Keistimewaan amil zakat


MUTAKHIR ini, sering timbul desas-desus dalam kalangan umat Islam tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap institusi zakat. Mereka mempertikaikan, misalnya kenapakah pihak pusat zakat kelihatan mewah berbelanja, sedangkan masih ramai orang miskin? Soalannya, adakah salah sekiranya amil menggunakan wang zakat? Adakah benar pandangan bahawa wang zakat itu hanyalah khusus untuk orang fakir dan miskin?

Jawapan:

SAYA ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas soalan yang telah diajukan. Memang tidak dinafikan, zaman ini di mana facebook sudah menjadi senjata, maka ramai pihak yang sering mempertikaikan sesuatu perkara dengan sewenang-wenangnya. Walhal, perkara yang mereka pertikaikan itu belum tentu lagi betul atau salahnya.

Malah, tidak berapa lama dahulu ada pihak yang telah menghubungi Lembaga Zakat Selangor (LZS) demi meminta penjelasan, kenapakah pihak LZS menghasilkan kalendar yang cantik dan berkualiti, kerana dia beranggapan tidak wajar LZS menggunakan wang zakat untuk tujuan tersebut. Mujurlah dia bertanya, maka mudahlah pihak LZS memberikan jawapan.

Pertamanya, apakah kedudukan amil di dalam Islam? Maka, di sini Allah SWT dengan terang dan jelas telah meletakkan status amil sebagai golongan (asnaf) yang berhak ke atas zakat. Kedudukan asnaf amil, samalah seperti asnaf zakat yang lain, sama ada fakir, miskin, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil yang semuanya disebut mustahiq (orang yang berhak) ke atas zakat.

Maka, seandainya ada pihak yang dengan sengaja menafikan hak amil ke atas zakat, maka samalah kiranya mereka menolak suatu ketetapan daripada Allah SWT. Sedangkan Allah SWT telah menuntaskan di dalam firman-Nya pada surah at-Taubah ayat 60: Inilah suatu ketetapan daripada Allah. Apakah hukumnya jika sengaja menolak ketetapan Allah SWT? Bukankah ia boleh merosakkan akidah?

Kedua, Kedudukan amil juga dijamin di dalam hierarki agihan zakat. Ini kerana, dalam lapan asnaf zakat, Allah SWT telah menyusun kedudukan amil pada tangga ketiga dalam kumpulan empat yang pertama, daripada lapan asnaf zakat. Dalam istilah fiqh, ia disebut sebagai asnaf yang muqaddam (utama), dan empat yang kedua disebut asnaf yang muakkhar (terkemudian).

Kedudukan ini secara langsung menjelaskan, betapa pihak pemerintah wajib mengutamakan kebajikan para amil zakat. Misalnya, mereka hendaklah diberikan upah yang sesuai dengan tanggungjawab, dijaga aspek kebajikan diri dan keluarga mereka serta dijamin masa hadapan mereka. Amil yang terjaga aspek sosialnya, maka mereka lebih fokus menjaga kebajikan semua asnaf yang lain.

Berhemah

Ketiga, Rasulullah SAW sendiri memerintahkan agar umat Islam melayan para amil dengan baik dan berhemah. Pernah dikhabarkan, daripada Jarir bin Abdullah r.a, bahawa orang-orang Arab Badwi telah mengadu kepada Nabi Muhammad SAW, kononnya para amil telah datang ke perkampungan mereka untuk menganiayai mereka. Nabi sebaliknya telah menegaskan: Layanilah para amil itu dengan baik. Dan kata Jarir, sejak itu aku tidak lagi mendengar, kecuali para amil pulang dengan hati yang puas dan senang. (riwayat Imam Muslim)

Penulis percaya, orang-orang Arab Badwi itu mengadu mereka dianiayai, kerana para amil itu telah menaksirkan zakat mereka dan mengambilnya, dalam keadaan mereka merasakan ia adalah harta mereka (yang terpaksa diserahkan walau mereka tidak rela). Hal ini masih terjadi sehingga sekarang, kerana masih ada orang yang kedekut dengan hartanya dan merasakan zakat seolah-olah ‘merampas’ hartanya.

Jika tidak, masakan Allah SWT mengancam bahawa orang yang enggan berzakat, maka mereka akan diselar dengan api neraka di akhirat dan disiksa dengan harta mereka yang mereka sayangi semasa di atas dunia.

Keempat, amil juga perlu diperkasakan seiring dengan perubahan masa. Adakah umat Islam merasa wajar, para amil masih mengayuh basikal, memakai mesin taip lama, mendiami pojok masjid dan menggunakan teknologi ketinggalan zaman dalam menguruskan zakat? Walhal, sejarah menunjukkan bagaimana pada zaman sahabat sendiri, amil telah diperkasakan.

Misalnya, telah dicatatkan pada zaman Umar al-Khattab r.a, baginda telah menyusun pentadbiran negara dengan baik dan melantik amil secara bergaji tetap. Bahkan, diwujudkan amil khas yang bertugas menaksir harta umat Islam. Umar juga mengemas kini Baitul Mal, sebagai gudang pengumpulan harta termasuklah harta zakat. Di sini, amil telah disusun perkhidmatannya secara lebih sempurna.

Maka, semua ini menjadi dalil dan bukti, bahawa amil hendaklah diperkasakan sesuai dengan zamannya. Misalnya pada zaman nabi, amil masih bersifat peribadi, iaitutidak diinstitusikan, namun Umar telah pun menginstitusikannya. Maka, apabila amil diinstitusikan, ia menjadi lebih perkasa, gerak kerjanya lebih tersusun, senang dipantau oleh pemerintah dan menatijahkan keberkesanan dalam pengurusan zakat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: