Zakat bukan untuk fakir, miskin saja


Oleh Hamizul Abdul Hamid

Ada yang bertanya adakah orang kaya boleh menerima zakat, sedangkan zakat diperuntukkan untuk orang miskin. Tidak dinafikan, itu adalah tanggapan umum yang mengaitkan zakat dengan fakir dan miskin.

Hakikatnya, daripada jumlah lapan asnaf zakat, hanya dua asnaf disyaratkan miskin, iaitu fakir dan miskin. Bagi hamba sahaya, mereka bukan miskin melainkan mereka asnaf istimewa, justeru diri mereka adalah milik tuannya.
Dalam Islam, hamba hendaklah dilayani dengan santun dan kebajikannya dipelihara oleh tuannya. Mereka memang tiada harta, tetapi kebajikan mereka terjaga, justeru mereka adalah milik tuannya yang kaya. Hamba ini hanya diberikan zakat apabila tuannya menawarkan pembebasan kepadanya.
Tegah ambil harta dari asnaf miskin

Lima lagi asnaf zakat iaitu amil, mualaf, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil, tidaklah disyaratkan miskin ke atas mereka. Walaupun begitu, pastilah dalam tatacara pengagihan zakat, hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin, justeru mereka inilah yang paling layak diraikan dalam agihan zakat sesuai dengan saranan dianjurkan Rasulullah SAW.

Mungkin ada yang berhujah, bukankah ulama fikah menegah zakat diberikan kepada orang kaya. Dalilnya, iaitu saat Nabi Muhammad SAW mengutuskan Muadz bin Jabal ke Yaman, maka Nabi berpesan: Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin dalam kalangan mereka. (Riwayat Bukhari)

Namun, kita mesti melihatnya secara objektif dan jelas. Fuqaha, Dr Abdullah Nashih Ulwan menyatakan, orang kaya itu ditegah daripada mendapat agihan zakat, namun, apa yang dimaksudkan dengan tegahan itu ialah jika diambil harta zakat itu daripada bahagian (asnaf) fakir dan miskin lalu diberikan kepada orang kaya. Jika diambil daripada asnaf lain seperti asnaf fisabilillah, maka tidaklah disyaratkan penerimanya seorang yang miskin.
Sehubungan itu, amalan zakat di Malaysia, khususnya di Lembaga Zakat Selangor (LZS), setiap orang Islam boleh mendapat bantuan zakat walaupun mereka tidak miskin. Contohnya, untuk kes hutang rawatan dan membantu melanjutkan pendidikan. Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf gharimin (berhutang) atau asnaf lain yang sesuai, bukan atas sifat kemiskinannya.

Mungkin ada pihak berhujah, Nabi SAW pernah menolak untuk memberikan zakat kepada orang kaya, seperti diriwayatkan dalam hadis: Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang kuat yang mampu berkerja, (Riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga membuat pengecualian bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang kaya jika mereka memerlukan zakat, sesuai dengan keadaan diri mereka iaitu tidak sampai berlebih-lebihan serta mengabaikan hak fakir dan miskin.

Dalil bolehkan golongan kaya terima zakat

Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda: Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan iaitu amil; orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; orang yang berhutang dan orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkannya kembali kepada orang kaya itu.

Imam Syafie dan Hambali menyatakan, dalil di atas membolehkan lima golongan kaya ini menerima zakat demi kemaslahatan mereka.

Amil, diberikan zakat sebagai imbuhan sesuai dengan usaha dan kerja keras mereka menguruskan zakat dan asnaf lainnya. Mualaf boleh mendapat zakat, bertujuan melunakkan hatinya supaya lebih mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam.

Orang yang ikut berperang diberi zakat kerana itu adalah tugas mulia di jalan Allah SWT (fisabilillah) dan mereka tidak lagi sempat mencari rezeki. Ia dikiaskan kepada pencari ilmu, sehingga melayakkan mereka menerima zakat atas nama fisabilillah.

Orang yang berhutang (gharimin) pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan mereka menjadi fakir kerana hutangnya. Orang yang dipulangkan zakatnya sebagai hadiah, sudah pasti lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi zakat, tetapi hadiah.

Kesimpulannya, golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika mereka termasuk dalam kategori diizinkan ini. Bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa di Selangor, sudah pastilah golongan fakir dan miskin lebih diutamakan, manakala kesemua asnaf lain masih tertakluk kepada tatacara agihan zakat, sesuai dengan apa yang telah diputuskan Majlis Fatwa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: