Archive for Jun 2014

Zakat bukan untuk fakir, miskin saja

Oleh Hamizul Abdul Hamid

Ada yang bertanya adakah orang kaya boleh menerima zakat, sedangkan zakat diperuntukkan untuk orang miskin. Tidak dinafikan, itu adalah tanggapan umum yang mengaitkan zakat dengan fakir dan miskin.

Hakikatnya, daripada jumlah lapan asnaf zakat, hanya dua asnaf disyaratkan miskin, iaitu fakir dan miskin. Bagi hamba sahaya, mereka bukan miskin melainkan mereka asnaf istimewa, justeru diri mereka adalah milik tuannya.
Dalam Islam, hamba hendaklah dilayani dengan santun dan kebajikannya dipelihara oleh tuannya. Mereka memang tiada harta, tetapi kebajikan mereka terjaga, justeru mereka adalah milik tuannya yang kaya. Hamba ini hanya diberikan zakat apabila tuannya menawarkan pembebasan kepadanya.
Tegah ambil harta dari asnaf miskin

Lima lagi asnaf zakat iaitu amil, mualaf, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil, tidaklah disyaratkan miskin ke atas mereka. Walaupun begitu, pastilah dalam tatacara pengagihan zakat, hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin, justeru mereka inilah yang paling layak diraikan dalam agihan zakat sesuai dengan saranan dianjurkan Rasulullah SAW.

Mungkin ada yang berhujah, bukankah ulama fikah menegah zakat diberikan kepada orang kaya. Dalilnya, iaitu saat Nabi Muhammad SAW mengutuskan Muadz bin Jabal ke Yaman, maka Nabi berpesan: Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin dalam kalangan mereka. (Riwayat Bukhari)

Namun, kita mesti melihatnya secara objektif dan jelas. Fuqaha, Dr Abdullah Nashih Ulwan menyatakan, orang kaya itu ditegah daripada mendapat agihan zakat, namun, apa yang dimaksudkan dengan tegahan itu ialah jika diambil harta zakat itu daripada bahagian (asnaf) fakir dan miskin lalu diberikan kepada orang kaya. Jika diambil daripada asnaf lain seperti asnaf fisabilillah, maka tidaklah disyaratkan penerimanya seorang yang miskin.
Sehubungan itu, amalan zakat di Malaysia, khususnya di Lembaga Zakat Selangor (LZS), setiap orang Islam boleh mendapat bantuan zakat walaupun mereka tidak miskin. Contohnya, untuk kes hutang rawatan dan membantu melanjutkan pendidikan. Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf gharimin (berhutang) atau asnaf lain yang sesuai, bukan atas sifat kemiskinannya.

Mungkin ada pihak berhujah, Nabi SAW pernah menolak untuk memberikan zakat kepada orang kaya, seperti diriwayatkan dalam hadis: Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang kuat yang mampu berkerja, (Riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga membuat pengecualian bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang kaya jika mereka memerlukan zakat, sesuai dengan keadaan diri mereka iaitu tidak sampai berlebih-lebihan serta mengabaikan hak fakir dan miskin.

Dalil bolehkan golongan kaya terima zakat

Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda: Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan iaitu amil; orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; orang yang berhutang dan orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkannya kembali kepada orang kaya itu.

Imam Syafie dan Hambali menyatakan, dalil di atas membolehkan lima golongan kaya ini menerima zakat demi kemaslahatan mereka.

Amil, diberikan zakat sebagai imbuhan sesuai dengan usaha dan kerja keras mereka menguruskan zakat dan asnaf lainnya. Mualaf boleh mendapat zakat, bertujuan melunakkan hatinya supaya lebih mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam.

Orang yang ikut berperang diberi zakat kerana itu adalah tugas mulia di jalan Allah SWT (fisabilillah) dan mereka tidak lagi sempat mencari rezeki. Ia dikiaskan kepada pencari ilmu, sehingga melayakkan mereka menerima zakat atas nama fisabilillah.

Orang yang berhutang (gharimin) pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan mereka menjadi fakir kerana hutangnya. Orang yang dipulangkan zakatnya sebagai hadiah, sudah pasti lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi zakat, tetapi hadiah.

Kesimpulannya, golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika mereka termasuk dalam kategori diizinkan ini. Bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa di Selangor, sudah pastilah golongan fakir dan miskin lebih diutamakan, manakala kesemua asnaf lain masih tertakluk kepada tatacara agihan zakat, sesuai dengan apa yang telah diputuskan Majlis Fatwa.

Doa anak dapat tingkat darjah ibu bapa

Soalan:

Saya sudah berkeluarga serta dikurniakan tiga cahaya mata. Pertanyaan saya, apakah perkara terbaik dilakukan anak untuk diberikan kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia?
Rahmat,Muar, Johor.

 

Jawapan:

Apabila kedua-dua orang tua masih hidup, anak yang salih dapat membimbing kedua-duanya perkara yang dapat mengangkat darjat mereka di syurga. Adapun apabila kedua-duanya sudah meninggal dunia, anak hendaklah rajin memohon ampun dan berdoa bagi pihak ibu bapanya kepada Allah SWT.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya akan ada seseorang yang sangat tinggi kedudukannya di syurga bertanya-tanya: Dari manakah aku memperoleh tingkat kedudukan yang sangat tinggi ini? Lalu dikatakan kepadanya: Itu adalah berkat permohonan ampun yang diucapkan oleh anakmu.” (Riwayat Ahmad)
Penting berdoa

Pentingnya doa dan permohonan ampun dari seorang anak untuk orang tuanya, Imam al-Bukhari membuat bab untuk hadis berkaitan hal ini. Beliau menamakan bab ini ‘Bab Berbuat Baik Kepada Orang Tua Selepas Keduanya Meninggal Dunia’.

Dalam bab itu, beliau menyebutkan satu hadis daripada Abu Hurairah yang menceritakan mengenai seorang yang meninggal dunia dinaikkan tingkatnya di syurga beberapa darjat. Orang itu pun bertanya: “Wahai Rabb, apa yang menyebabkan perkara ini terjadi? Maka dikatakan kepadanya: Itu adalah kerana anakmu memohonkan ampunan untukmu.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, bagi mendapat kedudukan yang baik di syurga nanti, apa yang perlu dilakukan seorang ayah ialah mendidik anak menjadi anak salih yang akan mendoakan keampunan ibu bapanya terutama selepas mereka meninggal dunia.

Anak yang salih akan selalu mengingati kedua orang tuanya yang sudah tiada dengan perkara baik kerana mereka tentunya selalu mendekatkan diri kepada Allah dan tidak lupa mendoakan serta memohon keampunan bagi kedua ibu bapanya.

Berbeza halnya jika bapa lalai mendidik anaknya menjadi anak yang salih. Mereka tentu lupa dan mungkin tidak pernah mendoakan untuk ibu bapanya.

Percaya bomoh, tukang tilik boleh jejas akidah

Aisyah berkata, “Ada orang bertanya kepada Rasulullah berkenaan bomoh. Baginda menjawab: Mereka tidak mampu buat apa-apa pun. Sahabat Baginda berkata: Wahai utusan Allah, tetapi kadang-kadang mereka beritahu sesuatu kepada kami dan ia benar-benar berlaku.

Rasulullah bersabda: Itulah perkataan benar yang dicuri oleh jin, dibisikkannya pada telinga bomoh itu, dan mereka menokok tambah dengan 100 dusta.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan rekod Bukhari, Aisyah berkata, beliau mendengar Rasulullah bersabda: “Malaikat turun ke awan dan menyebut keputusan yang dibuat di langit. Syaitan mencuri dengar dan memberitahu kepada bomoh. Bomoh itu pun menipu dengan menokok tambah sendiri pula dengan 100 dusta.”
Tegahan jumpa bomoh, tukang tilik

Umat Islam ditegah berjumpa bomoh dan tukang tilik malangnya perbuatan itu masih dilakukan sesetengah masyarakat untuk mendapat rawatan khususnya yang dikaitkan dengan sihir atau ilmu ghaib.

Adalah menyedihkan bagi umat Islam yang mengakui beriman kepada Allah SWT, mengakui kekuasaan-Nya, tetapi masih percaya kepada kemampuan manusia lain untuk mengetahui perkara yang tidak tercapai ilmunya oleh manusia.

Lebih mendukacitakan, disebabkan mempercayai kata-kata bomoh dan tukang tilik, berlaku pergaduhan serta salah faham yang akhirnya menyebabkan terputus persaudaraan. Sedangkan sejauh mana kebenaran maklumat disampaikan tidak diketahui.
Disebabkan itu, manusia perlu kembali kepada ajaran agama yang melarang menemui bomoh atau tukang tilik kerana mempercayai apa dikatakan boleh menjurus kepada syirik, menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain.

Safiyyah binti Abu Ubaid berkata daripada sebahagian isteri Nabi Muhammad, Baginda bersabda: “Sesiapa berjumpa dengan tukang tilik dan bertanya sesuatu kepadanya, kemudian percaya pula kepadanya, sembahyangnya tidak diterima selama 40 hari.” (Riwayat Muslim)

Sudah tentu kita tidak mahu sembahyang yang dilaksanakan dengan niat kerana Allah SWT menjadi sia-sia. Hanya sekali berjumpa bomoh, sembahyang 40 hari tidak diterima. Ini satu kerugian besar dan umat Islam harus mengelak terjerumus dalam lembah kerugian.

Daurah Muslimat Sempena Ramadhan 1435H

Terbuka untuk  muslimat sahaja terutama  siswi IPT dan umum
 

Tarikh : Mulai 3 Ramadhan 1435H bersamaan 1 Julai 2014M dalam jangkamasa 17 hari

Cara Daftar :

Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Muslimat berumur 17 tahun ke atas
  • RM 50 untuk ulang alik
  • RM 180 untuk yang menginap termasuk makan berbuka puasa dan sahur

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Kitab Hidayah Sibyan
  • Kitab Minhaj Abidin
  • Kitab Muhimmah
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Tadarrus al-Quran

Pakaian harian, bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / Us Nasharudin 0199859887 -Pondok Tunjung

Layari epondok.wordpress.com

Persoalan nafkah isteri diperjelas secara terperinci

Oleh Shadiya Abbas

Di Malaysia, antara penyumbang terbesar terhadap ekonomi negara ialah wanita. Sudah menjadi keperluan untuk isteri bekerja membantu suami apatah lagi jika tinggal di kota besar dengan saraan hidup yang tinggi.

Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi, harus hukumnya bagi wanita keluar bekerja, sama ada untuk membantu suami, keluarga atau kerana berkongsi manfaat kepada masyarakat. Namun, adakah wanita turut menanggung tanggungjawab nafkah seperti lelaki?
Persoalan itu akan dijelaskan peguam syarie, Salwa Fadzil, bagi memberi kefahaman kepada wanita yang masih tidak jelas mengenai tuntutan nafkah bagi isteri yang bekerja.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu yang lebih banyak dari sebahagian yang lain. Kerana bagi seorang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah an-Nisa, ayat 32)
Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu yang lebih banyak dari sebahagian yang lain. Kerana bagi seorang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah an-Nisa, ayat 32)

Tujuh jenis nafkah untuk isteri

Setiap wanita yang keluar bekerja wajib mendapat izin suami, tetapi mereka tetap berhak mendapat nafkah daripada suami walaupun mempunyai pendapatan sendiri. Ada tujuh jenis nafkah yang mesti diberikan suami dan semua itu boleh diketahui apabila menonton program Fiqh Wanita di TV3 esok.

Sebenarnya nafkah isteri bukan beban kepada suami jika kedua-duanya bertoleransi dalam berkongsi tanggungjawab menunaikan nafkah. Maksud toleransi perlu difahami supaya tidak berlaku penganiayaan kepada mana-mana pihak.
Ahli panel turut membangkitkan isu isteri menyerahkan sepenuhnya gaji kepada suami kerana tindakan itu ada banyak buruk daripada baiknya. Hal ini mengundang kerosakan kepada tanggungjawab perkahwinan untuk jangka masa panjang.

Pada masa sama, wujud dilema kepada wanita antara mahu terus bekerja atau menjadi suri sepenuh masa demi menumpukan perhatian kepada anak dan suami. Banyak faktor antaranya suasana di tempat kerja, keperluan anak yang semakin membesar dan kelelahan melakukan dua tugas.

Tidak dinafikan juga, isu pengabaian nafkah oleh suami semakin meningkat dalam kalangan Muslim. Jika suami enggan menunaikan nafkah, isteri mesti mengetahui fasa-fasa tuntutan nafkah yang boleh dibuat berdasarkan undang-undang syariah.

Memang ada suami yang perlu disedarkan mengenai tanggungjawab melalui pendekatan undang-undang. Islam memberikan tunjuk ajar yang jelas dalam sekecil-kecil perkara hinggalah kepada perkara yang besar seperti isu nafkah.

Akademi Ramadhan 1435H di Pondok Pasir Tumboh

Sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak 1435H maka pihak Pondok Pasir Tumboh akan mengadakan suatu program ilmu tahunan bagi menghayati bulan yang penuh keberkatan itu. Program ini bertujuan memberi peluang kepada seluruh umat Islam samada dalam negeri atau luar Kelantan untuk mendalami ilmu agama sepanjang bulan Ramadhan. Ini merupakan program untuk tahun ke-6 setelah program yang sama pada tahun-tahun sebelum ini  berjaya diadakan dengan sambutan menggalakkan daripada peserta dalam dan luar Kelantan terutama siswa/wi yang sedang cuti semester.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan program ini bolehlah menghubungi Ustaz Ahmad Shairazi di talian
09-7657786 / 019-9388902

Pendaftaran dibuka sepanjang masa

Pengajian secara berulang alik

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Terbuka kepada seluruh muslimin dan muslimat tanpa had umur
  • Pendaftaran RM 5 sahaja (tanpa kitab) dengan berulang-alik setiap hari
  • Harga Kitab Mukhtasor Mubatdi Edisi jawi / Rumi RM 8.00 ( 1 buah )
  • Harga kitab Hidayah Salikin edisi jawi RM4.00
  • Bagi peserta muslimin yang ingin menetap di pondok yuran daftar RM20.00 dan bil elektrik RM10.00.
  • Perbelanjaan makan minum tanggungan sendiri (majlis berbuka puasa disediakan di Masjid pondok setiap petang)
  • Bagi muslimat yang ingin tinggal kawasan pondok sila hubungi Ustazah Fadhilah (0145429086)

Tarikh & Masa Mula Daftar Diri

Mulai 2 Ramadhan 1435H bersamaan 30 Jun 2014M (Isnin)
jam 8.30 pagi

JADUAL AKADEMI PONDOK 1434H

TARIKH Masa Kitab

Mulai

9.00– 11.30 am Kitab : Mukhtasor Mubtadi

30 Jun 2014M

2 Ramadhan 1435H

hingga 23 Julai 2014M bersamaan 25 Ramadhan 1435H 3.00 – 4.00 pm Kitab : Hidayah Salikin

Setiap Jumaat cuti

# Kitab Mukhtasor Mubtadi melibatkan beberapa bab daripada ilmu Feqah

# Kitab Hidayah Salikin pula menyentuh ilmu tasawwuf

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah,
Pondok Pasir 
Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Hubungi :

Tel :09-7657786 H/P :019-9388902

(Ust. Ahmad Shairazi )

Al-Quran sebut kisah buah terlarang

Jawapan disediakan oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Soalan:

Saya ingin kepastian daripada ustaz mengenai kisah Adam dan Hawa di syurga. Adakah benar Hawa yang memujuk Adam supaya makan buah khuldi sehingga mereka terusir dari syurga kerana ada penceramah membuat hujah itu seolah-olah merendahkan wanita.
Shima,Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini dan makanlah makanan yang kamu sukai dan janganlah kamu dekati pokok ini yang menyebabkan kamu termasuk orang zalim” (Surah al-Baqarah-ayat 36)

 

Jawapan:

Pendapat yang ditanya oleh saudari mengenai wanita yang harus bertanggungjawab atas kesengsaraan hidup manusia dengan mengatakan Hawa yang menggoda Adam supaya memakan buah terlarang adalah pendapat tidak tepat.

Sumber pendapat ini ialah kitab Taurat dengan segala penambahan. Ini pendapat yang diimani oleh kaum Yahudi dan Nasrani serta sering menjadi bahan rujukan pemikir, penyair serta penulis mereka. Bahkan ramai juga penulis Muslim yang bertaklid buta dengan pendapat itu.
Namun bagi orang yang membaca kisah Adam dalam al-Quran yang ayatnya (mengenai kisah itu) terhimpun dalam beberapa surah, tidak akan bertaklid buta, sebaliknya akan mengambil kisah itu secara fakta.

Pertama, taklif Tuhan untuk tidak memakan buah terlarang itu ditujukan kepada Adam dan Hawa, bukan Adam saja. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini dan makanlah makanan yang kamu sukai dan janganlah kamu dekati pokok ini yang menyebabkan kamu termasuk orang zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 35)

Syaitan punca segalanya

Mendorong dan menyesatkan kedua-duanya dengan tipu daya, pujuk rayu, sumpah palsu ialah syaitan seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Lalu kedua-duanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan dikeluarkan daripada keadaan semula.” (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Dalam surah lain terdapat keterangan terperinci mengenai tipu daya dan pujuk rayu syaitan iaitu firman Allah SWT yang bermaksud: “Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga). Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): Sesungguhnya aku adalah daripada mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua. Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu da yanya. Selepas mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua daripada pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata? Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang yang rugi.” (Surah al-A’raf, ayat 20-23)

Adam bertanggungjawab

Surah Taha menceritakan bahawa Adam yang pertama kali diminta bertanggungjawab di atas pelanggaran itu, bukan Hawa, kerana itu, peringatan daripada Allah SWT ditujukan kepada Adam sebagai prinsip dan secara khusus.

Kekurangan itu dinisbahkan kepada Adam yang juga dipersalahkan kerana pelanggaran itu. Meskipun isterinya bersama melakukan pelanggaran, namun petunjuk ayat mengatakan peranan Hawa tidak seperti peranan Adam dan Hawa makan serta melanggar kerana mengikuti Adam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa lalu, tetapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: Wahai Adam, sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam syurga itu dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam syurga itu, dan tidak akan berasa panas matahari. Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (daripada mencapai hajatnya). Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufik untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.” (Surah Taha, ayat 115-122)

Al-Quran telah menegaskan bahawa Adam diciptakan oleh Allah untuk suatu tugas yang sudah ditentukan sebelum diciptakannya. Malaikat pada waktu itu sangat ingin mengetahui tugas berkenaan, bahkan mereka mengira bahawa mereka lebih layak daripada Adam.

Perkara seperti ini sudah disebutkan dalam beberapa ayat dalam surah al-Baqarah sebelum Allah SWT menyebutkan ayat-ayat yang membahaskan tempat tinggal Adam dalam syurga dan memakan buah terlarang.