Nikah mutaah


OBJEKTIF utama Allah memperundangkan nikah adalah untuk memastikan kelangsungan kehidupan manusia. Jika tiada ikatan yang suci bagi meneruskan zuriat keturunan manusia, maka hidup manusia akan hilang kehormatannya. Antara cara yang ditetapkan oleh syariat Islam bagi memenuhi objektif tersebut, Islam menjelaskan hubungan perkahwinan mestilah bersifat kekal. Oleh sebab itu, para pakar perundangan Islam menegaskan, antara syarat sah akad nikah adalah niat pasangan untuk bersama buat selama-lamanya.

Apa yang dimaksudkan sebagai Nikah Mutaah? Nikah Mutaah ialah perkahwinan yang dihadkan tempohnya. Contohnya, pengantin lelaki berkata dalam majlis akad nikah, “Saya hanya mahu berkahwin dengan kamu selama sebulan.” Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima.”

Dr. Abdul Karim Zaidan, dalam bukunya, Mufassal fi ahkam al-maraah mendefinisikan nikah mutaah sebagai kontrak nikah antara seorang lelaki dan perempuan dengan dihadkan tempoh masanya dan dengan mas kahwin yang tertentu. Contohnya, pengantin lelaki berkata, “Saya bernikah dengan kamu selama satu hari dengan mas kahwin RM100.”

Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima nikah kamu itu.” Maka dalam kes ini, pasangan tersebut berkahwin secara mutaah. Lelaki itu perlu membayar RM100 kepada perempuan itu dan mereka menjadi pasangan hanya selama satu hari. Apabila cukup sehari, maka secara automatik kontrak itu terbatal. Mereka sudah menjadi bukan suami isteri lagi.

Menurut mazhab Ja’fari iaitu salah satu daripada mazhab fikah dalam Syiah, nikah mutaah adalah dibenarkan. At-Tusi; salah seorang pakar rujuk dalam mazhab Ja’fari, menjelaskan dalam bukunya an-Nihayah, “Nikah mutaah adalah dibenarkan dalam syariat Islam.”

Oleh sebab itu, di zaman kita sekarang, nikah mutaah masih dipraktikkan di kawasan yang didiami oleh pendukung mazhab Syiah.

Sementara itu, menurut pakar perundangan Islam yang lain; seperti pakar bermazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali, mereka sepakat mengatakan nikah mutaah diharamkan oleh Islam.

Ibnu Rushd, salah seorang pakar bermazhab Maliki, menjelaskan dalam bukunya Bidayat al-mujtahid, “Seluruh pakar perundangan Islam mengharamkan nikah mutaah.”

Begitu juga dijelaskan oleh an-Nawawi iaitu seorang pakar bermazhab Syafi’i, dalam bukunya al-Muhazzab, “Nikah mutaah tidak dibenarkan.”

Hujah pendapat kedua yang mengatakan nikah mutaah diharamkan dalam Islam berdasarkan beberapa hadis Nabi Muhammad SAW. sudah berjaya menguasai Kota Mekah.

Baginda SAW bersabda: Wahai sekalian manusia! Sebelum ini saya pernah membenarkan saudara-saudara sekalian menyetubuhi wanita dengan nikah mutaah. Tetapi bermula dari sekarang, Allah sudah mengharamkannya sehingga hari kiamat. Sesiapa yang pernah berkahwin secara mutaah sebelum ini, maka hendaklah dia menceraikan isterinya itu dan janganlah saudara sekalian mengambil semula mas kahwin yang sudah saudara berikan kepada isteri-isteri itu. (riwayat Muslim)

Ali bin Abu Talib melaporkan: Semasa berlakunya Perang Khaibar, Rasulullah SAW melarang daripada bernikah mutaah dan memakan daging keldai yang dipelihara. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sementara hujah yang dikemukakan oleh pendapat pertama iaitu yang membenarkan nikah mutaah, mereka berhujah dengan ayat 24 surah an-Nisa’ yang bermaksud: Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Menurut pakar bermazhab Ja’fari, ayat ini merujuk kepada nikah mutaah, kerana perkataan ‘mutaah’ asalnya merujuk kepada nikmat persetubuhan.

Tambahan pula menurut mereka, terdapat laporan yang sahih yang mengatakan Nabi SAW pernah membenarkan para sahabat bernikah dengan nikah mutaah. Apa yang dibenarkan oleh baginda adalah berdasarkan wahyu, bukan dengan kehendak baginda sendiri.

Terdapat juga laporan yang sahih yang dilaporkan oleh Imam Muslim menjelaskan bahawa beberapa orang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernikah dengan nikah mut’ah ketika zaman Nabi SAW, zaman pemerintahan Abu Bakar dan selama beberapa tempoh dalam pemerintahan Umar. Laporan tersebut menjelaskan nikah mutaah bukan diharamkan oleh Nabi SAW tetapi diharamkan oleh Umar semasa pemerintahannya.

Kesimpulannya, nikah mutaah diharamkan oleh Islam dan ia dianggap tidak sah menurut Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia. Sebagai contoh, Seksyen 11 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, memperuntukkan, “Sesuatu perkahwinan tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak, untuk menjadikannya sah.” Hukum Syarak ditafsirkan oleh akta yang sama sebagai, “Undang-Undang Islam mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf.”

Para pakar mazhab dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah sepakat mengatakan bahawa niat berkahwin secara kekal adalah syarat sah nikah. Jika pasangan berniat untuk berkahwin sekejap sahaja dalam tempoh tertentu, maka nikah itu tidak sah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: