Bahaya budaya Hedonisme


EMOSI manusia dipengaruhi oleh apa yang berada di dalam hatinya. Emosi manusia terkadang ceria, sedih, marah, bosan dan sebagainya. Apa yang didengar dan dilihat oleh manusia akan mempengaruhi emosinya. Hati perlukan ketenangan untuk menjadi ceria dan gembira. Manusia memerlukan hiburan bagi menceriakan dan menggembirakan hati.

Islam sebagai agama yang diturunkan oleh Allah SWT, sesuai dan menepati fitrah manusia. Manusia memerlukan hiburan, maka Islam membenarkan manusia berhibur. Namun Islam memberikan garis panduan agar hiburan yang dilihat dan didengar oleh manusia itu, betul-betul mendatangkan manfaat kepada kehidupan manusia.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan, “Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan, Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum.” (Halal dan haram dalam Islam, hlm. 479)

Walaupun manusia dibenarkan oleh Allah SWT untuk mencari hiburan agar hati menjadi tenang dan mendatangkan keceriaan serta kegembiraan dalam hidup, namun manusia tidak dibiarkan menentukan apa sahaja atas nama hiburan. Apa yang dilihat dan didengar manusia memerlukan panduan daripada Allah SWT; Tuhan pencipta sekalian alam, Yang Maha Mengetahui apa yang mendatangkan manfaat atau mudarat kepada manusia dan kehidupan. Jika dibiarkan manusia bebas memilih bentuk hiburan yang disukai oleh nafsunya, maka kehidupan akan menjadi rosak dan porak peranda.

Hiburan di zaman moden kini yang berteraskan falsafah hedonisme, telah jauh terpesong daripada garis panduan Islam berkaitan hiburan. Hedonisme merupakan satu aliran falsafah yang menjelaskan bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup. Ia merupakan ajaran atau pandangan bahawa kesenangan atau kenikmatan merupakan tujuan hidup dan tindakan manusia (http://en.wikipedia.org/wiki/Hedonism).

Pemikiran kafir

Aliran falsafah hedonisme mula berkembang di Eropah Barat sekitar kurun 14 Masihi dan kemudian menjalar ke seluruh dunia (Wade, I.O, The clandestine organisation and diffusion of philosophic ideas in France dari 1700 hingga 1750, 1967). Pemikiran kafir ini telah lahirkan manusia yang hidup dalam kelalaian, mengamalkan gaya hidup bebas sehingga mengorbankan nilai akhlak mulia yang berteraskan agama. Malah, ia juga melahirkan manusia yang menjadikan keseronokan dan kemewahan yang berlebihan sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian.

Konsep hiburan yang lahir daripada hedonisme bukan sahaja gagal

memberi ketenangan jiwa dan kedamaian dalam sanubari manusia, bahkan mencetuskan masalah dan kecelaruan dalam kehidupan. Penganut hedonisme menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan yang disembah.

Oleh sebab itu, hiburan hedonistik bukan sahaja gagal mendidik jiwa, malahan mendorong kepada kelalaian, maksiat dan pergaulan bebas yang akhirnya mengundang kepada gejala sosial yang merosakkan kesejahteraan hidup umat Islam. Arak, dadah, dan wanita seksi yang menjadi teras hiburan hedonistik telah menjadikan kehidupan manusia masa kini punah ranah. (rujuk al-Jathiyah: 23)

Nabi SAW telah memberikan peringatan, akan ada dalam kalangan orang Islam di akhir zaman yang berhibur melampaui batas agama. Mereka ini dilabel oleh Nabi Muhammad sebagai “manusia berperangai kera dan babi”. Abu Malik al- Asy’ari melaporkan, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya sebahagian daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka serta dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi.” (riwayat Ibnu Majah)

Oleh itu, umat Islam wajib mengembalikan seluruh aspek kehidupan termasuk hiburan, kepada panduan Islam. Hiburan yang dibenarkan Islam adalah hiburan yang mendatangkan manfaat kepada hidup manusia. Sebaliknya, hiburan yang bertentangan dengan Islam, seperti hiburan hedonistik, adalah hiburan yang mendatangkan mudarat kepada hidup manusia.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: