Kisah Natrah bangkit semangat bela Islam


KISAH Natrah bukan suatu kisah baharu. Semua tahu tentang cerita gadis berdarah Belanda itu, lebih-lebih selepas didedahkan secara bersiri oleh Dewan Masyarakat pada 1998.

Walaupun ia berlaku 64 tahun lalu di Singapura, tetapi apa yang pasti peristiwa penuh emosi itu telah mencetuskan huru-hara di negara republik tersebut, malah akan terus tercatat dalam memori bangsa untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Apa tidaknya, keadaan kacau-bilau itu telah menyebabkan 18 orang terbunuh, 173 orang tercedera, 119 kenderaan musnah dan 73 kejadian pembakaran, sekali gus menyebabkan perisytiharan darurat selama dua hari dua malam.

Bahkan, tindakan bangsa Melayu yang beragama Islam itu turut telah mengejutkan penjajah British dan Belanda yang selama ini beranggapan bahawa kaum itu sebagai satu bangsa yang pemalas, bodoh dan miskin.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila penulis kisah Natrah, Datin Seri Fatini Yaacob menegaskan bahawa Natrah, Che Aminah atau Mansor Adabi adalah tidak penting kerana ‘pelakon’ itu semuanya hanyalah alat kepada kebangkitan bangsa Melayu membela agama Islam yang selama ini telah dihina oleh penjajah.

Kebangkitan

Ini kerana berdasarkan kajiannya terhadap laporan akhbar, termasuk akhbar Utusan Melayu pada ketika itu, bahawa kebangkitan tercetus apabila akhbar milik penjajah membuat provokasi yang begitu melukakan hati orang Melayu.

“Mereka secara terbuka mengatakan bahawa Natrah yang diletakkan di bawah jagaan pihak gereja sementara menunggu proses rayuan itu, bukan hanya telah diberi pendidikan Kristian tetapi turut mengatakan Natrah bahagia di rumah ibadat itu. Yang mana akhirnya, Natrah melutut menyembah berhala. Sedangkan hakikatnya, Natrah menderita.

“Ternyata provokasi sedemikian telah mencetuskan kemarahan orang Melayu dan mereka bersatu dan bangkit mempertahankan agama Islam daripada terus dihina oleh para penjajah,” kata Fatini pada Wacana Rusuhan Natrah Implikasi Terhadap Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Justeru, tegas Fatini lagi, tragedi Natrah sebenarnya bukanlah menggambarkan bangsa Melayu kalah kerana keputusan mahkamah di Singapura itu memihak kepada ibu kandung Natrah.

Namun hakikatnya adalah sebaliknya. Ia adalah lambang kemenangan kepada umat Islam yang bangkit mempertahankan agama Islam yang telah dihina oleh penjajah selama 500 tahun mereka menjajah Tanah Melayu.

“Saya percaya kejadian itu adalah satu takdir Allah SWT supaya bangsa Melayu Islam bangkit setelah hampir 500 tahun dijajah dan dihina oleh kuasa Eropah itu.

“Sikap umat Islam pada ketika itu yang dipimpin oleh Karim Ghani dan Dr. Burhanuddin Al-Helmi serta ribuan umat Islam lain di Singapura yang bangkit menentang adalah manifestasi kepada kemenangan umat Islam pada waktu itu.

“Cuma malangnya sejak kisah Natrah itu didedahkan, majoriti umat Islam telah ‘sesat’ kerana mereka terpengaruh dengan dakyah penjajah bahawa rusuhan itu berlaku kerana keputusan hakim mengembalikan Natrah kepada ibu bapa kandungnya sendiri,” kata Fatini.

Sehubungan itu, Fatini menyeru masyarakat Islam hari ini agar melihat isu tragedi Natrah secara lebih terbuka supaya tidak lagi terbelenggu dengan gambaran oleh pihak penjajah bahawa orang Melayu Islam kalah atas keputusan mahkamah itu.

Malah masyarakat Islam perlu menjadikan tragedi tersebut sebagai satu iktibar tentang kepentingan usaha memperkukuhkan kesatuan dan juga keimanan di dalam diri setiap umat Islam di negara ini.

“Apalah yang boleh kita harapkan daripada Natrah? Berharap dia akan kembali kepada Islam? Tetapi apa yang sepatutnya kita fikirkan adalah berapa ramai ‘Natrah’ yang lahir selepas itu,” katanya.

Jati diri

Nada yang sama turut diucapkan oleh Nasharudin Mat Isa pada wacana tersebut, selain menyifatkan tragedi Natrah tersebut sebagai satu gambaran tentang sejauh manakah jati diri umat Islam di negara ini dalam mempertahankan agama Islam.

Tegasnya, jati diri itu penting kerana ia menjadi penanda aras kepada tahap keimanan dan kecintaan seseorang individu Muslim itu terhadap agama Islam.

“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita perlu kepada isu-isu tertentu untuk bangkit menegakkan kesyumulan Islam dengan menggunakan pelbagai saluran yang betul atau adakah apabila isu-isu berkaitan Islam dimainkan oleh segelintir parti politik, barulah kita hendak sedar,” kata Nasharudin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Da­lam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo).

Hari ini, antara cabaran utama adalah ancaman tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang jika tidak ditangani secara bijaksana dan berhemah, ia mampu mengganggu-gugat kesucian agama Islam serta Perlembagaan Persekutuan.

Sepatutnya agenda membela dan mempertahankan agama Islam bukan hanya perlu dilakukan secara berterusan tetapi umat Islam seharusnya keluar daripada kepompong bahawa kesatuan ummah hanya boleh dimainkan oleh parti politik sahaja.

Umat Islam seharusnya ingat bahawa setiap parti politik mempunyai agenda masing-masing dan sudah pasti, apa sahaja yang dilakukannya perlu memberi keuntungan kepada parti terlebih dahulu.

Sebab itulah, Nasharudin berkata, umat Islam perlu mengutamakan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW dalam usaha pembelaan dan mempertahankan agama Islam.

Katanya lagi, penekanan tersebut perlu bagi memastikan masa depan agama Islam tetap kukuh berdiri walaupun diasak dengan pelbagai cabaran getir di masa depan.

“Jangan salahkan musuh Islam yang datang menyerang kita tetapi kita perlu bertanya untuk salahkan diri kita sendiri, khususnya tentang sumbangan kita kepada agama Islam,” kata Nasharudin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: