Archive for Februari 2014

Karya pertama ilmu tajwid

ILMU tajwid adalah ilmu yang terawal wujud berbanding dengan ilmu yang lain. Ini kerana ilmu tajwid mengiringi penurunan al-Quran dan peranannya ialah menjaga bacaan al-Quran. Dalam prinsip disiplin ilmu tajwid, dinyatakan bahawa kepentingannya ialah untuk memastikan al-Quran dibaca dengan betul dan menjaga lidah daripada melakukan kesalahan.

Pada mulanya, ilmu tajwid diamalkan dalam pembacaan tanpa dicatat di dalam penulisan. Semua hukum-hakamnya, sama ada izhar, idgham, iqlab, mad wajib, mad lazim dan lain-lain diamalkan walaupun ketika itu belum diistilah dengan nama tertentu. Jika qari salah membaca al-Quran, guru akan memberi teguran sebagaimana berlaku kepada Abdullah Ibnu Mas’ud r.a.

Al-Tabarani dalam Mu’jam al-Kabir meriwayatkan kisah Abdullah Ibnu Mas’ud yang mengajar seorang lelaki membaca al-Quran. Lelaki itu membaca kalimah al-Fuqara’ dengan memendekkan sebutannya. Lalu Abdullah Ibnu Mas’ud r.a memberi teguran dengan berkata, “Bukan begitu Rasulullah SAW mengajar ku membacanya.” Lelaki itu bertanya. “Bagaimanakah Rasulullah SAW mengajar kamu membacanya wahai Abu Abdul Rahman? Lalu Abdullah Ibnu Mas’ud membacanya dengan memanjangkan suara pada al-Fuqara’.

Karya pertama dalam ilmu tajwid ditulis oleh Abi Muzahim Musa al-Khaqani dari Baghdad yang meninggal dunia pada 325 Hijrah. Penulisan pertama ini mencetus idea ulama selepasnya untuk lebih teliti dan kemas dalam penulisan tajwid. Kitab tersebut ditulis dalam bentuk syair sebanyak 51 rangkap.

Kandunganya antara lain menyebut tujuh imam Qiraat Nafei’, Ibnu Kathir, Abu Amru, Ibn ‘Amir, Asim, Hamzah dan al-Kisaie. Dinyatakan juga beberapa kelebihan membaca al-Quran. Dalam perbahasan tajwid, penulisnya mengulas tentang huruf yang dibaca dengan tebal dan huruf yang dibaca dengan nipis.

Kaedah yang penting juga ialah keperluan pembaca al-Quran menjaga bacaannya supaya tidak berlaku penambahan dan selalulah meminta petunjuk daripada Allah SWT. Beliau juga menyebut tentang perlunya menyebut huruf mengikut kadarnya dan jangan melebihkan sebutannya kerana ia adalah sebaik-baik amalan.

Walaupun karya pertama tajwid ini ringkas tetapi kandungannya adalah berkaitan prinsip membaca al-Quran. Abu Amru yang meninggal dunia pada 444 Hijrah adalah merupakan seorang yang alim dalam ilmu tajwid dan qiraat telah membuat huraian terhadap karya Abu Muzahim tersebut.

Dalam syarahnya, Abu Amru membawa pendapat atau pandangan yang lebih luas. Dalam isu mengajar al-Quran umpamanya, Abu Muzahim menyarankan agar mengajar murid tidak melebihi 10 ayat. Namun begitu, dalam syarahnya Abu Umru al-Dani menyebut bahawa jika guru mendapati muridnya menguasai kaedah bacaan dan lidahnya lembut untuk membaca al-Quran maka diizinkan untuk membaca lebih daripada 10 ayat.

Beliau membawa sejarah ulama sebelumnya belajar al-Quran. Imam Hamzah mengajar al-Quran kepada Sufian al-Thauri. Setiap kali membaca di hadapan Imam Hamzah, Sufian al-Thauri membaca dengan 50 ayat, diikuti dengan Sulaim Ibnu Isa, al-Kisai dan rakan-rakanya yang membaca sebanyak 30 ayat dan seterusnya al-Yasykuri membaca 10 ayat. Warsy seorang perawi kepada Imam Nafie’ meriwayatkan bahawa gurunya itu mengajar al-Quran dengan 30 ayat kepada setiap seseorang.

Suami enggan berzakat

SAYA dalam kebingungan memikirkan suami saya, seorang usahawan berjaya yang enggan mengeluarkan zakat. Sudah puas saya memujuk, malah membelikan buku berkaitan zakat, termasuklah meminta orang lain memaklumkan kewajipan zakat kepadanya, namun dia masih enggan. Adakah saya dikira bersubahat dan berdosa atas keengganan suami menunaikan zakat? Adakah ada cara atau kaedah untuk saya melepaskan suami saya daripada dosa kerana keengganannya menunaikan zakat? Saya bimbang jika tersalah langkah, saya menjadi nusyuz kepada suami saya. Harap penjelasan ustaz.

Jawapan:

Permulaan bicara, syabas dan tahniah diucapkan kepada puan kerana mempunyai kesedaran dan berusaha untuk menghayati ibadah zakat. Kendatipun suami puan enggan menunaikan zakat, namun puan sebaliknya tidak pernah rasa putus asa untuk menasihati dan mencari jalan agar dia menunaikan kewajipan zakat, suatu kefarduan yang amat besar peranannya di sisi Islam. Tahniah saya ucapkan.

Baiklah, mari kita cuba telusuri apakah tindakan yang wajar dilaksanakan, agar kehidupan rumah tangga puan dan suami kekal harmoni dan pada masa yang sama mampu mengundang keberkatan daripada Allah SWT. Semoga Allah SWT membantu kita, dalam menghuraikan kekusutan ini.

Allah SWT berfirman: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 71)

Maka, kesediaan puan mendakwahi suami puan itu dikira suatu inisiatif yang sangat baik. Namun, dek kerana keengganannya, maka di sisi Islam puan sudah dikira terlepas daripada dosa. Ini kerana, kemampuan seseorang itu dalam mencegah kemungkaran adalah tertakluk kepada kondisi dan kemampuannya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: Sesiapa yang melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mencegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu maka dicegah dengan lisan dan jika tidak mampu, maka dicegah dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. (hadis sahih riwayat Imam Muslim daripada Abu Said al-Khudri r.a)

Justeru, kedudukan seorang isteri, adalah lebih rendah daripada suaminya. Seorang isteri tidak boleh memukul suami, memisahkan tempat tidur suami atau menceraikan suami atas keingkaran suaminya. Maka, keterbatasan ini adalah suatu kondisi yang menjadikan puan tidak lagi menanggung dosa jika suami enggan mendengar atau menuruti nasihat puan.

Antara jalan yang ditunjuki syarak ialah, puan boleh mengadu kepada pihak berwajib agama untuk menasihati suami yang nusyuz atau derhaka kepada Allah SWT. Pastinya, hal ini tidak disenangi oleh pihak suami. Maka, wajarlah puan berhati-hati menasihatinya.

Marilah sama-sama kita berdoa agar di negara kita kelak wujud satu akta, enakmen atau perundangan zakat yang lebih mantap dalam melaksanakan kewajipan zakat. Ini kerana, berdasarkan sejarah, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah menguatkuasakan perundangan yang tegas kepada para pengingkar zakat. Abu Bakar telah memerintahkan agar mereka yang enggan menunaikan zakat itu diperangi, sehinggalah mereka kembali menunaikan zakatnya.

Malah, jika kita merujuk kepada firman Allah SWT dalam ayat 103, surah at-Taubah: Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat), maka para fuqaha menyatakan, kalimah ‘ambillah’ itu adalah satu ‘kata perintah’ yang mengindikasikan, hanya pihak pemerintah sahajalah yang mampu dan berhak mengambil harta umat Islam andai mereka enggan menyerahkannya dengan rela. Apa lagi jika ia bukan zakat, satu kewajipan yang hakiki di sisi agama.

Insya-Allah, semoga dengan wujudnya suatu ketegasan dalam aspek perundangan, maka mereka yang selama ini berasa malas menunaikan zakat, atau sengaja mengabaikan zakat, merasa lebih gerun untuk bersikap sambil lewa dalam ibadah zakat.

Dalam pada itu, saya berdoa agar suami puan dan semua orang yang mempunyai masalah yang sama, sama ada sahabat, jiran, ibu bapa atau sesiapa sahaja, terbuka pintu hatinya untuk menjalani setiap ibadah yang sudah ditetapkan Allah SWT, sama ada solat, zakat, puasa dan haji dengan rela hati. Sesungguhnya, hanya kepada Allah SWT kita berserah diri. Wallahua’lam

Bolehkah merotan anak?

KES pasangan Malaysia di Sweden yang ditahan kerana disyaki mendera anak kerana tidak solat telah menjadi berita besar. Pasangan tersebut masih ditahan di sana walaupun anak-anak mereka telah berjaya dibawa pulang. Banyak perbincangan telah dibuat mengenai isu ini.

Ramai dalam kalangan masyarakat tidak selesa dengan kewujudan undang-undang yang ada di Sweden, di mana ibu bapa hilang hak mendisiplinkan anak-anak dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sebenarnya, Malaysia juga sudah lama menguatkuasakan Akta Kanak-Kanak 2001 dan memasukkan pelbagai peruntukan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak.

Di Malaysia, jika ibu bapa atau penjaga mendera anak-anak, mereka tetap akan ditahan polis dan dikenakan tindakan undang-undang yang boleh membawa hukuman denda dan penjara (rujuk seksyen 31).

Di Malaysia juga Pegawai Pelindung boleh menyelamatkan kanak-kanak jika mereka memerlukan pemeliharaan dan perlindungan seperti yang diperuntukan oleh seksyen 31 iaitu: (a) kemungkinan dicederakan, ibu bapa abai, cuai, tidak layak, buang anak, atau kanak-kanak membahayakan diri sendiri atau ibu bapa bertelingkah dan sebagainya.

Jika dilihat, terlalu banyak kategori yang membolehkan Pegawai Pelindung bertindak menyelamatkan kanak-kanak dan meletakkan mereka di rumah ibu bapa pelihara atau foster (ibu-bapa angkat).

Namun persoalan yang ingin saya bincangkan ialah sejauh mana ibu bapa boleh merotan anak-anak mereka jika enggan solat?

Sebenarnya kontroversi ‘memukul’ dalam Islam sering disebut dalam hal memukul isteri berlandaskan ayat al-Quran. (rujuk al-Nisa’: 34).

Kebanyakan orang beranggapan ayat ini lesen untuk memukul isteri sedangkan Islam adalah agama yang mengutamakan kasih sayang.

Semasa membincangkan Akta Keganasa Rumah Tangga 1994, isu pukul isteri ditimbulkan kerana bilangan kes tertinggi datang daripada orang Islam.

Samalah juga dengan merotan atau mendera anak. Jika dilihat data kes, bilangan tertinggi ialah daripada keluarga Islam. Ini memberi gambaran bahawa Islam itu mendidik anak dengan keganasan supaya anak takut dan berdisiplin.

Islam adalah agama yang mementingkan kasih sayang. Daripada segi merotan anak, dalil dalam sebuah hadis Nabi SAW: “Ajarilah anakmu untuk menunaikan solat ketika usianya tujuh tahun dan pukullah mereka sekiranya sudah berusia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara lelaki dan perempuan).”

Ibnu Qudamah berpendapat hukum sebatan terhadap kanak-kanak merupakan suatu hukuman pemulihan yang disyariatkan untuk melatih kanak-kanak melakukan sesuatu kewajipan seperti solat. Para juri bersepakat yang kanak-kanak boleh dikenakan sebatan yang ringan untuk tujuan pendidikan dan wajib bagi bapa atau datuk melaksanakannya. Hanya kanak-kanak yang berusia lebih 10 tahun boleh dikenakan hukuman sebatan ringan.

Namun, terdapat hadis yang menunjukan bahawa Nabi SAW tidak suka kepada orang yang menghukum kanak-kanak secara fizikal.

Dalam sebuah hadis Abu Mas’ud mengatakan: “Aku telah memukul seorang hamba kanak-kanak lelaki dengan rotan dan aku mendengar suatu suara di belakangku. Ketahuilah wahai Abu Mas’ud. Tetapi aku tidak tahu bahawa suara itu bernada kemarahan. Ketika suara itu menghampiri, dia adalah Rasulullah. Maka, baginda pun bersabda: Ketahuilah wahai Abu Mas’ud. Aku pun menjatuhkan rotan daripada tanganku dan Rasulullah bersabda: Ketahuilah wahai Abu Mas’ud, bahawa Allah telah menetapkan ke atas kamu tanggungjawab berhadap hamba lelaki ini. Maka, aku berkata, Aku tidak akan memukul hamba lagi selepas itu selamanya.” (Sahih Muslim)

Hadis Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Gantungkanlah rotan sehingga rotan itu dapat dilihat oleh ahli keluarga, sesungguhnya itu boleh mendidik mereka.

Al-Manawi, ketika membincangkan maksud hadis ini berkata: “Rotan tersebut adalah pendorong kepada seseorang untuk beradab dan berakhlak dengan akhlak mulia dan nilai-nilai murni yang kebanyakan jiwa yang keras menanggung kesusahan yang berat untuk melaksanakannya.”

Pandangan al-Manawi ini membuktikan bahawa rotan secara simbolik, tanpa perlu digunakan boleh memberikan kesan kepada tingkah laku seseorang, terutamanya kanak-kanak. Jika dilihat daripada pandangan di atas, ibu bapa mempunyai kewajipan mendidik dengan ilmu agama terlebih dahulu sebelum dididik dengan perkara ilmiah yang lain.

Keistimewaan amil zakat

MUTAKHIR ini, sering timbul desas-desus dalam kalangan umat Islam tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap institusi zakat. Mereka mempertikaikan, misalnya kenapakah pihak pusat zakat kelihatan mewah berbelanja, sedangkan masih ramai orang miskin? Soalannya, adakah salah sekiranya amil menggunakan wang zakat? Adakah benar pandangan bahawa wang zakat itu hanyalah khusus untuk orang fakir dan miskin?

Jawapan:

SAYA ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas soalan yang telah diajukan. Memang tidak dinafikan, zaman ini di mana facebook sudah menjadi senjata, maka ramai pihak yang sering mempertikaikan sesuatu perkara dengan sewenang-wenangnya. Walhal, perkara yang mereka pertikaikan itu belum tentu lagi betul atau salahnya.

Malah, tidak berapa lama dahulu ada pihak yang telah menghubungi Lembaga Zakat Selangor (LZS) demi meminta penjelasan, kenapakah pihak LZS menghasilkan kalendar yang cantik dan berkualiti, kerana dia beranggapan tidak wajar LZS menggunakan wang zakat untuk tujuan tersebut. Mujurlah dia bertanya, maka mudahlah pihak LZS memberikan jawapan.

Pertamanya, apakah kedudukan amil di dalam Islam? Maka, di sini Allah SWT dengan terang dan jelas telah meletakkan status amil sebagai golongan (asnaf) yang berhak ke atas zakat. Kedudukan asnaf amil, samalah seperti asnaf zakat yang lain, sama ada fakir, miskin, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil yang semuanya disebut mustahiq (orang yang berhak) ke atas zakat.

Maka, seandainya ada pihak yang dengan sengaja menafikan hak amil ke atas zakat, maka samalah kiranya mereka menolak suatu ketetapan daripada Allah SWT. Sedangkan Allah SWT telah menuntaskan di dalam firman-Nya pada surah at-Taubah ayat 60: Inilah suatu ketetapan daripada Allah. Apakah hukumnya jika sengaja menolak ketetapan Allah SWT? Bukankah ia boleh merosakkan akidah?

Kedua, Kedudukan amil juga dijamin di dalam hierarki agihan zakat. Ini kerana, dalam lapan asnaf zakat, Allah SWT telah menyusun kedudukan amil pada tangga ketiga dalam kumpulan empat yang pertama, daripada lapan asnaf zakat. Dalam istilah fiqh, ia disebut sebagai asnaf yang muqaddam (utama), dan empat yang kedua disebut asnaf yang muakkhar (terkemudian).

Kedudukan ini secara langsung menjelaskan, betapa pihak pemerintah wajib mengutamakan kebajikan para amil zakat. Misalnya, mereka hendaklah diberikan upah yang sesuai dengan tanggungjawab, dijaga aspek kebajikan diri dan keluarga mereka serta dijamin masa hadapan mereka. Amil yang terjaga aspek sosialnya, maka mereka lebih fokus menjaga kebajikan semua asnaf yang lain.

Berhemah

Ketiga, Rasulullah SAW sendiri memerintahkan agar umat Islam melayan para amil dengan baik dan berhemah. Pernah dikhabarkan, daripada Jarir bin Abdullah r.a, bahawa orang-orang Arab Badwi telah mengadu kepada Nabi Muhammad SAW, kononnya para amil telah datang ke perkampungan mereka untuk menganiayai mereka. Nabi sebaliknya telah menegaskan: Layanilah para amil itu dengan baik. Dan kata Jarir, sejak itu aku tidak lagi mendengar, kecuali para amil pulang dengan hati yang puas dan senang. (riwayat Imam Muslim)

Penulis percaya, orang-orang Arab Badwi itu mengadu mereka dianiayai, kerana para amil itu telah menaksirkan zakat mereka dan mengambilnya, dalam keadaan mereka merasakan ia adalah harta mereka (yang terpaksa diserahkan walau mereka tidak rela). Hal ini masih terjadi sehingga sekarang, kerana masih ada orang yang kedekut dengan hartanya dan merasakan zakat seolah-olah ‘merampas’ hartanya.

Jika tidak, masakan Allah SWT mengancam bahawa orang yang enggan berzakat, maka mereka akan diselar dengan api neraka di akhirat dan disiksa dengan harta mereka yang mereka sayangi semasa di atas dunia.

Keempat, amil juga perlu diperkasakan seiring dengan perubahan masa. Adakah umat Islam merasa wajar, para amil masih mengayuh basikal, memakai mesin taip lama, mendiami pojok masjid dan menggunakan teknologi ketinggalan zaman dalam menguruskan zakat? Walhal, sejarah menunjukkan bagaimana pada zaman sahabat sendiri, amil telah diperkasakan.

Misalnya, telah dicatatkan pada zaman Umar al-Khattab r.a, baginda telah menyusun pentadbiran negara dengan baik dan melantik amil secara bergaji tetap. Bahkan, diwujudkan amil khas yang bertugas menaksir harta umat Islam. Umar juga mengemas kini Baitul Mal, sebagai gudang pengumpulan harta termasuklah harta zakat. Di sini, amil telah disusun perkhidmatannya secara lebih sempurna.

Maka, semua ini menjadi dalil dan bukti, bahawa amil hendaklah diperkasakan sesuai dengan zamannya. Misalnya pada zaman nabi, amil masih bersifat peribadi, iaitutidak diinstitusikan, namun Umar telah pun menginstitusikannya. Maka, apabila amil diinstitusikan, ia menjadi lebih perkasa, gerak kerjanya lebih tersusun, senang dipantau oleh pemerintah dan menatijahkan keberkesanan dalam pengurusan zakat.

5 ciptaan terhebat Ilmuan Islam

AKHBAR terkemuka di United Kingdom (UK), The Independent pada edisi 11 Mac 2006 pernah menyiarkan sebuah artikel tulisan Paul E. Vallely bertajuk, Bagaimana Para Pereka Cipta Muslim Mengubah Dunia menarik untuk dikongsi. Apa tidaknya, tulisan tersebut wajar diambil perhatian, khasnya kepada umat Islam agar tidak terlalu berkiblatkan kepada tokoh-tokoh barat acap kali membicarakan soal dunia penciptaan inovasi baharu.

Sungguhpun akhbar tersebut telah menyenaraikan sekitar 20 penemuan penting yang mampu mengubah peradaban umat manusia, namun di ruangan yang agak terhad ini akan diketengahkan lima ciptaan inovasi terhebat umat Islam pada abad pertengahan.

Menariknya lagi, ciptaan tersebut sehingga ke hari ini masih berguna dan popular.

Kopi

KIRA-kira 1.6 juta cawan kopi diminum setiap hari di seluruh dunia. Berbilion-bilion orang bergantung kepadanya sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka. Namun, tidak ramai yang mengetahui kaitan minuman popular itu dengan masyarakat Islam.

Menurut rekod sejarah, dalam tahun 1400-an, kopi menjadi minuman yang sangat popular dalam kalangan umat Islam di Yemen yang terletak di selatan Semenanjung Arab.

Legenda itu bermula apabila seorang gembala (ada yang mengatakan di Yemen, ada yang mengatakan di Ethiopia) menyedari bahawa kambingnya menjadi sangat bertenaga dan resah apabila memakan biji kopi dari sebatang pokok.

Penggembala itu memberanikan dirinya untuk merasai bahan itu dan ternyata, ia memberi rangsangan tenaga yang luar biasa. Lama-kelamaan, tradisi memanggang biji kopi dan merendamkannya di dalam air untuk menghasilkan minuman berkuasa itu telah wujud dan hasilnya, minuman kopi dilahirkan.

Tanpa mengira, sama ada kisah penggembala itu benar-benar berlaku atau tidak, budaya minum kopi telah meresap dari kawasan tanah tinggi di Yemen ke seluruh Empayar Uthmaniah iaitu empayar Islam yang terulung di abad ke-15 Masihi. Serentak itu, kedai-kedai yang khusus menjual minuman kopi telah muncul di beberapa buah bandar utama dalam dunia Islam iaitu seperti di Kaherah, Istanbul, Damsyik dan Baghdad.

Dari dunia Islam, minuman kopi telah menyelinap masuk ke Eropah melalui bandar tumpuan saudagar besar iaitu Venice. Walaupun pada mulanya, kopi itu dianggap sebagai sebagai “minuman Muslim” oleh pihak gereja Katolik, tetapi kini ia telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Eropah.

Kedai-kedai kopi pada era 1600-an telah menjadi tempat ahli-ahli falsafah bertemu dan membincangkan isu-isu seperti hak-hak manusia. peranan kerajaan dan demokrasi. Perbincangan itu telah melahirkan satu pergerakan intelektual yang paling berkuasa di dunia moden hari ini.

Daripada seorang gembala kambing di Yemen atau Ethiopia kepada pembentukan pemikiran politik masyarakat Eropah, minuman kopi yang kini mencatatkan lebih satu bilion cawan setiap hari itu merupakan satu inovasi Islam yang paling penting dalam sejarah kehidupan manusia hari ini.

Pemberian ijazah universiti

DALAM sejarah awal Islam, masjid turut memainkan peranan sebagai sekolah. Orang sama yang mengetuai solat akan mengajar kumpulan pelajar tentang sains Islam seperti al-Quran, fiqh (perundangan) dan hadis.

Sejajar dengan perkembangan tamadun Islam, wujud keperluan untuk mewujudkan satu institusi formal yang dikenali sebagai madrasah yang dikhususkan untuk bidang pendidikan.

Madrasah formal pertama adalah al-Karaouine, yang diasaskan pada 859 Masihi oleh Fatima al- Fihri di Fes, Maghribi.

Sekolahnya berjaya menarik beberapa ulama terkemuka dari Afrika Utara serta pelajar-pelajar pintar. Di al-Karaouine, pelajar diajar oleh guru-guru untuk beberapa tahun di dalam pelbagai subjek daripada sekular kepada agama.

Pada akhir program itu, mana-mana pelajar yang berjaya akan diberikan sijil yang dikenali sebagai ijazah yang mengiktiraf bahawa pelajar itu memahami apa yang diajarkan dan juga layak untuk mengajar pelajar lain.

Pemberian ijazah yang pertama oleh institusi pendidikan itu telah tersebar dengan cepat di seluruh dunia Islam. Antara yang terawal mengambil langkah sama adalah Universiti Al-Azhar yang ditubuhkan di Kaherah, Mesir pada 970 Masihi dan kerajaan Seljuk telah menubuhkan puluhan madrasah di seluruh Asia Barat pada tahun 1000-an.

Konsep institusi pendidikan yang memberikan ijazah itu turut merebak ke Eropah melalui orang Islam Sepanyol. Universiti Bologna di Itali dan Oxford di England yang diasaskan pada abad ke-11 dan ke-12 telah meneruskan tradisi Islam memberikan ijazah kepada pelajar yang berjaya, dan menggunakannya sebagai penentu kepada tahap kelayakan seseorang dalam mata pelajaran tertentu.

Pancaragam tentera

RAMAI pelajar yang belajar di sekolah dan universiti di dunia Barat sudah biasa dengan pancaragam. Ia sekumpulan pemuzik yang berarak ke padang semasa acara sukan untuk menghiburkan penonton dan bersorak kepada para pemain.

Pancaragam yang dibangunkan berasaskan semasa Gunpowder Age di Eropah itu, diwujudkan bagi menyemarakkan semangat anggota tentera dalam peperangan .

Pun begitu, tradisi itu berasal daripada kumpulan pancaragam mehter Uthmaniah pada tahun 1300-an yang berjaya membantu tentera Uthmaniyyah menjadi antara angkatan bersenjata paling berkuasa di dunia pada masa itu.

Sebagai sebahagian daripada kor elit Janissary Empayar Uthmaniah, tujuan pancaragam mehter diwujudkan adalah untuk memainkan muzik keras bagi menakut-nakutkan musuh dan menyemarakkan lagi semangat tentera sekutu.

Akhirnya, orang Kristian di Eropah turut menggunakan konsep pancaragam yang sama untuk menakutkan musuh mereka.

Lagenda mengatakan bahawa selepas kegagalan menawan Vienna pada 1683, tentera Uthmaniah telah meninggalkan berpuluh-puluh alat muzik dan kemudiannya orang Austria mengumpul, mengkaji dan menggunakan alat muzik itu untuk kegunaan sendiri.

Selepas kejadian itu, angkatan tentera di seluruh Eropah turut menggunakan konsep pancaragam itu dan ini secara tidak langsung mengubah cara peperangan di Eropah selama berabad-abad.

Kamera

PASTINYA sukar untuk membayangkan dunia tanpa fotografi. Syarikat berbilloin dolar seperti Instagram dan Canon diasaskan berdasarkan idea untuk merakam cahaya dari tempat kejadian, mewujudkan imej daripadanya dan menghasilkan semula imej itu.

Tetapi berbuat demikian adalah sesuatu mustahil tanpa usaha dan sumbangan daripada saintis Islam abad ke-11, Ibnu al-Haitham, yang membangunkan bidang optik dan mengambarkan bagaimana kamera berfungsi.

Apabila Ibnu al-Haitham diletakkan di bawah tahanan rumah oleh Fatimid pemerintah al-Hakim, beliau mempunyai masa dan keupayaan untuk mengkaji kerja-kerja bagaimana cahaya berfungsi. Sebahagian besar kajiannya itu memberi tumpuan kepada bagaimana lubang kamera berfungsi.

Ibnu al-Haitham adalah saintis pertama yang menyedari bahawa apabila lubang kecil ditebuk pada kotak tahan cahaya, sinaran cahaya dari luar akan melalui lubang itu hingga ke dinding kotak itu.

Beliau sedar bahawa makin kecil lubang itu, maka lebih jelas imejnya dan ini membolehkan beliau membangunkan sebuah kamera yang boleh menangkap imej yang jelas.

Penemuan Ibnu al-Haitham mengenai kamera dan bagaimana untuk menangkap imej telah membawa kepada pembangunan kamera dengan menggunakan konsep yang sama.

Tanpa penyelidikan bagaimana cahaya bergerak melalui lubang itu, mekanisme moden yang ada dalam kamera hari ini tidak akan wujud.

Algebra

WALAUPUN ramai pelajar sekolah menengah bertungkus-lumus mempelajari matematik, mereka tidak mungkin menghargai kepentingan algebra yang merupakan salah satu sumbangan paling penting semasa kegemilangan Tamadun Islam kepada dunia moden.

Algebra telah dibangunkan oleh ahli sains dan ahli matematik, Muhammad ibnu Musa al- Khawarizmi yang hidup antara tahun 780 hingga 850 Masihi di Parsi dan Iraq.

Dalam buku monumentalnya, Al- Kitab al- Mukhtasar fi hisab al -jabr wa -l- muqabala (The Compendious Book on Calculation by Completion and Balancing), beliau menetapkan empat prinsip-prinsip asas algebra.

Malah, dalam buku itu, al-Khawarizmi turut menerangkan bagaimana untuk menggunakan persamaan algebra dengan pemboleh ubah yang tidak diketahui bagi menyelesaikan masalah dunia seperti pengiraan zakat dan pembahagian harta pusaka.

Buku al-Khawarizimi itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin di Eropah pada tahun 1000-an dan 1100-an, yang mana beliau dikenali sebagai Algoritmi (perkataan algoritma itu berdasarkan nama dan kerja-kerja matematik beliau).

Tanpa usaha beliau dalam membangunkan algebra, aplikasi praktikal matematik moden seperti kejuruteraan, adalah sesuatu yang tidak mungkin wujud. Karya-karya beliau telah digunakan sebagai buku teks matematik di universiti-universiti sekitar Eropah selama beratus-ratus tahun selepas kematiannya

Fesyen trojan ditegah

SALAM ustaz, kalau kita lihat masa kini ramai lelaki yang semakin memilih untuk membotakkan kepala. Ia sudah seperti satu trend. Persoalan saya apakah hukum membotakkan kepala di dalam Islam?

Jawapan

Secara asas, membotakkan kepala bagi lelaki hukumnya adalah harus. Keharusan ini amat jelas dituntut, bahkan menjadi ibadah apabila ia dilakukan selesai daripada haji dan umrah. Ia disebut sebagai tahallul. Amalan tahallul adalah dengan bergunting beberapa helai rambut atau bercukur.

Ia juga menjadi sesuatu yang harus yang dituntut apabila terdapat tujuan perubatan seperti ada pembedahan, penyakit di kepala, kelemumur yang terlalu banyak dan sebagainya. Dalam keadaan yang lain, membotakkan kepala adalah harus. Perkara ini terserah kepada setiap insan untuk menguruskan urusan peribadinya yang berkaitan dengan rambut.

Ada anggapan bahawa membotakkan kepala adalah sunnah Nabi Muhammad SAW. Apabila diselidiki dalam catatan sunnah, baginda tidaklah membotakkan kepala sepanjang masa. Sebaliknya Nabi SAW membotakkan kepala apabila selesai menunaikan haji atau umrah. Dalam suasana yang lain, Nabi SAW tidak membotakkan kepala.

Walau bagaimanapun, perbuatan membotakkan separuh kepala dan membiarkan separuh lagi tidak dibotakkan merupakan perbuatan yang ditegah. Amalan ini disebut sebagai qaza’. Nabi SAW melarang amalan qaza’. Maka sewajarnya dan sewajibnya umat Islam tidak meniru perbuatan sesetengah fesyen yang membotakkan separuh kepala sahaja.

Mungkin amalan membotakkan kepala seperti trojan termasuk dalam hadis qaza’. Maka amalan mencukur rambut di tepi dan membiarkan rambut di bahagian tengah sahaja mestilah dielakkan.

Derhaka kepada Allah

Amalan membotakkan kepala juga tidak sewajarnya dilakukan jika ia merupakan syiar atau trend golongan yang derhaka kepada Allah SWT. Apabila wujud satu kumpulan yang membotakkan kepala lalu kita juga membotakkan kepala sempena kedatangan kumpulan tersebut ke negara kita, ia seolah-olah kita bersama dengan kumpulan tersebut.

Maka hukum harus membotakkan kepala bertukar menjadi makruh kerana ia seolah-olah sokongan kepada kumpulan yang membuat derhaka kepada Allah. Katakan membotakkan kepala adalah lambang golongan homoseks, maka perbuatan membotakkan kepala ketika itu menimbulkan fitnah secara tidak langsung.

Begitu juga amalan membotakkan kepala tidak wajar dilakukan bagi menyatakan kesedihan atau musibah yang menimpa. Dalam satu riwayat hadis disebutkan bahawa bukan daripada golongan kami sesiapa yang membotakkan kepala, mengoyak pakaian dan meninggikan suara bagi meratapi mayat. Dapat difahami, hadis ini menerangkan bahawa perbuatan membotakkan kepala bagi menyatakan kesedihan bukanlah daripada ajaran Islam.

Bagi golongan yang ingin membotakkan kepala, hendaklah jelas tujuan dan kaedah bagi membotakkan kepala.

Jangan sampai akidah terjejas akibat filem

BABAK pemujaan dan ilmu sihir yang sering terdapat di dalam filem seram mampu mempengaruhi kepercayaan individu yang kurang berpengetahuan agama. – Gambar hiasan

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

MENCUNGKIL pelbagai kisah mitos silam dengan memaparkan dalam wajah baharu, tidak hairanlah sambutan filem dan drama bergenre seram yang sekian lama cuba dikawal oleh pihak berkuasa dilihat bagaikan tidak berpenghujung.

Pelbagai watak seperti pontianak, sundal bolong, langsuir, hantu raya, hantu gigi, pocong, toyol dan banyak lagi cuba dikomersialkan kembali dalam usaha menarik minat masyarakat untuk menonton filem atau drama yang diterbitkan.

Ternyata usaha tersebut berjaya berdasarkan angka kutipan tiket yang tinggi berbanding filem bergenre lain sehingga ada yang bertaraf Box Office setiap kali filem tahyul mistik itu ditayangkan.

Walaupun kerap kali disuarakan, namun dari sehari demi sehari kemunculan filem-filem dan drama-drama seram tidak pernah susut malah tayangannya di pawagam dan televisyen semakin berlambak-lambak. Apa yang membimbangkan adalah rata-rata penonton yang membanjiri panggung wayang atau melanggan filem serta drama tersebut merupakan orang Melayu beragama Islam.

Dengan melakonkan watak berlumuran darah, berambut panjang serta wajah yang menyeramkan, terdapat juga segelintir ibu bapa turut membawa anak-anak bersama mereka menonton filem dan drama karut yang memaparkan pelbagai aksi tidak masuk akal itu.

Penceramah bebas, Datuk Hassan Mahmud al Hafiz berkata, walaupun dalam Islam tidak menghalang untuk berhibur, namun batasan hiburan bersyariat wajib dipatuhi oleh umat Islam.

Beliau berkata, dikhuatiri bukan sahaja boleh menjejaskan pemikiran dan aktiviti sosial masyarakat, malah lebih membawa risiko menjejas keimanan dan akidah sebagai seorang Muslim.

“Hiburan menerusi layar perak dan kaca televisyen tidak salah, malah ia dituntut selagi tidak bertentangan dengan syariat. Walau bagaimanapun, fenomena lambakan filem dan drama seram yang semakin rancak dilihat lebih membawa ke arah yang negatif.

“Ini melihat kepada trend karya-karya seram yang ditayangkan cuba membawa penonton memasuki ke dunia filem dan drama mereka dengan menonjolkan babak tahyul dan karut yang tidak wujud, sekali gus boleh mempengaruhi minda dan pemikiran penonton.

Jejas akidah

“Kesannya, masyarakat akan menjadi hilang semangat, takut kepada diri sendiri, kurang daya saing dan hilang keyakinan diri di dunia nyata. Apa yang paling dibimbangi adalah, pengaruh dunia rekaan filem dan drama seram itu akan menjejaskan akidah umat Islam dengan tanpa kita sedari,” katanya.

Akidah tambahnya boleh terjejas apabila manusia lebih takutkan sesama makhluk berbanding Allah SWT dengan meletakkan Tuhan Pencipta itu selepas makhluk.

Hassan berkata, walaupun terdapat watak ustaz di dalam karya tersebut, namun hanya akan memburukkan lagi imej Islam jika hanya bertujuan berselindung daripada tujuan asal keseluruhan filem dan drama yang dilihat untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Ramai penerbit yang cuba mengambi peluang untuk menerbitkan filem dan drama seram kerana sambutan yang menguntungkan. Sehinggakan setiap babak yang ditayangkan tidak mempunyai apa-apa pengajaran tetapi sekadar hiburan.

“Watak orang alim di dalam filem juga bukan menjadi lesen membolehkan filem seram ditayangkan sewenang-wenangnya demi memperoleh keuntungan.

“Sebaliknya, penerbit perlu bertanggungjawab terhadap karya yang dikeluarkan agar selari dengan akidah, akhlak dan syariat. Filem atau drama yang ingin disiarkan haruslah mempunyai konsep BBM iaitu Bercerita, Berlakon dan akhir sekali Mendidik,” jelasnya.

Mengawal

Dalam pada itu Hassan berkata, kerajaan menerusi pihak bertanggungjawab harus meneliti semula undang-undang yang ditetapkan dalam mengawal penyebaran filem dan drama seram secara terbuka.

“Undang-undang dan garis panduan yang lebih sistematik perlu dilaksanakan dalam memastikan penerbit tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan filem dan drama seram yang semakin menjadi kegilaan ramai itu.

“Penapisan yang teliti perlu dilakukan dan tindakan lanjut juga boleh dikenakan kepada penerbit yang melanggar penanda aras penerbitan filem dan drama yang ditetapkan. Ini kerana bidang akidah perlu dititikberatkan,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan penerbit filem agar memperbanyakkan filem dan drama yang boleh mendidik dan lebih membina kemajuan dan ketamadunan manusia seperti cerita berkonsep masyarakat