah: 91)

Begitu juga kemampuan dari sudut kelengkapan persenjataan perang dan juga bilangan anggota tentera yang menjadi syarat dalam jihad menyerang.

Hal ini sebagaimana dalam firman ALLAH: “Jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang.” (Surah An-Anfaal: 66)

B: Jihad pertahanan

Iaitu jihad mempertahankan negara Islam yang diserang oleh musuh. Hukumnya adalah fardu ain atas setiap seorang penduduk negara itu yang mampu berperang.

Sekiranya penduduk negara itu tidak mampu atau jumlah serta senjata mereka tidak memadai, maka menjadi kewajipan negara Islam jiran yang berkemampuan berperang untuk datang membantu.

Syarat jihad pertahanan

Ulama menjelaskan syarat yang ditetapkan dalam jihad menyerang tergugur dalam jihad pertahanan.

Mereka berdalilkan peristiwa di mana Salamah bin Al-Akwa’ RA bertindak bersendirian berdepan dengan golongan musuh yang datang menyerang sehingga beliau dipuji Nabi Muhammad SAW dengan sabdanya: “Sebaik-baik tentera pejalan kaki kita adalah Salamah.” (Riwayat Muslim)

Kisah Salamah bin Al-Akwa’ RA ini menunjukkan dalam jihad pertahanan tidak perlu kepada izin pemerintah. Begitu juga dengan kemampuan persenjataan dan bilangan ketenteraan kerana Salamah RA bersendirian tatkala berdepan dengan pasukan musuh.

Berkata Ibnu Al-Qayyim RHM (wafat 751H): “Maka jihad pertahanan lebih luas daripada jihad menyerang dan lebih umum daripada sudut kewajipannya. Kerana itu ia wajib atas setiap individu… Sebagaimana dalam Perang Uhud dan Khandaq.

Maka tidak disyaratkan dalam jihad ini bilangan musuh hendaklah dua kali ganda atau kurang kerana mereka dalam Peperangan Uhud dan Khandaq berkali-kali ganda bilangan orang Islam. Jihad ketika itu wajib atas mereka kerana ia adalah jihad darurat dan (Jihad) pertahanan dan bukan jihad pilihan (jihad menyerang).” (Surah Al-Furusiyyah: 96)

Bagaimanapun, harus diingat tergugurnya syarat jihad menyerang dalam jihad pertahanan tidak bererti tergugurnya syarat kemampuan sama sekali. Kemampuan tetap menjadi syarat dalam jihad pertahanan sebagaimana ia menjadi syarat dalam semua jenis ibadah.

Sebagaimana kewajipan puasa, zakat dan haji akan tergugur jika sekiranya tidak ada kemampuan maka begitu jugalah Jihad Pertahanan. Kewajipannya akan tergugur jika seseorang atau sesebuah negara itu tidak ada kemampuan.

Hukum jihad atas individu

Terdapat empat keadaan di mana jihad perang menjadi fardu ain atas seseorang individu iaitu:

1. Sekiranya musuh menyerang sesebuah negara Islam maka menjadi kewajipan fardu ain atas setiap seorang penduduk negara itu untuk mempertahankan negara mereka daripada musuh.

2. Tatkala berhadapan dengan musuh di medan pertempuran maka dilarang berpaling. Firman ALLAH: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling berundur daripada menentang mereka.” (Surah An-Anfaal: 15)

3. Sekiranya seseorang individu itu diperintahkan untuk turut serta berperang oleh pemerintah negara. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Dan sekiranya kamu diperintahkan berperang maka berperanglah” (Riwayat Bukhari & Muslim)

4. Sekiranya dia diperlukan oleh pemerintah di medan perang kerana kepakarannya atau kerana sebab yang lain.

# Bersambung bahagian 3:
Ketetapan jihad
USTAZ IDRIS SULAIMAN

Fahaman Murjiah

MURJI’AH berasal daripada kata Arab, iaitu arja’a, yarji’u, yang bererti “menunda atau menangguhkan”. Erti lain ialah “memberikan harapan” kerana murji’ah dikenal sebagai aliran teknologi yang memberikan harapan besar kepada orang mukmin yang melakukan dosa besar untuk tetap dianggap sebagai seorang mukmin yang baik di sisi Allah SWT.

Murji’ah lahir sebagai satu aliran dalam ilmu kalam (teologi Islam). Pada awalnya, murji’ah merujuk kepada segolongan sahabat Nabi Muhammad SAW, seperti Abdullah bin Umar, Sa’ad bin Abi Waqqas dan Imran bin Husin yang tidak mahu melibatkan diri dalam pertentangan politik antara Uthman bin Affan (khalifah ke-3) dengan Ali bin Abu Talib (khalifah ke-4).

Pelaku dosa besar

Persoalan yang menggerakkan murji’ah untuk menjadi golongan teologi tersendiri ada kaitan dengan penilaian mereka terhadap pelaku dosa besar.

Menurut penganut fahaman murji’ah, manusia tidak berhak dan tidak berkuasa untuk menghakimi seseorang mukmin yang melakukan dosa besar, sama ada mereka akan masuk neraka atau masuk syurga.

Masalah ini diserahkan kepada keadilan Tuhan kelak, iaitu hingga tiba hari pembalasan.

Mukmin

Fahaman kaum murji’ah tentang dosa besar mempunyai kesan terhadap keimanan seseorang. Menurut golongan murji’ah, orang beriman yang melakukan dosa besar tetap disebut sebagai orang mukmin dan perbuatan itu tidak mempengaruhi keimanannya.

Alasannya, keimanan merupakan keyakinan hati seseorang dan tidak berkaitan dengan perkataan atau perbuatannya. Selagi orang itu masih beriman di dalam hatinya, walau apa pun perbuatan atau perkataannya, ia tetap disebut sebagai seorang mukmin, bukan kafir.

Perang Siffin

Perang saudara antara pasukan Ali dengan Muawiyah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam pada peringkat awal. Muncul pandangan yang berbeza tentang peperangan tersebut.

Dua pandangan yang melampau datang daripada kaum Khawarij dan Syiah. Menurut Khawarij, mereka yang terlibat dalam perang itu (Ali dan Muawiyah, juga Amr bin al-‘As dan Abu Musa al-Asy’ari) melakukan dosa besar yang menyebabkan mereka kafir atau keluar daripada Islam.

Oleh itu, mereka boleh terbunuh/dibunuh. Kaum Syiah berpandangan bahawa Ali benar dan Muawiyah sesat.

Selain kedua-dua pandangan yang melampau itu, muncullah fahaman Murji’ah. Mereka tidak berpihak kepada Ali atau Muawiyah dan tidak menilai keterlibatan mereka dalam peperangan itu tetapi menyerahkannya kepada Allah SWT untuk diadili di akhirat kelak.

Jahm bin Safwan

Sebahagian daripada kaum murji’ah berpandangan bahawa orang yang telah beriman, meskipun kemudian menyembah berhala, tetap tidak boleh disebut sebagai kafir.

Menurut mereka, iman terletak di hati dan tidak bertambah atau berkurang kerana perbuatan. Fahaman melampau ini hanya diikuti oleh sebahagian kaum murji’ah, sementara sebahagian yang lain berpegang pada pemikiran yang lebih sederhana.

Tokoh pelampau murji’ah antaranya termasuklah Jahm bin Safwan, Ubaid al-Maktaib dan Muhammad bin Karram. Para pengikut mereka disebut sebagai al-Jahmiah, al-Ubaidiyah dan al-Karamuyah.

Abu Yusuf

Golongan sederhana murji’ah berpandangan bahawa dosa besar seorang mukmin tidak menyebabkan orang itu kafir atau keluar daripada Islam. Namun, orang itu kelak akan menjalani hukuman atau seksaan neraka, sesuai dengan dosa mereka.

Nama seperti Abu Yusuf (731-798; ulama Hanafi), Hasan bin Muhammad bin Ali bin Abu Talib, malah Imam Abu Hanifah (699-767) disebut-sebut sebagai tokoh murji’ah sederhana.

Solat menghormati waktu

 

ALHAMDULILLAH pada ruangan kali ini, saya merasa terpanggil untuk membincangkan isu solat menghormati waktu, terutamanya ketika kita bermusafir menuju ke tanah suci Mekah. Ini adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.

Solat ini wajib di qada semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam musafir.

Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.

Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.

Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.

Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat tayamum.

Pendapat ulama

Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 Hijrah) menyatakan bahawa ada empat pendapat daripada Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.

Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).

Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: “Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Bar daripada sebilangan fuqaha.”

Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia pendapat yang paling kuat dalil dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”

Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan ‘solat’ sebanyak tiga kali.” (riwayat Ibnu Hibban)

Menebus dosa

Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa. (riwayat al-Bukhari)

Hadis seterusnya, Uthman r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut. (riwayat Muslim)

Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.

Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.” (riwayat Imam Ahmad)

Semoga dengan pencerahan ini, walau apa jua keadaan sekalipun solat hendaklah diutamakan kerana ia membawa kepada kejayaan dan kemenangan.

Semoga para jemaah mendapat haji yang mabrur

Memahami asnaf fisabilillah

Oleh Us Hamizu Ab Hamid

 

BOLEHKAH ustaz perjelaskan mengenai asnaf fisabilillah dalam konteks semasa hari ini, agar ia dapat lebih difahami oleh umat Islam?

Jawapan:

Surah At-taubah ayat 60 adalah ayat yang paling jelas menyebut asnaf fisabilillah sebagai satu daripada asnaf zakat. Banyak lagi ayat lain yang menyentuh mengenai fisabilillah ini, contohnya di dalam surah as-saff, ayat 10-11 telah menunjukkan bahawa fisabilillah adalah satu perkara yang penting dalam konsep menginfakkan harta.

Pada zaman Nabi SAW dan zaman sahabat, definisi fisabililliah ini lebih terarah dalam kategori membela agama Allah SWT dengan cara berperang. Sebab itu ada ayat al-Quran yang mana Allah menyebut orang yang sibuk berjuang dalam perjuangan fisabilillah ini sehingga mereka jatuh fakir tapi mereka segan untuk memohon bantuan dan kita mengenali mereka dengan melihat keadaan mereka, maka itulah golongan yang paling layak untuk mendapat bantuan zakat. (rujuk al-Baqarah: 273)

Zaman berubah, kini fisabilillah lebih meluas definisinya dan ia bersangkut paut dengan usaha untuk membela agama Allah dengan apa cara sekalipun. Justeru, apa sahaja pekerjaan atau usaha untuk membela agama Allah, misalnya mengembangkan agama Allah, mempertahankan agama Allah, mempromosikan syariat dan syiar Islam dan membela nasib umat Islam itu juga dikategorikan sebagai fisabilillah.

Maka, mengikut perbincangan ulama, jika seseorang itu mewakafkan dirinya kepada bidang ilmu maka dia layak dibantu dengan dana asnaf fisabilillah sebab dia tidak sempat untuk mencari rezeki. Atas sebab itulah, mereka dibantu. Namun, mungkin ada orang terfikir, kenapakah institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) menaja ramai pelajar dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sebagainya lagi dengan dana zakat. Kenapa tidak difokuskan hanya kepada para penuntut aliran agama?

Jawapannya mudah, dana zakat atas nama fisabilillah ini perlu dimanfaatkan demi maslahah ammah jangka panjang. LZS perlu menaja pelajar dalam pelbagai bidang, kerana bidang-bidang ini adalah perlu kepada umat Islam. Contohnya bidang perubatan dapat melahirkan ramai doktor perubatan Muslim.

Bidang ini adalah suatu keperluan, bahkan boleh menjadi fardu kifayah. Maka, atas dasar itulah zakat dimanfaatkan di sini, dengan matlamat akhir mereka yang ditaja ini kelak dapat berperanan meninggikan agama Islam dan memberi faedah kepada umat Islam.

Persoalan lain yang timbul, kenapakah berlakunya pengembangan dalam memahami skop asnaf fisabilillah ini? Yakni, kenapa berbeza zaman dahulu dan hari ini? Oleh itu, apa yang perlu difahami, corak kehidupan pada hari ini adalah berbeza dengan zaman dahulu, khususnya sewaktu khilafah Islamiyyah masih berfungsi. Ini kerana, pada zaman pemerintah Islam dahulu, fokus dalam mengembangkan Islam ke seluruh pelosok dunia adalah terletak di bahu pemerintah.

Maka, pemerintah Islam akan menggunakan dana Baitulmal (yang zakat termasuk di dalamnya), bukan sekadar menyantuni keperluan individu, bahkan untuk melestarikan Islam menerusi pengembangan ilmu dan juga perluasan wilayah. Sebab itulah, pada waktu itu fokus fisabilillah lebih kepada peperangan