Aura bulan Rejab


KITA telah memasuki bulan Rejab jika mengikut kiraan kalendar tahun Hijrah. Bulan Rejab cukup sinonim dalam masyarakat dengan kelebihan-kelebihan yang terkandung di dalamnya. Ada di antaranya yang sahih dan ada pula yang tidak benar dan boleh dipercayai. Pendek kata, bulan Rejab mempunyai auranya tersendiri kerana ia bulan yang mana umat Islam hampir dengan bulan Ramadan yang mulia.

Antara kelebihan bulan Rejab yang sahih ialah ia termasuk salah satu daripada bulan-bulan haram iaitu bulan yang mana tidak dibenarkan berperang melainkan jika mahu membela diri iaitu ketika diperangi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.(al-Taubah:36)

Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini membawakan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim di mana Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa empat bulan yang dimuliakan ini ialah bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.”

Ulama Mazhab as-Syafie dan sebahagian besar ulama berpendapat bahawa dosa-dosa digandakan pada bulan haram ini berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati.”

Begitu pun sejarah menunjukkan bahawa pemalsuan dan penipuan sering sahaja berlaku dalam hadis. Banyak faktor-faktor yang menjadi punca berlakunya perkara ini. Antaranya kerana ingin menyuntik semangat untuk beramal soleh. Hadis-hadis berkaitan bulan Rejab juga tidak terlepas daripada tempiasnya.

Oleh itu ramai ulama hadis telah menjelaskan kepalsuannya sejak dahulu lagi. Antaranya ialah Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, seorang imam dalam bidang hadis bermazhab Syafie. Beliau telah menjelaskan secara khusus perihal hadis-hadis fadhilat bulan Rejab dalam kitabnya Tabyin Al-Ajab bima warada fi Fadli Rajab.

Beliau menyebutkan: “Tidak ada riwayat yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab, tidak ada juga tentang puasa Rejab, puasa pada hari tertentu di bulan Rejab, dan qiamullail (solat malam) pada malam tertentu.”

Hadis palsu

Sebanyak 38 hadis-hadis berkaitan fadhilat bulan Rejab dimuatkan dan dinyatakan kelemahannya oleh beliau, termasuklah hadis-hadis fadhilat Rejab yang biasa berlegar dalam kalangan masyarakat kita.

Antaranya hadis yang menyebutkan bahawa apabila masuk bulan Rejab, Nabi Muhammad SAW akan berdoa: “Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan.”

Hadis ini telah dinilai lemah oleh ramai pengkritik hadis antaranya Imam al-Bukhari, Abu Hatim, al-Baihaqi dan ramai lagi. Namun doa ini boleh diamalkan andai tidak menyatakan ia hadis Nabi SAW.

Seterusnya Ibnu Hajar al-Asqalani juga membawakan riwayat yang menyebutkan: “Sesungguhnya bulan Rejab bulan yang mulia. Sesiapa yang berpuasa sehari di dalamnya maka Allah menuliskan pahala berpuasa 1000 tahun.” Riwayat ini tidak ada asal usulnya. Hanyalah rekaan semata-semata sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Hajar dan Imam Ibnu Jauzi yang mempunyai kitab khusus mengumpulkan hadis-hadis palsu.

Kita juga sering kali mendengar riwayat yang menyebutkan: “Rejab ialah bulan Allah, Syaaban ialah bulanku dan Ramadan ialah bulan umatku.” Ia juga turut disebutkan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani sebagai salah satu hadis palsu yang sering tersebar dalam kalangan masyarakat.

Hadis ini dinilai palsu kerana salah seorang penyampai hadis ini bernama Ali bin Abdullah bin Jahdham terkenal sebagai seorang yang sering memalsukan hadis. Ulama lain, seperti Imam Ibnu Jauzi, az-Zahabi dan as-Syaukani turut menyatakan ia palsu.

Banyak lagi hadis-hadis palsu berkaitan bulan Rejab tersebar luas baik di media massa atau lisan manusia. Pemalsuan hadis merupakan suatu jenayah besar yang mampu merosakkan umat Islam dan mencampakkan diri pelakunya ke dalam neraka. Sekalipun niat mereka baik seperti ingin mengajak manusia ke arah kebaikan atau menambah semangat untuk beramal soleh dan meninggalkan maksiat, namun tindakan mereka-reka hadis tidak dibenarkan Islam sama sekali.

Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kalian berdusta atas namaku. Sesiapa yang berdusta atas namaku pasti akan masuk neraka. (Muqaddimah Sahih Muslim) Moga kita berhati-hati dalam beramal dan tidak terlibat dengan hadis palsu.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: