Mengukur kemiskinan


BOLEHKAH ustaz jelaskan keadaan fakir dan miskin pada hari ini dan bagaimanakah pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan lain-lain institusi zakat mengenal pasti golongan ini?

Jawapan

Kemiskinan adalah subjektif dan relatif. Sukar bagi kita menentukan seseorang itu fakir ataupun miskin. Ini

Ada orang yang kelihatan bahagia dan nampak senang, sedangkan dia mungkin kekurangan belanja.

Ada juga orang yang nampak hebat bergaya, bertali leher dan berkereta besar, walhal pendapatannya benar-benar cukup makan. Maka, kaya atau miskin sukar ditentukan dek mata kasar.

Atas dasar itulah, dalam menentukan kaya dan miskin ini, khususnya bagi kalangan miskin bandar yang lebih sukar ditebak dengan mata kasar, maka LZS mewujudkan satu formula yang dikenali sebagai Had al-Kifayah.

Apakah makna Had al-Kifayah? Umumnya, Had al-Kifayah adalah suatu alat bagi mengukur kemiskinan. Secara mudah, ia digunakan bagi mengukur kecukupan perbelanjaan, dengan membandingkan pendapatan kasar dan perbelanjaan minimum sesebuah keluarga atau individu. Keputusan yang diperoleh pula lebih spesifik dan tepat dalam menentukan taraf seseorang pemohon zakat, sama ada kaya, miskin ataupun fakir (miskin tegar).

Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor 2002 memberikan definisi Had al-Kifayah sebagai: ‘Agihan zakat kepada asnaf dan individu fakir miskin yang perlu menepati kepada keperluan asasi sebenar.’ Sejajar dengan itu, maka institusi zakat wajar mengaplikasikan kaedah ini agar penentuan fakir miskin menjadi lebih tepat dan bantuan zakat lebih terfokus diuruskan.

Apakah pula kemiskinan? Umumnya orang menyangka, fakir miskin adalah kategori yang sama. Namun, hakikatnya tidak sama. Kerana itulah, fakir dan miskin adalah dua kategori yang layak mendapat zakat di samping enam asnaf lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk (diagihkan kepada) orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil yang menguruskannya, para mualaf untuk dilunakkan hatinya… (at-Taubah: 60)

Takrifan fakir, miskin

Namun, wujud sedikit khilaf dalam kalangan ulama fikah dalam menentukan takrif fakir dan miskin. Bagi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, mereka mentakrifkan fakir ialah orang yang memiliki harta tetapi tidak mencukupi keperluannya. Orang miskin pula ialah orang yang tidak memiliki apa-apa.

Manakala bagi takrifan Imam Syafie dan juga Hambali, fakir ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta dan miskin pula ialah orang yang mempunyai harta namun tidak mampu memenuhi kecukupan keperluannya.

Ringkasnya, pandangan Imam Syafie dan Imam Hambali adalah berlawanan dengan pandangan di sisi Hanafi dan Maliki. Bagi umat Islam di Malaysia, kita menerima pakai pendapat Imam Syafie.

Sementara itu, Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor tahun 2002, yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor telah mempersetujui bahawa takrifan fakir dan miskin itu ialah:

1. Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan atau ada pekerjaan tetapi tidak halal atau ada pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah, untuk keperluan diri atau keperluan diri tanggungannya.

2. Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan halal yang hanya boleh menampung 50 peratus untuk keperluan diri atau keperluan diri dan tanggungan tetapi tidak mencapai had kifayah.

Zaman awal Islam

Jika dirujuk pada zaman awal Islam sendiri pun sudah wujud kedua-dua jenis kemiskinan ini. Misalnya pada zaman Mekah, majoriti yang memeluk Islam ialah golongan fakir dan miskin. Manakala, selepas era hijrah ke Madinah, wujud golongan ahlus suffah yang mendiami masjid nabi dan golongan ini adalah golongan fakir.

Antara ahli suffah yang terkenal ialah Abu Hurairah r.a, Bilal bin Rabah dan ramai lagi. Dianggarkan ada kira-kira 100 orang ahlus suffah semuanya.

Abu Hurairah r.a misalnya, sering mengikat batu ke perutnya demi menahan kelaparan, bahkan pernah dianggap gila kerana bercakap-cakap sendirian menahan lapar.

Akhirnya, Rasulullah SAW membawanya pulang ke masjid nabi dan ditugaskan untuk menjaga gudang menyimpan hasil zakat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: