Jawapan terhadap pemikiran anti hadis Kassim Ahmad


“PADA awal tahun 1985, saya terjumpa dan membaca sebuah buku bertajuk The Computer Speaks: God’s Message to the world oleh seorang sarjana Islam Mesir bernama Dr. Rashad khalifa, yang terbit pada 1981.

Buku ini secara saintifik membuktikan ketulenan al-Quran sebagai perutusan Tuhan kepada manusia yang sepenuhnya terpelihara, dan menarik perhatian pembaca kepada kesempurnaannya, lengkapnya dan keterperinciannya, menyebabkan manusia tidak memerlukan buku-buku lain sebagai sumber bimbingan.

Ini bermakna Hadith sekaligus tertolak sebagai sumber teologi dan perundangan. Ini satu kesimpulan yang mempunyai implikasi yang amat besar kepada teologi dan perundangan klasik Islam.

Ia berarti umat Islam mesti menimbang semula secara kritikal keseluruhan teologi dan perundangan tersebut. Ini satu kesimpulan yang sungguh mengejutkan bagi saya, tetapi dari segi lain, satu kesimpulan yang segar dan mencabar yang tidak dapat saya tolak begitu saja.

Oleh yang demikian, saya berazam untuk menguji semua kenyataan yang dibuat oleh Dr. Rashad Khalifa. Saya pun membaca dan mengkaji semua bukunya serta ulasan-ulasan yang telah dibuat terhadapnya dengan teliti.

Dalam masa lebih kurang tiga bulan saya berpuas hati bahawa tesis pokok Rashad Khalifa, iaitu Hadith/Sunnah merupakan satu penyelewengan daripada ajaran-ajaran Nabi Muhammad dan tidak boleh diterima sebagai sumber perundangan adalah benar. Ajaran Tuhan yang sebenar dalam zaman nabi terakhir, Nabi Muhammad, dan yang dibawa oleh beliau ialah Quran dan tidak yang lain daripada Quran.

Hadith atau Sunnah Nabi suatu ajaran palsu yang muncul antara 200-250 tahun kemudian dan yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad. Pendek kata penyelewengan umat Islam sejak itu ialah kerana mereka selepas menentang Nabi Muhammad dengan dakwaan mereka bahawa beliau telah membawa dua buah kitab, Quran dan Sunnah”.

Idea Kassim Ahmad di atas sebenarnya menyamai dengan tulisan Ignaz Goldziher (seorang anti Hadith di Barat) dalam bukunya Muhammedanische  Studien (1961) dengan kesimpulan bahawa kerana hadith ditulis dan dibukukan lama selepas Rasulullah meninggal, maka tidak mungkin menyeleksi hadith tersebut yang sangat banyak.

Kerana itu, ia mengatakan bahawa hadith hanyalah ucapan para sarjana awal muslim.

“Hadith atau Sunnah Nabi suatu ajaran palsu yang muncul antara 200-250 tahun kemudian dan yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad”. Ini adalah pandangan paling penting dari Kassim Ahmad yang perlu untuk dijawab dan diselidiki. Usaha menjawabnya ialah:

a.    Kassim tidak menulis, bagaimana kritik sejarah yang dilakukan ahli hadith dalam menyeleksi hadith-hadith palsu, seperti jarh ta’dil, syarat penerimaan rawi dan kritik matan. Justeru, kerana hadith ditulis 200 tahun selepas kewafatan Baginda, penyaringan itu perlu dilakukan.

Bila hadith telah ditulis secara lengkap pada waktu beliau hidup, maka syarat-syarat penerimaan hadith seperti ditulis dalam mustalah al-hadith mungkin tidak diperlukan lagi, kerana Nabi dapat mengetahui perbezaan antara hadith sahih dan maudu`. , mana yang asli dan tidak.

Kritik hadith yang dilakukan oleh ulama’ berasaskan kepada sanad, kethiqahan rawi, bersihnya matan hadith dari shadh dan illat. Jadi, hadith-hadith yang sedia ada hari ini telah dilakukan penyaringan secara sempurna dan penyelidikan yang lama oleh para pakar-pakar hadith sebelum ditulis dalam kitab masing-masing.

Contoh seperti Imam Malik mengaabil masa 40 tahun untuk menulis kitab Muwatta kerana kehati-hatian beliau, atau Imam Muslim berwuduk dan sembahyang dahulu, kemudian selepas yakin baru menulis hadith dalam bukunya.

b.    Tidak dapat dinafikan bahawa ada larangan menulis hadith di masa Nabi, namun ia bersifat umum. Tetapi secara khasnya diizinkan kepada orang-orang yang dapat membaca dan menulis dengan baik, seperti pada Abdullah bin Umar.

Ini juga diperkuat oleh hadith Nabi yang mengatakan: “Riwayatkanlah dari saya. Barang siapa sengaja berdusta atas nama saya maka tempatnya di neraka”.

Jadi penulisan hadith 200 tahun selepas Nabi wafat itu hanya dilakukan secara berama-ramai pada zaman Khalifah Umar b. Abdul Aziz. Secara individu, hadith sesungguhnya telah pun ditulis semasa Baginda  lagi.

Mustafa Muhammad Azami (1989), Kajian dan Metodologi Penulisan Hadith, terj: Engku Ibrahim Engku Ismail (Kuala Lumpur; DBP), pakar hadith moden dari Arab Saudi membuktikan bahwa penulisan hadith sudah dimulai sejak Nabi SAW  masih hidup, bahkan berterusan sampai kurun-kurun sesudahnya.

Beliau mencatat bentuk-bentuk periwayatan dan penyebaran hadith di masa Rasul, seperti penubuhan sekolah, arahan Rasul berhubung penyebaran ilmu, galakan kepada guru dan penuntut.

Para sahabat Nabi yang telah menulis hadith adalah Umul Mu’minin Aisyah, Abdullah bin Abbas, Jabir bin Abdullah, Abdullah bin Amr bin Al-Asy, Umar bin Khattab dan Ali bin Abi Thalib.

Sehingga di masa itu dijumpai sejumlah naskah hadith, seperti al-Sahifah al-Sahihah yang berisi hadith Abu Hurairah yang disimpan oleh muridnya Humam b. Munabbih.

Naskah ini dijumpai oleh Prof. Dr. Hamidullah dalam bentuk manuskrip di Berlin dan Damaskus. Ada juga al Sahifah al-Sadiqah yang ditulis oleh Abdullah b. Amir b. `Ash. Seorang sahabat yang oleh Abu Hurairah dinilai banyak mengetahui hadith dan sahabat yang mendapat izin langsung untuk menulis apa sahaja dari Rasul, samada beliau redha atau marah.

Ada juga Mushaf  Sumarah ibn Jundab, Sahifah Jabir b. Abdullah. Keterangan lebih luas tentang kedua mushaf ini, dapat dibaca dalam karya Subhi al Salih (1977), ‘Ulum al Hadith wa Mustalahuhu.

“Sebaliknya saya berpendapat ajaran-ajaran palsu inilah (hadith/sunnah) yang telah dan terus menjadi punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar di kalangan umat Islam selama lebih seribu tahun. Nyata sekali bagi mereka yang melihat dan menggunakan akal bahawa di mana-mana di seluruh dunia Islam hari ini tidak wujud perpaduan dan kerjasama yang kita kehendaki dan seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad”.

a.    Kassim tidak menjelaskan bukti sejarah perpecahan umat Islam yang disebabkan oleh hadith. Jadi, kita sulit mencanggahnya. Sebab, dalam pandangan penulis, kekacauan umat Islam sejak mula hingga sekarang tidak disebabkan hadith, tapi kerana politik.

b.    Menurut Imam al-Maududi fahaman khawarij merupakan sebab asal perpecahan ukhuwah islamiah. Mereka ini hanya mengambil apa yang tersurat dalam al Qur’an dan Sunnah, sehingga pentafsirannya sangat keras, seperti  mewajibkan wanita haid berpuasa, Asas pendiriannya ialah La hukma illa lillah. Ia juga mengkafirkan Ali kerana mengutus Musa al Asy`ari untuk bermesyuarat dengan Amr b. Ash dalam perang Shiffin, dan lain-lain.

Pemahaman dan pendirian seperti inilah yang terus sampai sekarang menjadi bentuk kekerasan dan kekacauan ditengah umat Islam. Jadi bukan sebab hadith.

“Selanjutnya, sungguh menarik kalau kita perhatikan penggunaan perkataan perkataan ‘sunnah’ dan ‘hadith’ dalam Quran. Perkataan ‘sunnah’ digunakan dengan tiga makna: institusi atau adat-resam, kelakuan, tabiat atau sistem, dan nasib.

Tiada satu pun perkataan ‘sunnah’ merujuk kepada kelakuan atau tabiat Nabi. Banyak perkataan ‘sunnah’ merujuk kepada sistem Tuhan, seperti: “Demikianlah dengan semua Rasul yang lalu, dan engkau akan mendapati sunnah kami tidak berubah”. (17:77). “Inilah sunnah Tuhan yang senantiasa berlaku.

Sunnah Tuhan tidak berubah-ubah”. (48:23). “Nabi memberitahu kepada setengah isterinya suatu rahsia (hadith), tetapi seorang daripada mereka membocorkannya…” (66:3). Sebaliknya, perkataan ‘hadith’ digunakan sebanyak sebelas kali dalam Quran untuk merujuk kepada Quran. Umpamanya:

“Inilah wahyu-wahyu Tuhan yang kami bacakan kepadamua dengan sebenarnya; hadith yang manakah selain wahyu-wahyu ini yang mereka percayai? (45:6). “Tuhan menurunkan hadith terbaik, sebuah kitab yang tidak bercanggah, dan menyatakan kedua-dua jalan (ke syurga dan neraka)”. (39:23).

“Ini sebuah kitab yang mulia. Dalam sebuah kitab yang sepenuhnya terpelihara. Tiada siapa boleh menyentuhnya kecuali yang terbaik. Ini sebuah wahyu dari Tuhan sekalian alam. Kamu ingin mengelak hadith inikah?” (56:77-81)”.

a.    Kassim tidak menuqil surah al Nahl ayat 46 & 64. Ayat ini adalah dalil bahawa tugas Nabi ialah menjelaskan firman Allah. Kassim hanya menuqil ayat-ayat al-Quran untuk menyokong pendapatnya sahaja. Dalam konteks akademik, ini tidak ilmiah.

b.    Istilah sunnah dan hadith dalam al-Quran yang merujuk kepada pelbagai makna, menurut penulis hanyalah pengertian secara linguistik, tidak merujuk kepada hadith sebagai disiplin ilmu. Kerana itu, ia bukan dalil untuk menyanggah tidak adanya hadith dan hanya berpegang kepada al Qur’an sahaja. Wallahu A`lam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: