Ikhtilaf dalam memahami hukum syarak


ISLAM merupakan agama yang seimbang antara akidah, syariah dan akhlak. Akhlak yang mulia adalah pra syarat utama bagi memastikan seseorang itu menjadi seorang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Dalam membicarakan tentang perbezaan pendapat, terdapat adab yang wajib dimiliki oleh setiap umat Islam (al-Qaradawi, al-Sahwah al-Islamiyyah bayn al-ikhtilaf al-mashru’ wa al-tafarruq al-madhmum, 1994):

* Ikhlas niat dan menjauhi hawa nafsu.

* Membebaskan diri daripada fanatik terhadap seseorang individu, mazhab atau organisasi.

* Bersangka baik kepada orang lain.

* Menjauhi perbuatan menghina dan merendah-rendahkan golongan yang berlainan pendirian.

* Menjauhi percakapan yang kotor dan tidak beradab ketika berbeza pendapat.

* Berdialog dengan cara ihsan.

Allah SWT menurunkan al-Quran di mana sebahagian ayatnya bersifat muhkamat dan sebahagiannya mutashabihat. Ayat muhkamat menjelaskan hukum secara jelas dan para ulama sepakat dalam memahaminya. Manakala, ayat mustashabihat pula, maksudnya tidak jelas, yang menyebabkan para ulama berselisih pendapat untuk memahaminya. Ini sudah pasti menghasilkan perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam.

Golongan yang cuba untuk mengajak seluruh manusia hanya berpegang dengan satu pendapat dalam persoalan cabang agama, sama ada berkaitan ibadat, muamalat dan sebagainya, mereka cuma memperjuangkan sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku.

Usaha mereka untuk menghapuskan khilaf tidak akan membuahkan hasil, tetapisemakin meluaskan jurang ikhtilaf (perbezaan pendapat). Usaha tersebut hanya menggambarkan kedangkalan ilmu golongan yang memperjuangkannya kerana ikhtilaf dalam memahami hukum syarak yang bukan bersifat asasi merupakan suatu keperluan.

Ia merujuk kepada tabiat agama Islam, bahasa Arab, sifat manusia, sifat alam dan kehidupan. Kesemua tabiat tersebut menggambarkan kepastian akan wujud ikhtilaf dalam kehidupan umat manusia.

Di samping itu, ikhtilaf yang berlaku dalam persoalan cabang merupakan suatu rahmat dan memberikan keluasan bagi umat manusia melaksanakan perintah Allah SWT dalam kehidupan (al-Qaradawi, al-Sahwah al-Islamiyyah bayn al-ikhtilaf al-mashru’ wa al-tafarruq al-madhmum, 1994).

Jika Allah SWT menghendaki umat Islam ini dalam satu pendapat sahaja, sudah tentu Dia Maha Berkuasa menurunkan semua ayat al-Quran itu bersifat muhkamat (al-Qaradawi, al-Sahwah al-Islamiyyah bayn al-ikhtilaf al-mashru’ wa al-tafarruq al-madhmum, 1994).

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat ketujuh yang bermaksud: Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu ialah ayat-ayat muhkamat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat muhkamat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat mutashabihat (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu agama berkata, “Kami beriman kepadanya. Semuanya itu datangnya daripada sisi Tuhan kami.” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Begitu pun, tidak semua ikhtilaf itu dibenarkan oleh syarak. Peringatan daripada Allah SWT sebagaimana firman-Nya: Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Kristian) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka), sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah) dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (Ali Imran: 105)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: