Hukum mafqud tentukan status mangsa MH370


Oleh HASHNAN ABDULLAH

KESYUMULAN Islam dalam menyelesaikan masalah manusia memang tidak boleh dinafikan. Sebesar mana atau serumit mana masalah manusia, Islam tetap mempunyai jalan keluar yang adil dan saksama. Penurunan al-Quran dan sunnah menerusi perutusan Nabi Muhammad SAW merupakan dua sumber rujukan utama kepada setiap permasalahan yang timbul bukan hanya untuk umat Islam tetapi umat manusia secara keseluruhannya.

Kehilangan pesawat MH370 bukan sahaja satu tragedi yang dirapati oleh ahli keluarga atau waris para penumpang dan anak kapal, malah oleh seluruh rakyat Malaysia, khasnya dan dunia, amnya turut bersedih. Malah perkembangan berita misi mencari dan menyelamat telah mendapat liputan besar-besaran daripada media tempatan dan antarabangsa.

Hakikatnya, misteri kehilangan pesawat yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing itu merupakan satu tragedi yang cukup unik dan luar biasa dalam sejarah manusia.

Apa tidaknya, tragedi tersebut telah menimbulkan pelbagai pertanyaan terhadap setiap aspek berkaitan MH370 itu.

Antaranya adalah status pensabitan kematian mangsa yang berada di dalam pesawat milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) itu, khususnya yang beragama Islam.

Justeru, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa mengenai isu itu pada 25 Mac lalu dan diklasifikasikan sebagai mafqud atau mengikut pandangan as-Syafie, istilah itu menyentuh orang yang tidak didengari khabarnya dan kemungkinan besar, dia telah mati atau sukar ditemui semula.

Bagaimanapun, istilah hukum mafqud itu tidak hanya terhad kepada isu MH370 sahaja tetapi turut menyentuh isu kehilangan lain, seperti pergi berperang, berniaga, belajar, melancong dan apa sahaja yang berisiko untuk sukar ditemui semula.

Kata Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin, mafqud terbahagi kepada dua kategori iaitu kemungkinan besar individu itu hilang dan mati dan satu lagi, kemungkinan dia mati adalah kecil tetapi sukar untuk ditemui semula.

“Ada dua kategori iaitu kemungkinan besar dia hilang dan mati seperti kejadian yang menimpa MH370 atau pergi berperang.

“Satu lagi kemungkinan untuk mati sangat kecil seperti pergi belajar, melancong, berniaga dan sebagainya. Secara zahirnya dia masih hidup tetapi sukar untuk dikesan semula,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Begitu pun, pengesahan seseorang yang hilang itu telah mati tidak boleh dibuat tanpa ada tempoh masa tertentu untuk mencari atau mengesannya.

Usaha tersebut sejajar dengan pandangan ramai para ulama bahawa tempoh masa untuk mencari seseorang hilang itu perlu ada bagi memastikan apa jua siasatan tentang kemungkinan untuk menemuinya dapat dilakukan.

“Ulama sepakat mengatakan untuk memastikan orang itu sudah meninggal dunia ataupun tidak, maka kita mesti memberikan satu tempoh waktu untuk mencarinya.

“Tetapi, penetapan tempoh masa mencari secara lebih spesifik tidak ada di dalam al-Quran atau hadis Rasulullah SAW,” kata Abdul Shukor.

Beliau mengulas lanjut, penetapan tempoh masa mencari itu perlulah berdasarkan kemudahan dan kepakaran yang dimiliki pada masa kejadian itu berlaku.

“Kalau zaman dahulu, mungkin orang letak setahun atau enam bulan kerana kemudahan dan kepakaran pada masa itu tidak secanggih pada hari ini.

“Hari ini, kita bukan hanya memiliki mereka yang pakar mengesan tetapi turut adanya teknologi yang disifatkan boleh mempercepatkan kebolehan mencari itu,” katanya.

Bagi tempoh menunggu yang diletakkan sebagai panduan dalam menentukan kematian seseorang, ada ulama yang meletakkan empat tahun, 50 tahun, 70 tahun, 100 tahun, 120 tahun dan lain-lain.

CANGGIH… Kemudahan teknologi memudahkan usaha mencari mereka yang berstatus mafqud. – Gambar hiasan

Perselisihan ini berpunca tiadanya dalil khusus yang menyebut mengenai tempoh menunggu untuk al-mafqud. Jika berdasarkan perbuatan Sayidina Umar r.a, pandangan sebahagian ulama tindakan Umar tersebut hanyalah sekadar ijtihad beliau terhadap situasi ketika itu.

Tetapi, kata Abdul Shukor, apabila masa itu sudah cukup atau kita berpuas hati bahawa usaha pencariannya itu sudah sampai ke akhirnya, maka pada ketika itu pihak pemerintah boleh membuat satu keputusan iaitu mengisytiharkan usaha mencari dihentikan dan mangsa yang terlibat disahkan telah meninggal dunia.

“Oleh kerana kita hidup berteraskan undang-undang, sama ada sivil atau syariah, maka sudah menjadi satu kemestian untuk kita merujuk kepada mahkamah bagi mengesahkan kematian individu yang hilang itu,” katanya.

Kata Abdul Shukor, pengesahan tersebut perlu dibuat secepat mungkin kerana selaras dengan tuntutan Islam sendiri yang mahu umatnya tidak terus diselubungi dengan kesedihan ekoran kehilangan orang yang disayangi.

Jelasnya lagi, ia juga sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila telah meninggal anak Adam, maka putuslah segala amal perbuatannya, kecuali tiga perkara: Pertama, sedekah jariah; kedua, ilmu yang bermanfaat dan yang ketiga adalah anak yang soleh yang mendoakan. (riwayat Bukhari)

“Bagi pihak yang masih hidup, sedih itu tidak dinafikan tetapi di dalam Islam, kita perlu pandang ke hadapan. Perlu teruskan kehidupan seharian kita dan apa sahaja harta yang ditinggalkan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Sebab itulah, pengesahan itu bukan hanya penting tetapi perlu dibuat secepat mungkin bagi membolehkan urusan lain seperti pembahagian harta pusaka milik si mati, status isteri atau suami yang ditinggalkan, perkahwinan anak dan lain-lain perkara berkaitan dilaksanakan dengan berkesan,” ujar Abdul Shukor.

Selain tragedi kehilangan pesawat MAS MH370 sejak 8 Mac lalu, tegas Abdul Shukor Malaysia turut mengalami kejadian yang membabitkan penggunaan hukum mafqud iaitu ketika berhadapan dengan tragedi Terowong al-Muassim di Mekah semasa musim haji pada 1990.

Dalam tragedi itu, seramai 19 orang jemaah haji Malaysia telah terkorban apabila terowong itu runtuh ekoran kapasiti ketahahannya gagal menampung kedatangan jemaah haji di terowong terbabit.

Berikutan itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-27 yang bersidang pada 3 Oktober 1990 telah membincangkan Tragedi Terowong al-Muassim.

Muzakarah telah memutuskan bahawa kehilangan 19 orang jemaah haji Malaysia akibat Tragedi Terowong Al-Muassim dianggap sebagai mati mafqud. Keterangan atau bainat bagi mensabitkan kematian itu ialah :

*Telah habis usaha mencari mereka;

*Tidak ada bukti atau sangkaan bahawa mereka masih hidup dan bersembunyi diri di mana-mana tempat di Arab Saudi atau keluar dari negara itu ke sebuah negara lain dan bersembunyi di sana.

*Bahawa mereka itu bukan orang yang mencari peluang untuk melarikan diri dari negara ini.

Pihak yang berwajib mengenai urusan jemaah haji Malaysia iaitu Lembaga Urusan dan Tabung Haji hendaklah memohon kepada Mahkamah Tinggi secepat mungkin bagi mengisytiharkan 19 jemaah haji Malaysia yang hilang itu sebagai telah mati.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu bolehlah diterima pakai oleh Mahkamah Syariah di negeri-negeri yang berkenaan bagi menyelesaikan masalah yang bersangkut dengan Undang-Undang Keluarga Islam seperti edah isteri dan harta pusaka.

Sumber: Portal Rasmi Fatwa Malaysia (e-Fatwa) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: