Tidak jaga perkataan, perbuatan jejaskan akidah


MENJADI sifat semula jadi bagi setiap individu mempunyai pegangan dan ego tersendiri. Oleh itu, lahirlah pelbagai alasan yang sering diberikan apabila mendapat teguran daripada orang lain, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan perintah agama.

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang beranggapan, selagi mana masih melakukan solat dan ibadah serta tidak meninggalkan perintah Allah SWT dalam rukun Islam, mereka akan selamat dan imannya terpelihara.

Namun ramai yang masih tidak menyedari, bukan sahaja dengan penyataan atau perbuatan zahir yang menduakan Allah SWT serta melakukan perbuatan syirik, sebaliknya dengan sepatah ayat yang dilafazkan mampu menjejaskan iman.

Hakikatnya, ia adalah bermula daripada sekecil-kecil perkara yang sering diambil ringan dengan menyatakan pelbagai alasan bagi mengelakkan daripada mengikuti perintah Allah SWT yang secara jelas termaktub di dalam al-Quran dan sunah.

Perkara itu tanpa disedari, boleh menjejaskan akidah dan tidak mustahil boleh mencapai sehingga ke tahap syirik.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara kamu menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian yang diturunkan Allah kepada kamu.

Jika mereka berpaling (daripada hukum yang diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. (al-Maidah: 49)

Justeru, Pengerusi Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Dr. Irwan Mohd. Subri berkata, sebagai individu yang mengaku Islam, tidak dapat tidak wajib untuk mengikuti segala perintah Allah SWT.

Ini katanya kerana, segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT menerusi al-Quran dan hadis Rasulullah SAW kepada umat Islam mempunyai pelbagai hikmah di sebalik suruhannya tanpa kita sedari.

Mengambil contoh bermula daripada sekecil perkara seperti menutup aurat, umat Islam yang sering memberikan alasan untuk mengelak daripada mengikuti perintah Allah SWT itu boleh terjejas pegangan imannya.

Ia kerana, seperti mengingkari suruhan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Begitu juga katanya, terhadap perkara-perkara yang besar.

“Sebagai umat Islam, kita wajib beriman dengan hukum Allah SWT, sekurang-kurangnya menetapkan di dalam hati bahawa akan sentiasa cuba dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan perintah tersebut.

“Di dalam surah Maidah ayat ke 44, 45, dan 47 menjelaskan bahawa terdapat tiga golongan bagi mereka yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan Allah SWT iaitu kafir, zalim dan fasik.

“Kafir secara umumnya boleh berlaku apabila umat Islam secara jelas menentang hukum Allah dan melakukan perkara syirik. Tetapi, dalam kategori kedua dan ketiga pula adalah sesiapa yang mengaku kebenaran hukum Allah SWT, tetapi tidak melaksanakan maka jatuh hukum fasik dan zalim,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, umat Islam perlu berhati-hati dalam setiap perkataan mahupun perbuatan bagi memelihara iman daripada terjejas dengan tanpa disedari.

Elak menghukum

Bagaimanapun tambahnya, sebagai manusia biasa, kita tidak berhak untuk menghukum atau melabel orang lain dengan panggilan tertentu sebelum diputuskan oleh pihak berkuasa yang menetapkan status tersebut.

“Jika mengikut kaedah dakwah, tidak boleh melabelkan seseorang itu dengan label tertentu seperti kafir walaupun terang-terangan dia melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama.

“Ini merupakan strategi psikologi dalam usaha mengembalikan individu tersebut kepada kebenaran. Begitu juga, ia bagi mengelakkan tanggapan negatif agama lain terhadap Islam yang dilihat bersifat keterlaluan kepada penganutnya,” jelasnya.

Sebaliknya Irwan berkata, sebagai umat Islam diharuskan untuk saling mengingati antara sesama insan, serta memperbanyakkan pendedahan mengenai sesuatu perkara dalam usaha memperbaiki dan melaksanakan hukum Allah SWT.

“Bukan dengan melakukan kaedah paksaan, tetapi pelbagai program berkonsep pendedahan dan perbincangan perlu dilakukan seperti forum, muzakarah, seminar dan sebagainya bagi memberi kesedaran kepada umum mengenai sesuatu perkara tersebut.

“Sebagaimana dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan menyampaikan berita yang gembira bukan sahaja yang menakutkan.

“Menerusi kaedah yang bijaksana dan perancangan kepada pelaksanaan yang teliti, tidak mustahil segala hukum yang ditentukan Allah SWT itu dapat kita laksanakan,” ujarnya.

-MOHD. SHAH CHE AHMAD

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: