Zakat itu beban?


ADA pihak yang merasakan, zakat yang diwajibkan di dalam agama Islam itu adalah membebankan. Ini kerana, misalnya seorang peniaga yang tidak mencapai keuntungan dalam urus niaganya; namun dia masih dikenakan zakat. Begitu juga dengan harta yang terkumpul, misalnya bagi seorang pesara yang hanya memanfaatkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)nya, juga diwajibkan zakat. Adakah benar tanggapan sedemikian ini?

Jawapan:

Semoga Allah SWT memberkahi kita dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim, yang sewajarnya berusaha mendaki anak-anak tangga keimanan menjadi manusia yang muttaqin. Semoga Allah SWT membimbing saya dalam menyajikan jawapan yang terbaik kepada persoalan yang telah dilontarkan oleh individu terbabit.

Benarkah zakat satu beban kepada umat Islam? Soalan ini sebenarnya, tidak wajar ditanya jika kita benar-benar merupakan seorang Mukmin yang sejati. Ini kerana, zakat adalah suatu ketetapan daripada Allah SWT, ia bersifat mutlak. Setiap Muslim, wajib mentaatinya. Meninggalkan zakat atau menafikannya, bukanlah ciri-ciri muslim yang taat, sebaliknya ia mencerminkan keangkuhan manusia, seperti Qarun yang dilaknat.

Di dalam sejarah, memang pernah ada manusia yang menganggap zakat sebagai beban ke atas dirinya. Akhirnya dia dimurkai oleh Rasulullah SAW. Kisahnya panjang sekali untuk dipaparkan di sini, namun cukuplah jika dikatakan, lelaki itu akhirnya menyesal seumur hidupnya kerana keangkuhannya mempertikaikan zakat. Para pembaca boleh merujuk kisah lelaki ini di dalam tafsir surah at-Taubah untuk mendapatkan penjelasannya dengan lebih terperinci.

Maka, melalui medium yang amat terbatas ini saya akan cuba memaparkan beberapa hujah betapa zakat bukanlah suatu peraturan yang menekan umat Islam. Sebaliknya, zakat adalah suatu ketentuan yang di penghujungnya, ada natijah yang cukup baik buat kehidupan. Sama ada kehidupan peribadi seseorang, mahu pun kehidupan sesebuah komuniti atau ummah secara keseluruhan.

Pertama, zakat tidak diwajibkan kecuali kepada mereka yang hartanya sudah berkelebihan daripada keperluannya yang asasi, yakni sudah memenuhi keperluan diri dan tanggunganya. Jika tidak memenuhi dan orang itu masih mahu berzakat sehingga menyebabkan orang yang menjadi tanggungan wajibnya teraniaya, maka orang yang berzakat itu dikira berdosa.

Firman Allah SWT: Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang apa yang perlu mereka nafkahkan (zakatkan), jawablah: Apa yang berlebih daripada keperluan. (al-An’am: 141)

Kedua, zakat dikenakan bagi harta yang cukup nisab. Harta yang di bawah paras nisab, walaupun terkurang satu sen maka tidak diwajibkan zakat ke atasnya. Nisab ini pula berubah-ubah mengikut harga 85 gram emas semasa, maka semakin tinggi nisab, hanya mereka yang layak sahajalah mampu berzakat. Ia tidak menzalimi orang yang tidak mampu.

Ketiga, zakat dikenakan setelah genap setahun bagi harta yang cukup nisab dalam milikan sempurna seseorang. Maka, jika tiba-tiba lagi sehari mahu cukup haul tetapi ada keperluan yang mendesak, sehingga terkurang nisabnya walau seringgit, maka tidak wajib baginya menunaikan zakat.

Keempat, zakat dikenakan setelah mengambil kira keperluan dalam perusahaan. Misalnya, petani yang menjalankan projek pertanian, maka fuqaha mengizinkan dia menolak dahulu kos ke atas projek pertaniannya sebelum dikeluarkan zakatnya. Demikian jugalah dalam zakat perniagaan, aset tetap tidak diambil kira dalam kiraan zakatnya.

Kelima, jika berhutang, maka diizinkan dahulu menolak hutang sebelum zakat dikeluarkan, dengan syarat hutang itu hutang yang sudah sampai tempohnya. Misalnya, si A berhutang RM10,000 dan dia berjanji melunasinya pada 31 Disember 2014, maka sampai tarikh itu dia hanya ada RM20,000 dalam simpanan, setelah ditolak RM10,000, terkurang daripada nisab, maka tidak wajiblah dia berzakat.

Keenam, Islam juga mensyaratkan harta yang wajib zakat itu mempunyai syarat an-nama’ iaitu mampu untuk berkembang atau dikembangkan. Misalnya, haiwan ternakan dan wang. Maka, jika rumah atau kenderaan yang digunakan sendiri tidak wajib zakat, biarpun nilainya jutaan ringgit selagi ia tidak mendatangkan hasil. Setelah aset itu dijadikan sumber penghasilan, misalnya rumah yang disewa, maka hasil sewaan itulah yang dizakatkan.

Ketujuh, zakat harta juga diwajibkan dalam kadar tetap yang amat minimum, iaitu 2.5 peratus. Jumlah ini relatifnya amat kecil jika mahu dibandingkan dengan jumlah sehingga 25 peratus ke atas cukai pendapatan atau 50 peratus bagi kegunaan lain, yang sering manusia belanjakan. Maknanya, Allah SWT tidak mahu menekan hamba-hamba-Nya dengan kadar zakat yang tinggi, namun ia lebih sekadar untuk menguji jati diri seorang Mukmin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: