Islam tuntut umatnya sentiasa adil


Oleh Zahazan Mohamed

Setiap manusia ada hak yang perlu dihormati

Soalan;
Saya ingin bertanya apakah sepatutnya sikap kita sebagai seorang Muslim terhadap orang bukan Islam. Saya pernah mendengar orang Islam boleh makan sembelihan ahli kitab tetapi tidakkah mereka juga bukan Islam. Satu lagi, ada orang bukan Islam yang dipanggil ahli zimmah, siapakah mereka.

Zakir,
Johor Bahru.

Jawapan;

Perlu dimaklumi dalam Islam, orang bukan Islam ini ada dua kelompok. Pertama, pemeluk agama berhala atau agama budaya seperti kaum musyrik penyembah berhala, kaum Majusi penyembah api dan kaum penyembah bintang (shabiin).
Kedua, pemeluk agama samawi atau kitabiyah iaitu mereka yang mempunyai agama samawi pada asalnya dan mempunyai kitab yang diturunkan Allah SWT seperti Yahudi dan Nasrani. Al-Quran menyebut mereka sebagai ‘ahlul kitab’.

Hanya ahlul kitab ada keistimewaan dan keizinan khusus oleh Islam. Islam membolehkan memakan makanan (sembelihan) mereka dan menganggap makanan mereka adalah halal serta baik. Selain itu, Islam juga membolehkan mengahwini wanita mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat dan baik-baik serta makanan (sembelihan) orang yang diberikan kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan yang menjaga kehormatannya-di antara perempuan yang beriman dan juga perempuan yang menjaga kehormatannya dalam kalangan orang yang diberikan kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan simpanan. Sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” (Surah al-Maidah, ayat 5)

Ada dua golongan

Apabila berbicara mengenai orang bukan Islam, ada pembahagian lain berkenaan mereka berbeza agama iaitu apabila dilihat dari sudut negara Islam. Antara mereka ada golongan yang memerangi kaum muslimin dan ada pula yang berdamai atau mengikat janji setia dengan kaum muslimin.

Golongan yang memusuhi dan memerangi kaum Muslimin dikenali dengan al-Muharibun. Ada hukum tertentu mengenai hubungan dengan mereka, demikian juga terdapat akhlak dan adab tertentu pergaulan dengan mereka meskipun dalam peperangan.

Antaranya, tidak boleh melampaui batas terhadap mereka, tidak boleh berlaku kejam terhadap mayat mereka, tidak boleh menghancurkan bangunannya, tidak boleh membunuh anak kecil, wanita dan orang tua. Yang hanya boleh dibunuh adalah mereka yang ikut berperang.

Masih banyak lagi ketetapan lain yang disebut dalam fiqh Islam. Sedangkan orang kafir yang berdamai dan mengadakan ikatan janji setia dengan kaum muslimin hendaklah dipenuhi perjanjian mereka serta diberi hak untuk diperlakukan dengan baik dan adil.

Seterusnya golongan bukan Islam yang mengikat janji setia juga terbahagi kepada dua. Pertama, kelompok yang mengikat perjanjian untuk waktu tertentu. Perjanjian ini hendaklah dipenuhi sehingga habis waktu yang ditentukan.

Diberi jaminan

Kedua, kelompok yang mengikat perjanjian untuk selama-lamanya dan mereka inilah yang diistilahkan oleh kaum muslimin dengan ahlu zimmah, dalam erti kata mereka memiliki jaminan dari Allah, jaminan dari Rasulullah dan jaminan (yakni perlindungan keamanan) daripada kaum muslimin.

Mereka inilah yang dikatakan oleh Fiqah Islam iaitu: “Mereka mempunyai hak dan kewajipan seperti kita.” khususnya dalam urusan global kecuali masalah yang sudah ditentukan oleh agama.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: