Suami enggan berzakat


SAYA dalam kebingungan memikirkan suami saya, seorang usahawan berjaya yang enggan mengeluarkan zakat. Sudah puas saya memujuk, malah membelikan buku berkaitan zakat, termasuklah meminta orang lain memaklumkan kewajipan zakat kepadanya, namun dia masih enggan. Adakah saya dikira bersubahat dan berdosa atas keengganan suami menunaikan zakat? Adakah ada cara atau kaedah untuk saya melepaskan suami saya daripada dosa kerana keengganannya menunaikan zakat? Saya bimbang jika tersalah langkah, saya menjadi nusyuz kepada suami saya. Harap penjelasan ustaz.

Jawapan:

Permulaan bicara, syabas dan tahniah diucapkan kepada puan kerana mempunyai kesedaran dan berusaha untuk menghayati ibadah zakat. Kendatipun suami puan enggan menunaikan zakat, namun puan sebaliknya tidak pernah rasa putus asa untuk menasihati dan mencari jalan agar dia menunaikan kewajipan zakat, suatu kefarduan yang amat besar peranannya di sisi Islam. Tahniah saya ucapkan.

Baiklah, mari kita cuba telusuri apakah tindakan yang wajar dilaksanakan, agar kehidupan rumah tangga puan dan suami kekal harmoni dan pada masa yang sama mampu mengundang keberkatan daripada Allah SWT. Semoga Allah SWT membantu kita, dalam menghuraikan kekusutan ini.

Allah SWT berfirman: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 71)

Maka, kesediaan puan mendakwahi suami puan itu dikira suatu inisiatif yang sangat baik. Namun, dek kerana keengganannya, maka di sisi Islam puan sudah dikira terlepas daripada dosa. Ini kerana, kemampuan seseorang itu dalam mencegah kemungkaran adalah tertakluk kepada kondisi dan kemampuannya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: Sesiapa yang melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mencegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu maka dicegah dengan lisan dan jika tidak mampu, maka dicegah dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. (hadis sahih riwayat Imam Muslim daripada Abu Said al-Khudri r.a)

Justeru, kedudukan seorang isteri, adalah lebih rendah daripada suaminya. Seorang isteri tidak boleh memukul suami, memisahkan tempat tidur suami atau menceraikan suami atas keingkaran suaminya. Maka, keterbatasan ini adalah suatu kondisi yang menjadikan puan tidak lagi menanggung dosa jika suami enggan mendengar atau menuruti nasihat puan.

Antara jalan yang ditunjuki syarak ialah, puan boleh mengadu kepada pihak berwajib agama untuk menasihati suami yang nusyuz atau derhaka kepada Allah SWT. Pastinya, hal ini tidak disenangi oleh pihak suami. Maka, wajarlah puan berhati-hati menasihatinya.

Marilah sama-sama kita berdoa agar di negara kita kelak wujud satu akta, enakmen atau perundangan zakat yang lebih mantap dalam melaksanakan kewajipan zakat. Ini kerana, berdasarkan sejarah, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah menguatkuasakan perundangan yang tegas kepada para pengingkar zakat. Abu Bakar telah memerintahkan agar mereka yang enggan menunaikan zakat itu diperangi, sehinggalah mereka kembali menunaikan zakatnya.

Malah, jika kita merujuk kepada firman Allah SWT dalam ayat 103, surah at-Taubah: Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat), maka para fuqaha menyatakan, kalimah ‘ambillah’ itu adalah satu ‘kata perintah’ yang mengindikasikan, hanya pihak pemerintah sahajalah yang mampu dan berhak mengambil harta umat Islam andai mereka enggan menyerahkannya dengan rela. Apa lagi jika ia bukan zakat, satu kewajipan yang hakiki di sisi agama.

Insya-Allah, semoga dengan wujudnya suatu ketegasan dalam aspek perundangan, maka mereka yang selama ini berasa malas menunaikan zakat, atau sengaja mengabaikan zakat, merasa lebih gerun untuk bersikap sambil lewa dalam ibadah zakat.

Dalam pada itu, saya berdoa agar suami puan dan semua orang yang mempunyai masalah yang sama, sama ada sahabat, jiran, ibu bapa atau sesiapa sahaja, terbuka pintu hatinya untuk menjalani setiap ibadah yang sudah ditetapkan Allah SWT, sama ada solat, zakat, puasa dan haji dengan rela hati. Sesungguhnya, hanya kepada Allah SWT kita berserah diri. Wallahua’lam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: