Tentang Israel melalui ekonomi


Dr Asyraf  Wajdi

 

 

KRISIS kemanusiaan yang melanda bumi Palestin ketika ini benar-benar merentap perasaan penulis. Apatah lagi setiap hari ada sahaja gambar-gambar baharu menyayat hati memaparkan kematian dan kecederaan parah anak-anak kecil, orang tua, wanita dan manusia tidak berdosa dek kerakusan peluru berpandu Israel yang berterusan mengebom bumi Palestin.

Lebih menghampakan Israel yang dikelilingi negara-negara besar Arab seolah-olah bebas untuk melakukan apa sahaja ke atas rakyat Palestin tanpa rasa bersalah. Umat Islam yang jauh lebih ramai berbanding Israel juga seolah-olah hanya mampu berdoa dari jauh tanpa berbuat apa-apa yang lebih bermakna.

Mungkin sudah tiba masanya umat Islam bangkit daripada tidur dan keselesaan untuk membela saudara kita di Palestin. Kalaupun tidak mampu membantu melalui persenjataan mahupun ketenteraan, mungkin strategi serangan ekonomi sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Raja Arab Saudi iaitu Raja Faisal bin Abdel Aziz al-Saud lebih 40 tahun dahulu dapat dijadikan sandaran.

Dunia pasti mengingati peristiwa bersejarah pada 17 Oktober 1973 apabila buat pertama kalinya selepas kejatuhan Empayar Islam terakhir, negara-negara Islam Arab bersatu. Arab Saudi di bawah pimpinan Raja Faisal selaku pengeluar minyak terbesar bersama anggota Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) telah membuat keputusan penting menghentikan pengeluaran minyak dan penghantarannya ke Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah.

Keputusan itu dicapai setelah negara-negara tersebut jelas bersekongkol dengan Israel yang ketika itu sedang berkonflik dengan Syria dan Mesir. Natijahnya, dunia mengalami krisis tenaga dan minyak paling serius dalam sejarah abad ke-20 sehingga mencetuskan kegawatan ekonomi yang cukup getir. Bursa Saham New York (NYSE) umpamanya mengalami kerugian sebanyak $97 bilion dalam masa enam minggu.

Kegawatan itu akhirnya memaksa beberapa negara Barat termasuk Britain dan Amerika Syarikat akur menghentikan sokongan terbuka kepada Israel. Malah Perdana Menteri Britain Ted Heath yang menggantikan kerajaan pimpinan Harold Wilson telah mengubah dasar pro-Israelnya dengan mengeluarkan kenyataan keras agar Israel berundur.

Bagi yang masih mengingati sejarah ini pasti menyimpan suatu pengharapan apakah sejarah solidariti umat Islam ini akan berulang? Bersediakah negara-negara Islam kembali bersatu dalam berhadapan dengan sekian banyak tragedi penindasan yang dideritai umat Islam di pelbagai rantau dunia ketika ini?

Hakikatnya krisis Palestin bukan sekadar pertembungan antara Israel dan rakyat Palestin yang dijajah, sebaliknya pemerkosaan maruah dan pencabulan nilai kemanusiaan serius oleh Israel ke atas umat Islam keseluruhannya.

Sebab itulah usaha membebaskan Palestin daripada cengkaman musuh yang bersifat kebinatangan merupakan suatu jihad yang besar maknanya, bukan sahaja kepada penduduk Palestin malah seluruh umat Islam seantero dunia.

ALLAH menegaskan dalam al-Quran, sekiranya terdapat umat Islam yang menagih pertolongan lantaran ditindas dan dianiaya, maka menjadi kewajipan saudara seIslam menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk sama ada dengan jiwa raga mahupun harta benda (Al-Anfal:72).

Umat Islam hari ini mungkin tidak memiliki kekuatan persenjataan ketenteraan, namun salah satu senjata paling ampuh masih dimiliki umat ialah senjata ekonomi.

Malah Rasulullah sendiri menggunakan kaedah pemboikotan ke atas golongan munafik dan bangsa Yahudi yang menjadi duri dalam daging ketika Islam bertapak di Madinah.

Sebab itulah dalam menghadapi realiti penganiayaan dan penindasan berterusan pihak Israel dan sekutunya Amerika Syarikat hari ini, umat Islam  perlu kembali bersepakat memboikot barangan mereka. Pemboikotan juga merupakan satu manifestasi solidariti kita sebagai umat yang satu, sanggup berkorban demi saudaranya yang teraniaya.

Umat perlu bersedia menggunakan kuasa ekonominya untuk menekan kuasa-kuasa besar yang bongkak dengan kuasa ketenteraannya.

Apa yang pasti selagi umat tidak mahu berkorban demi saudara seIslamnya yang ditindas, selagi itulah mereka akan berterusan diperkotak-katikkan dan diperlakukan musuh sesuka hati. Selagi umat tidak bersedia untuk melakukan jihad ekonomi ini, selagi itulah mereka akan terus diperdaya dan dianiayai.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: